Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LELAKI YANG DITEMUI SELAMAT SELEPAS 31 HARI SESAT DALAM HUTAN AMAZON.


     Pada awal bulan Mac 2023, laporan media antarabangsa mendedahkan tentang seorang lelaki warganegara Bolivia berusia 30 tahun yang ditemui selamat selepas tersesat di hutan Amazon selama 31 hari. Lelaki yang dimaksudkan ini dikenali sebagai Jhonattan Acosta. Seperti yang diketahui, Hutan Amazon terkenal sebagai rumah kepada pelbagai jenis binatang buas yang boleh membunuh manusia.

     Kisah bermula apabila Jhonattan pergi berburu di dalam Hutam Amazon ini bersama dengan beberapa orang rakannya. Namun apa yang berlaku kemudian, Jhonattan telah tersesat di mana dia terpisah daripada rakan-rakannya itu. Bayangkan, Jhonattan terpaksa mengharungi situasi tersebut dalam keadaan bersendirian apatah lagi tanpa kelengkapan asas seperti parang dan lampu suluh.


     Soal bagaimana Jhonattan dapat kekal bertahan di dalam hutan itu, dia bercerita bahawa dirinya terpaksa memakan cacing dan sernagga tertentu selain meminum air hujan. Sepanjang tempohnya berada di hutan itu juga, Jhonattan perlu bergerak secara berhati-hati bagi mengelakkan dirinya menjadi mangsa serangan jaguar dan binatang buas yang lain. Jhonattan juga telah terkilir pergelangan kakinya pada hari keempat dia tersesat.


     Disebabkan asas ikhtiar hidup dalam hutan yang dimiliki Jhonattan tinggi, dia akhirnya berjaya ditemui pada hari ke-31 kehilangannya oleh pasukan pencarian yang terdiri daripada penduduk tempatan serta rakan-rakannya. Malah Jhonattan sendiri sebelum itu tidak menyangka bahawa operasi pencariannya masih diteruskan walaupun sudah sebulan dia menghilang. Sewaktu penemuannya dibuat, Jhonattan didapati telah mengalami penurunan berat badan sebanyak 17 kilogram.

     Kata Jhonattan dalam keadannya mengalirkan air mata, "Luar biasa, saya tak percaya operasi pencarian dilakukan untuk tempoh masa yang lama. Saya makan cacing, saya makan serangga, kamu semua tidak akan mempercayai semua perkara yang saya lakukan untuk bertahan hidup."

     Menurut adik Jhonattan, abangnya itu tekad untuk tidak lagi berburu di dalam Hutan Amazon selepas apa yang telah berlaku.

Catat Ulasan for "KISAH LELAKI YANG DITEMUI SELAMAT SELEPAS 31 HARI SESAT DALAM HUTAN AMAZON. "