Dendam Selepas Kalah Fortnite: Lelaki 23 Tahun Bunuh Kanak-Kanak di Epinay-sur-Orge

Perancis - Pada 7 Februari 2025, penduduk Epinay-sur-Orge iaitu sebuah bandar kecil di utara Perancis dikejutkan dengan berita kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang bernama Louise Lasalle. Louise, seorang pelajar sekolah rendah yang dikatakan sebagai anak yang ceria dan pintar dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari sekolahnya.
Hanya beberapa jam selepas laporan kehilangannya dibuat, mayat Louise kemudian telah ditemui di kawasan hutan yang berhampiran rumahnya. Mayat Louise didapati berada dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman di badannya. Hasil laporan autospi mengesahkan bahawa punca kematian adalah disebabkan kecederaan serius akibat tikaman secara bertubi-tubi.
Tidak lama selepas penemuan mayat Louise, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang disyaki sebagai suspek utama dalam pembunuhan ini. Suspek yang namanya belum didedahkan sepenuhnya kepada media ketika itu akhirnya mengaku membunuh Louise selepas soal siasat yang panjang.

Menurut laporan media, suspek merupakan seorang lelaki yang ketagih permainan video terutama permainan Fortnite. Menerusi pengakuan yang dibuatnya, dia mendedahkan bahawa dia telah mengalami kemarahan yang melampau setelah kalah teruk dalam permainan tersebut. Dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, dia keluar dari rumah dengan niat mencari seseorang untuk diserang bagi melepaskan kemarahannya. Ketika itulah dia secara kebetulan terserempak dengan Louise yang sedang berjalan pulang dari sekolah. Suspek dikatakan mengajak Louise ke dalam hutan dengan alasan untuk mencari barang yang hilang. Malangnya ketika Louise menyedari sesuatu yang mencurigakan dan cuba menjerit meminta pertolongan, suspek telah menikamnya berulang kali sehingga maut sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Suspek kini menghadapi pertuduhan berat dan bakal berdepan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Pihak pendakwa raya sedang mengumpulkan bukti dan saksi untuk memastikan keadilan ditegakkan bagi keluarga Louise. Sementara itu, masyarakat Perancis terus bersolidariti dengan keluarga mangsa sambil menggesa pihak berkuasa memperketatkan langkah keselamatan bagi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa keganasan pada masa hadapan.
Catat Ulasan for "Dendam Selepas Kalah Fortnite: Lelaki 23 Tahun Bunuh Kanak-Kanak di Epinay-sur-Orge"