KISAH PEMBUNUHAN ASUNTA BASTERRA.
“The Asunta Case” adalah
sebuah siri mini televisyen oleh Netflix yang diadaptasi daripada kisah benar
pembunuhan kejam seorang gadis berusia 12 tahun iaitu Asunta Basterra di Sepanyol.
Kes ini telah mendapat liputan luas media Sepanyol memandangkan pembunuh Asunta
adalah ibu bapa angkatnya sendiri. Pada waktu tersebut, media memainkan peranan
dalam mencipta spekulasi dan tuduhan terhadap ibu bapa Asunta dalam usaha
menegakkan keadilan untuk Asunta.
Fan Yong dilahirkan pada 30 September 2000 di Hunan, China. Sewaktu Fan Yong berusia sembilan bulan, sepasang suami isteri kaya-raya dari Santiago de Compostela, Galicia, Sepanyol telah mengambilnya sebagai anak angkat di mana namanya kemudia ditukar kepada Assunta Basterra. Pasangan suami isteri yang dimaksudkan ini adalah Alfonso Basterra dan Rosario Porto. Alfonso merupakan seorang wartawan manakala Rosario pula adalah seorang peguam terkenal. Keputusan untuk menjadikan Assunta sebagai anak angkat pasangan tersebut adalah disebabkan Rosario yang disahkan mempunyai masalah kehamilan.
Bercerita tentang Asunta semasanya membesar, dia adalah seorang yang sangat pintar selain berbakat dalam balet, biola dan piano. Selain itu, Asunta juga begitu fasih dalam berbahasa Inggeris, China, Perancis dan Portugal. Seperkara harus diketahui, Asunta turut menjadi cucu kesayangan kepada datuk dan nenek sebelah ibunya. Asunta boleh dikatakan membesar dalam keadaan persekitaran keluarga yang sempurna. Kebahagiaan serta kegembiraan Asunta bagaimanapun tidak berkekalan lama apabila ibu bapanya bercerai pada tahun 2013. Lagi menyedihkan Asunta, penceraian tersebut berlaku tidak lama setelah datuk dan neneknya meninggal dunia. Punca penceraian itu adalah kerana Rosario telah berlaku curang kepada Alfonso. Jauh di sudut hati Alfonso, dia sebenarnya masih menyayangi Rosario hingga dia sanggup untuk berpindah ke kediaman yang berdekatan dengan kediaman bekas isterinya itu.
Kisah sebenar bermula pada 21 September 2013 apabila Rosario melaporkan kehilangan Asunta. Wanita itu mendakwa kali terakhirnya melihat Asunta adalah pada sekitar jam 7.00 malam yakni sebelum dia keluar dari rumah. Pada jam 1.00 pagi hari berikutnya, Asunta telah ditemui oleh seorang pejalan kaki di tepi kawasan pergunungan dalam keadaannya sudah tidak lagi bernyawa. Rentetan penemuan mayat Asunta tersebut, pihak polis telah menangkap Rosario dan Alfonso bagi membantu siasatan. Sementara itu, laporan bedah siasat mendedahkan punca kematian Asunta adalah disebabkan sesak nafas. Hasil laporan toksikologi juga mendapati Asunta terdedah dengan pil Lozarepam pada kadar dos yang tinggi sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum waktu kematiannya.
Salah satu punca utama Rosario dipercayai sebagai pelaku adalah disebabkan keterangannya yang tidak konsisten sejak dari awal penemuan mayat Asunta. Berdasarkan pemeriksaan awal pada rakaman kamera pengawasan, Asunta dilihat berada di stesen minyak bersama dengan Rosario. Hal ini tidak selari dengan kenyataan awal Rosario yang mengatakan Asunta berada di rumah sebelum dia menghilang. Banyak lagi sebenarnya bukti ditemui yang menunjukkan penglibatan Rosario dan Alfonso dalam pembunuhan Asunta. Rosario dikenal pasti sebagai orang yang telah mencekik Asunta manakala Alfonso telah memberikan dadah kepada Asunta. Motif sebenar pembunuhan yang dilakukan oleh pasangan terbabit tidak jelas akan tetapi teori dominan mengatakan Rosario dan Alfonso sudah berasa bosan dengan Asunta. Lain-lain motif, Alfonso adalah seorang pedofilia dan ada juga teori yang tidak menolak kemungkinan bahawa kematian Asunta sebenarnya bermotifkan harta kerana dia mewarisi sebahagian harta pusaka mendiang neneknya.
Soal keputusan perbicaraan mahkamah pada tahun 2015, Alfonso dan Rosario yang didapati bersalah atas pembunuhan terhadap Asunta telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun. Kedua-dua mereka membuat rayuan akan tetapi tidak berjaya. Pada 18 November 2020, media Sepanyol digembarkan dengan berita kematian Rosario yang telah membunuh diri dalam penjara. Alfonso? Masih kekal di penjara dan hingga pada hari ini, dia masih membuat penafian penglibatannya dalam pembunuhan Asunta.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN ASUNTA BASTERRA."