KISAH KEMATIAN LACEY FLETCHER YANG MENYAYAT HATI
Lacey Ellen Fletcher dilahirkan pada tahun 1985 di Slaughter, Louisiana, Amerika Syarikat. Dia merupakan anak tunggal kepada pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Clay dan Sheila Fletcher. Lacey telah didiagnos mengidap autisme ringan semasa zaman kanak-kanaknya sekaligus menyebabkan dia mengalami masalah untuk bersosial. Menginjak usia remaja, Lacey telah berhenti bersekolah dan situasi menjadi semakin teruk sesudah itu apabila dia disahkan mengalami agorafobia iaitu ketakutan berlebihan terhadap tempat yang luas dan lapang. Perkara ini telah memaksa Lacey untuk berkurung di rumah.
Menurut dakwaan ibu bapanya, Lacey terpaksa duduk di sofa ruang tamu rumah mereka sepanjang masa kerana masalah mental yang dihadapinya. Namun lama-kelamaan, Lacey semakin diabaikan hingga menyebabkan tahap kesihatannya semakin merosot. Dia tidak mendapat perhatian penuh oleh kedua-dua orang tuanya selain tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.
Hinggalah pada 3 Januari 2022, Sheila Fletcher telah menghubungi talian kecemasan untuk melaporkan tentang keadaan Lacey yang tidak sedarkan diri di sofa. Sebaik pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian, mereka terkejut melihat keadaan Lacey yang dalam keadaan sangat menyayat hati. Tubuh Lacey yang sudah mereput dikatakan melekat pada sofa yang dipenuhi dengan najis dan cecair dari tubuhnya sendiri. Perkara paling menyedihkan, Lacey sebelum itu hidup dalam keadaan yang sangat tidak bersih di mana dia dikelilingi kotoran, ulat dan bau busuk selama bertahun-tahun sebelum meninggal dunia.
Dr. Bickham selaku Pegawai Koroner dalam kes menyayat hati ini menjelaskan bahawa kematian Lacey adalah kes jenayah paling tidak berkeperimanusiaan yang pernah dilihatnya. Malah Dr. Bickham turut menangis dan tidak mempunyai selera makan selama seminggu selepas membedah siasat mayat Lacey. Sebaik berita mengenai kematian Lacey tersebar, ramai kenalan Clay dan Sheila berasa terkejut kerana mereka tidak langsung tidak menyangka bahawa pasangan berkenaan sebenarnya mempunyai anak. Bahkan ada antara mereka tampil dengan memberitahu bahawa dia sudah tidak melihat Lacey untuk tempoh 15 tahun.
Hasil laporan siasat mengesahkan bahawa Lacey meninggal dunia akibat kombinasi ulser tekanan, pneumonia, malnutrisi dan dehidrasi. Menurut kenyataan daripada pakar, perkara tersebut adalah disebabkan pengabaian yang berpanjangan. Pada mulanya, ibu bapa Lacey mendakwa bahawa mereka menjaga anak mereka dengan cara mereka sendiri. Ini termasuklah memberi makan dan merawat luka-lukanya tetapi bukti menunjukkan mereka gagal menyediakan penjagaan asas yang diperlukan. Seperkara harus diketahui, Sheila yang juga merupaka seorang pegawai daerah sebelum itu telah meletak jawatan selepas kes ini diketahui umum.
Berhubung dengan perbicaraan kes, pasangan itu pada mulanya didakwa atas tuduhan pembunuhan peringkat kedua. Walau bagaimanapun, dakwaan itu ditukar kepada tuduhan pembunuhan tanpa niat berikutan isu teknikal dalam dokumen pendakwaan. Pada Februari 2024, pasangan terbabit mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun, dengan 20 tahun daripada hukuman itu digantung bersama lima tahun pemantauan probasi.
Dapatkan E-Book Kompilasi Seram (Nenek, Singki dan Bangunan). RM 15 sahaja. Klik pautan ini untuk pembelian : E-Book Nenek |
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN LACEY FLETCHER YANG MENYAYAT HATI"