KISAH KEMATIAN SAM ABRAHAM YANG MENYEDIHKAN
Pada bulan Oktober 2015, seorang lelaki berusia berusia 34
tahun bernama Sam Abraham telah pulang melawat ibu bapanya di kampung halaman
mereka yang terletak di India. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, Sam yang
bekerja di Australia biasanya pulang ke India bersama dengan isterinya iaitu
Sophia dan anak lelak mereka yang berusia 7 tahun.
Sam dan Sophia (kanak), Arun Kalamasana (kiri) |
Bercerita tentang Sam dan Sophia, pasangan itu telah menjalinkan hubungan sejak dari zaman remaja lagi yakni semasa mereka masih menetap di Karavaloor, India. Seperkara yang tidak diketahui oleh Sam pada waktu itu juga adalah mengenai Sophia yang menyukai seorang lelaki yang dikenali sebagai Arun Kamalasana. Sam dan Arun tidak mengenali antara satu sama lain. Sophia bagaimanapun akhirnya memilih Sam untuk dijadikan sebagai suami. Pada mulanya, hubungan Sam dan Sophia tidak direstui oleh bapa Sam atas sebab yang tidak dapat dipastikan. Hanya setelah Sophia mengugut untuk membunuh diri jika Sam tidak mengahwininya, barulah bapa Sam bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan pasangan itu. Sam dan Sophia telah berkahwin pada tahun 2008. Setahun berikutnya, lahirlah bayi lelaki sulung mereka.
Sam seterusnya bekerja di negara Oman sementara Sophia pula
kekal berada di India. Hinggalah satu ketika, Sophia tekad berhijrah ke negara
Australia bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Lagipun dia mempunyai
ijazah sarjana muda dalam bidang elektronik. Tidak lama selepas Sophia
mendapatkan pekerjaan di sana, Sam yang digambarkan sebagai seorang suami dan
bapa yang penyayang memilih untuk berpindah ke Australia bagi mengikuti jejak
isterinya supaya dapat membina kehidupan keluarga yang bahagia.
Berbalik dengan cerita percutian Sam sekeluarga ke kampung halamannya, mereka telah berangkat semula ke Australia pada 11 Oktober 2015. Namun tiga hari sesudah itu, bapa Sam menerima panggilan telefon daripada Sophia yang memberitahu tentang kematian mengejut Sam yang dikatakan akibat serangan jantung. Mayat Sam kemudian dibawa pulang ke India untuk acara pengebumian. Pemergian Sam ini ternyata benar-benar menyedihkan seluruh anggota keluarganya. Sepanjang tempoh sebelum dan selepas upacara pengebumian Sam ini, Sophia dilihat benar-benar dalam kesedihan kerana langsung tidak berhenti menangis. Selepas selesai segala-galanya, Sophia dan anak lelakinya itu pun kembali pulang ke Australia.
Pada mulanya, Sophia tetap sentiasa menghubungi keluarga mentuanya untuk bertanya khabar mereka menunjukkan betapa dia masih merindui Sam. Beberapa bulan berikutnya, Sophia tiba-tiba saja menghilang tanpa sebarang khabar berita. Perkara ini sekaligus menyebabkan keluarga Sam mula berasa curiga sebelum mereka menghubungi saudara-mara terdekat mereka yang lain yang tinggal di Australia untuk mendapatkan kepastian tentang apa yang sudah berlaku kepada Sophia. Alangkah terkejutnya keluarga Sam selepas diberitahu bahawa Sophia telah pun ditangkap oleh pihak polis Australia kerana dipercayai terlibat dalam pembunuhan Sam! Perkara ini bermaksud Sam bukan mati akibat diserang sakit jantung akan tetapi dibunuh. Seorang lagi individu yang ditangkap adalah Arun Kamalasana, cinta lama Sophia! Persoalannya bagaimana penangkapan tersebut dibuat?
Sejak dari awal lagi, pihak polis Australia telah berasa kematian Sam adalah sesuatu yang mencurigakan. Disebabkan itu, mereka mula mengawasi Sophia secara diam-diam termasuklah melalui intipan perbualan telefon. Hasil siasatan awal tersebut mendapati Sophia telah menukar hak pemilikan kereta Sam kepada nama Arun. Waktu ini, Sophia menyangka dirinya tidak diawasi oleh pihak polis dan pada masa sama Arun telah mula berkawan dengan seorang ejen penyamaran yang kemudian menjadi kawan baiknya. Bukti kukuh pembunuhan Sam diperolehi apabila Arun secara tidak sengaja telah memberitahu perkara itu kepada ejen penyamaran berkenaan semasa dia dalam keadaan mabuk. Susulan pendedahan tersebut, pihak polis Australia melengkapkan dokumen menuntut supaya mayat Sam digali balik untuk dilakukan pemeriksaan forensik. Keputusan forensik mengesahkan bahawa punca kematian Sam akibat racun sianida. Selain itu, pihak polis juga menemui bukti sebuah buku diari luahan perasaan tulisan Sophia dan Arun.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan mahkamah pada akhirnya menyaksikan Arun dan Sophia telah didapati bersalah atas pembunuhan Sam. Arun menerima hukuman penjara selama 24 tahun manakala Sophia pula dipenjarakan untuk tempoh 21 tahun.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN SAM ABRAHAM YANG MENYEDIHKAN "