Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Bunuh Balas Dendam: Lelaki Didakwa Menipu Ramai Orang, Diculik dan Diseksa Hingga Mati


     Baru-baru ini, Indonesia dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam seorang lelaki yang berlaku di Bali. Mangsa iaitu Pande Gede Putra Palguna, 53 tahun telah diculik dan diseksa selama 13 hari sebelum akhirnya meninggal dunia. Lebih mengejutkan, dalang di sebalik jenayah ini ialah tiga wanita yang dikenal pasti sebagai Leni, Oki dan Intan. Pembunuhan tersebut bermotifkan dendam kerana mangsa didakwa telah menipu suspek dalam urusan kewangan.

     Difahamkan Pande sebelum ini dilaporkan pernah terlibat dalam pelbagai kes penipuan kewangan. Menurut laporan, mangsa telah menipu ramai orang termasuk Leni, Oki, dan Intan hingga menyebabkan mereka mengalami kerugian besar. Mangsa didakwa telah menipu wang sebanyak 60 juta rupiah (kira-kira RM16,368) daripada para suspek.

     Kejadian sebenar bermula pada 20 Januari 2025 apabila ketiga-tiga suspek bertindak menculik Pande sebelum mengurungnya di sebuah rumah sewa di Denpasar, Bali. Di sinilah penyeksaan kejam berlaku. Sepanjang tempoh 13 hari penculikan tersebut, mangsa mengalami penderaan fizikal yang melampau seperti ditekap dengan seterika panas, dipukul menggunakan dumbel selain diikat dengan pengikat kabel. Mangsa dipercayai merayu supaya dis dilepaskan tetapi ketiga-tiga suspek terus menyeksanya tanpa sebarang rasa belas kasihan.

     Hinggalah pada 2 Februari 2025 yakni setelah hampir dua minggu diseksa, mangsa akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan yang terlalu parah. Disebabkan panik dengan situasi tersebut, semua suspek bersepakat untuk membuang mayatnya bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa. Mayat mangsa kemudian telah ditemui di kawasan terpencil Pancasari, Kecamatan Sukasada, Kabupaten Buleleng dalam keadaan mengerikan dengan tubuhnya mengalami kesan luka melecur, lebam dan kecederaan dalaman yang teruk.

     Setelah penemuan mayat mangsa, pihak polis segera menjalankan siasatan lalu berjaya menahan Leni, Oki, dan Intan dalam tempoh yang singkat. Berdasarkan bukti yang diperoleh termasuk rakaman CCTV, keterangan saksi dan analisis forensik, pihak berkuasa mendapati bahawa ketiga-tiga wanita terbabit telah merancang pembunuhan dengan teliti. Barang bukti yang dirampas adalah seperti seterika, dumbel, pengikat kabel dan kereta sewa. 

     Selepas kematian Pande, semakin ramai individu tampil dan mendakwa bahawa mereka juga telah ditipu oleh mangsa. Hingga setakat ini, kes masih lagi dalam perbicaraan dan ramai yang menantikan keputusan mahkamah terhadap Leni, Oki dan Intan. Mereka bertiga berdepan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika didapati bersalah atas tuduhan penculikan, penderaan dan pembunuhan. Pihak berkuasa juga sedang menyiasat lebih lanjut untuk memastikan sama ada terdapat dalang lain di dalam kes ini. 

Catat Ulasan for "Bunuh Balas Dendam: Lelaki Didakwa Menipu Ramai Orang, Diculik dan Diseksa Hingga Mati"