Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KENALI FRANE SELAK, MANUSIA PALING "BERTUAH DI DUNIA"

 

     Pernah dengar nama Frane Selak? Dia yang dilahirkan lahir pada 14 Jun 1929 di Dubrovnik, Croatia digelar sebagai "manusia paling bertuah di dunia" kerana pernah terselamat daripada tujuh kemalangan yang hampir membawa maut. Diulangi, tujuh kemalangan. Berikut adalah kemalangan yang pernah dia alami tersebut : 

1. Kemalangan Kereta Api (1962)

     Frane telah terlibat dalam kemalangan kereta api yang dinaikinya pada bulan Januari 1962. Kereta api yang sedang dalam perjalanan dari Sarajevo ke Dubrovnik tersebut tergelincir dari rel sebelum terjatuh ke dalam sungai. Frane yang mengalami patah tangan dan hiportemia  merupakan satu-satunya penumpang yang terselamat dalam kemalangan itu.

2. Pesawat Terhempas (1963)

     Pada tahun 1963, Frane menaiki pesawat buat kali pertamanya dengan menuju ke Rijeka untuk melawat ibunya yang sakit. Malang tidak berbau sewaktu penerbangan tersebut apabila salah satu pintu pesawat terbuka secara tiba-tiba sekaligus menyebabkan Frane terpelanting keluar. Nasib bagaimanapun menyebelahi  Frane apabila dia terselamat sementara 19 orang lagi penumpang yang lain maut.

3. Kemalangan Bas (1966)

     Tahun 1966, bas yang dinaiki Frane terjatuh ke dalam sungai. Dalam kejadian tersebut, empat orang penumpang telah maut serta-merta di lokasi kejadian. Frane pula sekali lagi terselamat di mana dia hanya mengalami kecederaan ringan.

4. Kemalangan Kereta (1970)

     Frane mengalami kemalangan pertama keretanya pada tahun 1970. Keretanya itu dikatakan terbakar semasa dalam proses kerja pembaikan. Mujur sajalah Frane sempat melarikan diri sebelum kereta tersebut tiba-tiba meletup yang berpunca daripada kebocoran tangki minyak.

5. Kemalangan Kereta Kali Kedua (1973)

     Tiga tahun selepas kemalangan kereta kali pertama, Frane mengalami kemalangan kereta buat kali kedua. Keretanya sekali lagi terbakar juga disebabkan masalah kebocoran. Sama seperti sebelum kejadian kemalangan sebelumnya, Frane sempat menyelamatkan diri.

6. Dilanggar Bas (1995)

     Kejadian ini berlaku pada tahun 1995 di mana Frane telah dilanggar sebuah bas ketika dia sedang berjalan di sekitar Zagreb. Betapa ajaibnya apabila dia cuma mengalami kecederaan ringan.

7. Kemalangan Kereta Terakhir (1996)

     Kemalangan kereta terakhir yang berlaku kepada Frane adalah pada tahun 1996. Kereta yang dipandu Frane telah terjatuh dari kawasan tebing setinggi 95 meter akibat dirempuh oleh lori. Bagaikan dalam filem apabila Frane sempat melompat keluar dari kereta lalu berpaut pada dahan pohon.


     Harus diketahui, kebanyakan kisah Frane ini diragui kesahihannya kerana kekurangan laporan rasmi berkenaan dengan kemalangan tersebut. Pada tahun 2003, Frane telah memenangi wang loteri sebanyak €800.000 dan dia memilih untuk hidup bersederhana sesudah itu. Lelaki "bertuah" ini meninggal dunia meninggal dunia pada 30 November 2016 yakni pada usianya 87 tahun. 

Catat Ulasan for "KENALI FRANE SELAK, MANUSIA PALING "BERTUAH DI DUNIA" "