LELAKI HILANG 27 TAHUN LALU DITEMUI SEMULA DI RUMAH JIRAN SENDIRI
ALGERIA – Seorang lelaki berusia 45 tahun yang dilaporkan
hilang sejak hampir 30 tahun lalu telah didapati masih hidup di kawasan rumah
jiran yang hanya terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya. Lebih mengejutkan,
mangsa yang dikenali sebagai Omar bin Omran itu sebenarnya menjadi mangsa
penculikan oleh jirannya sendiri.
Menerusi video yang tersebar di laman media sosial, Omar
telah ditemui dalam lubang bawah tanah yang ditutup dengan tompokan jerami di
kandang biri-biri penculik tersebut. Dia dilihat seperti dalam kebingungan
apabila melihat mereka yang menyelamatkannya. Selain itu, Omar turut kelihatan tidak
terurus.
Omar dikatakan telah menghilang di bandar Algeria, Djelfa, pada
27 tahun lalu yakni semasa dia berumur 17 tahun di mana dirinya ketika itu
sedang dalam perjalanan ke sekolah. Difahamkan keluarga Omar kemudian menganggapnya
meninggal dunia dalam perang saudara yang berlaku antara kerajaan negara Afrika
Utara dan pelbagai kumpulan pemberontak Islamis pada waktu itu.
Soal bagaimana Omar dapat ditemui, perkara itu adalah hasil aduan daripada adik lelaki penculik di laman media sosial yang berpunca daripada perselisihan harta pusaka dengan abangnya itu. Si penculik yang kini berusia 61 tahun dikatakan cuba melarikan diri sewaktu sewaktu keluarga Omar melakukan serbuan di rumahnya akan tetapi dia sempat ditangkap.
Sementara itu, Omar telah pun diarahkan untuk menjalani rawatan perubatan dan psikologi. Pihak berkuasa juga bertegas akan memastikan pelaku yang juga merupakan seorang penjawat awam bakal menerima hukuman yang setimpal. Namun seperkara yang harus diketahui, terdapat laporan media Algeria melaporkan bahawa Omar mengaku bahawa dia sebelum ini tidak dapat meminta sebarang pertolongan kerana telah disihir oleh penculiknya itu.
Catat Ulasan for "LELAKI HILANG 27 TAHUN LALU DITEMUI SEMULA DI RUMAH JIRAN SENDIRI"