Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN FAT CAT YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

    Baru-baru ini, tular di laman media sosial tentang kematian menyedihkan seorang lelaki gamer berusia 21 tahun di negara China yang dikenali dengan nama samaran Fat Cat. Media melaporkan Fat Cat atau nama sebenarnya Liu Jie telah membunuh diri dengan cara melompat dari jambatan Sungai Yangtze, Chongqing. Punca Liu Jie menamatkan hidupnya sendiri itu adalah kerana dia berasa sedih dan kecewa akibat ditinggalkan oleh teman wanitanya.

    Kisah sebenar bermula pada 11 Appril 2024 apabila Liu Jie dikatakan telah hilang tanpa sebarang jejak. Namun 12 hari selepas kehilangannya itu, mayat Liu Jie ditemui di kawasan perairan sungai Yangtze. Siasatan awal pihak polis mendapati Liu Jie dipercayai telah terjun ke dalam sungai itu pada 11 April 2024 iaitu 12 hari sebelum penemuan mayatnya. Kematian Liu Jie secara mengejut ini dianggap kakaknya sebagai sesuatu yang mencurigakan. Perkara ini kerana status Liu Jie sebagai seorang gamer berjaya yang meraih pendapat lumayan hasil daripada video penstriman serta kejayaannya memenangi pertandingan permainan video. Kakak Liu Jie kemudian melakukan pemeriksaan pada telefon adiknya itu sebelum dia menemui mesej antara Liu Jie dengan seorang wanita yang bernama Tan Zhu.

    Liu Jie dikatakan mula berkenalan dengan Tan Zhu yang tua lebih enam tahun daripadanya pada tahun 2022 melalui permainan video Honors of King. Diringkaskan cerita, Lie Jie dan Tan Zhu ini seterusnya bercinta di mana hubungan mereka ini adalah hubungan jarak jauh. Namun seperkara harus diketahui yakni sepanjang tempoh dua tahun hubungan mereka, Lie Jie dan Tan Zhu hanya pernah bertemu selama dua kali. Disebabkan terlalu mencintai Tan Zhu, Lie Jie sanggup berkorban segala-galanya hingga sanggup memberikan apa saja yang diingini wanita itu terutamanya soal wang.


    Liu Jie secara keseluruhannya telah menghabiskan wang sebanyak RM340 000 demi Tan Zhu. Malah Liu Jie juga pernah menyewa sebuah apartment untuk didiami oleh Tan Zhu kerana teman wanitanya itu mengajak untuk tinggal bersama. Walau bagaimanapun, Liu Jie hanya tinggal bersama dengan Tan Zhu selama dua hari sahaja sebelum dia disuruh oleh wanita berkenaan untuk mencari tempat tinggal lain. Bayangkan, seorang gamer yang berjaya seperti Liu Jie sesudah itu hanya mampu tinggal di kawasan rumah setinggan kerana dia sendiri tidak mempunyai wang. Semua wang hasil usahanya dalam dunia permainan video dipindahkan ke akaun Tan Zhu. Wanita itu pula menggunakan wang pemberian Tan Zhu itu pula untuk tujuan peribadi seperti membeli-belah, makan makanan mewah, pergi melancong, membuka perniagaan sendiri dan lain-lain. Liu Jie terpaksa sendiri menahan lapar hingga makanan hariannya hanya sayur-sayuran. Sampai satu masa, Liu Jie menukar gambar profil We Chat dengan gambar kartun kucing yang mempunyai kapsyen bertulis : Saya tak nak makan sayur, saya nak makan ***.

    Liu Jie sebenarnya turut menaruh harapan dengan Tan Zhu yang berjanji akan berkahwin dengannya pada bulan Mei 2024. Hal perkahwinan tersebut bagaimanapun rupa-rupanya hanyalah sekadar janji palsu daripada Tan Zhu kerana pada bulan April 2024, dia telah memutuskan hubungannya dengan Liu Jie. Alasan Tan Zhu, dia sudah mempunyai lelaki lain. Pengakhiran hubungan itu sekaligus menyebabkan hati Liu Jie menjadi remuk kerana dia berasa tidak pernah dihargai atas segala pengorbanan yang dia lakukan. Pada 11 April 2024, Liu Jie telah membunuh diri. Sebelum terjun dari jambatan Sungai Yangtze, dia sempat memindahkan sejumlah wang ke akaun Tan Zhu buat kali terakhir. Paling menyentuh emosi, Liu Jie mengirimkan 760 kuntum bunga kepada Tan Zhu. Angka 760 itu adalah sebagai simbolik hubungan mereka berdua yang telah terjalin selama 760 hari.

    Susulan pendedahan daripada kakak Liu Jie mengenai Tan Zhu ini, ramai pengguna media sosial menyatakan rasa simpati mereka terhadap nasib yang Liu Jie telah alami. Sebagai penghormatan terakhir buat Liu Jie, orang ramai telah pergi meletakkan bunga, minuman dan makanan di jambatan tersebut. Mengenai Tan Zhu, dia dikecam dengan begitu teruk sekali di laman media sosial hingga dirinya terpaksa tampil ke depan untuk menjelaskan perkara yang sebenar. Menurut Tan Zhu, dia amat menyesali perbuatannya yang tidak menyayangi Liu Jie akan tetapi pada masa sama menafikan tentang jumlah keseluruhan wang yang pernah bekas teman lelakinya itu berikan kepadanya. Dakwa Tan Zhu lagi, dia terus memindahkan sejumlah wang kepada keluarga Liu Jie sejurus mendapat tahu berita kematian lelaki itu. Permohonan maaf daripada Tan Zhu tersebut ternyata tidak begitu diterima oleh orang ramai kerana dianggap hipokrit semata-mata untuk melepaskan tengkuknya sendiri. Hingga pada hari ini, kes Fat Cat ini masih lagi hangat diperkatakan di laman media sosialnya. Sama ada benar atau sebaliknya, ada sekumpulan pengguna media sosial kini menyerang Tan Zhu secara peribadi tanpa henti demi menegakkan keadilan untuk Fat Cat.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN FAT CAT YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"