Detik-Detik Terakhir Kurt Cobain Sebelum Ditemui Mati

Kurt Cobain, vokalis dan gitaris utama Nirvana telah menjalani hari-hari terakhirnya dalam keadaan penuh tekanan, ketagihan dadah dan ketidakstabilan emosi. Masalah ketagihan heroin dan kemurungan yang dia alami semakin parah. Kejayaan Nirvana juga menyebabkan dia mendapat perhatian media secara berterusan sekaligus membuatkannya semakin tertekan.
Pada 30 Mac 1994, atas desakan keluarga dan rakan-rakann Kurt terutama isterinya iaitu Courtney Love, dia bersetuju untuk mendaftar masuk ke pusat pemulihan Exodus Recovery Center di Marina del Rey, Los Angeles. Courtney yang berasa bimbang dengan masalah kecenderungan bunuh diri Kurt berharap pusat pemulihan ini akan membantu menyelamatkan nyawa suaminya. Walaupun Kurt bersetuju untuk mendapatkan rawatan, dia sebenarnya tidak menunjukkan kesungguhan untuk berubah. Kurt dikatakan menghabiskan masanya merokok di kawasan luar pusat pemulihan selain banyak berbual dengan kakitangan serta pesakit lain. Courtney beberapa kali cuba menghubunginya melalui telefon tetapi Kurt hanya bercakap sebentar dengan anak perempuan mereka, Frances Bean Cobain.

Selepas dua hari berada di pusat pemulihan yakni pada 1 April 1994, Kurt melarikan diri dengan memanjat pagar setinggi enam kaki. Dia telah mengambil penerbangan ke Seattle tanpa memberitahu sesiapa pun. Courtney yang mengetahui tentang perkara ini menjadi panik lalu menghubungi beberapa orang rakan Kurt termasuk Krist Novoselic, pemain bass Nirvana dan Dylan Carlson, sahabat baik Kurt. Namun tiada seorang pun tahu di mana Kurt berada. Kehilangannya itu telah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan orang terdekatnya kerana mereka sedar Kurt sedang berada dalam keadaan yang tidak stabil.
Beberapa minggu sebelum kejadian ini, Kurt telah membeli senapang patah Remington Model 11 dengan bantuan Dylan Carlson. Kurt meminta Dylan membelikan senjata tersebut menggunakan nama Dylan sendiri bagi mengelakkan sebarang rekod pembelian atas namanya. Ketika Dylan bertanya Kurt tentang alasan dia mahu membeli senjata itu, Kurt memberi alasan bahawa dia memerlukannya sebagai perlindungan kerana takut ada pencuri yang akan memecah masuk ke rumahnya. Dylan yang sudah biasa dengan perangai Kurt ketika di bawah pengaruh dadah tidak menyedari betapa seriusnya keadaan mental rakannya itu.

Pada 2 dan 3 April, Kurt dipercayai berada di rumahnya di 171 Lake Washington Boulevard East, Seattle. Dia mengelakkan diri daripada bertemu sesiapa. Beberapa laporan mengatakan bahawa Kurt dilihat oleh seorang pemandu teksi dan seorang pemilik kedai muzik tetapi tidak dapat dipastikan tentang apa yang dilakukannya sepanjang tempoh ini. Courtney yang semakin panik akhirnya mengupah seorang penyiasat persendirian bernama Tom Gran untuk mencari Kurt. Tom mula menjalankan siasatan dengan bercakap dengan rakan-rakan dan keluarga Kurt tetapi mereka gagal menemuinya.
Pada 4 April, Courtney Love membuat laporan kepada polis dengan mendakwa bahawa Kurt memiliki senjata api dan berisiko untuk membunuh diri. Dia berharap pihak polis akan bertindak segera dan menemui Kurt sebelum sesuatu yang buruk berlaku. Pihak polis bagaimanapun gagal untuk mengesannya. Pada masa sama, Tom bersama Dylan cuba mencari Kurt di rumahnya. Selain itu, mereka turut pergi ke beberapa lokasi di sekitar Seattle yang sering dikunjungi Kurt tetapi mereka tetap tidak menemui sebarang petunjuk.
Hinggalah pada 5 April 1994, Kurt dipercayai menamatkan riwayatnya sendiri. Berdasarkan laporan forensik, dia telah mengambil dos heroin yang sangat tinggi cukup untuk membunuhnya jika dia tidak menembak dirinya sekalipun. Dalam keadaan di bawah pengaruh dadah yang kuat, Kurt menulis nota bunuh diri yang ditujukan kepada "Boddah", kawan khayalan zaman kecilnya. Isi nota tersebut adalah luahan perasaan kecewanya terhadap dunia muzik, tekanan yang dia hadapi dan bagaimana dia tidak lagi menikmati kehidupan. Setelah selesai menulis, dia mengacukan senapang patah ke kepalanya dan melepaskan tembakan. Mayat Kurt tidak ditemui sehingga tiga hari kemudian.
Pada 8 April, seorang pekerja elektrik yang dikenali sebagai Gary Smith datang ke rumahnya untuk memasang sistem keselamatan. Ketika berjalan di sekitar rumah, dia ternampak mayat Kurt terbaring di rumah kaca (greenhouse) di atas garaj. Pada mulanya, dia menyangka bahawa Kurt sedang tidur. Cuma apabila dia melihat terdapat senapang di dada dan darah di kepalanya. Tanpa berlengah, Gary segera menghubungi pihak polis. Laporan forensik kemudian mengesahkan bahawa Kurt telah menembak dirinya sendiri dengan senapang patah Remington Model 11 dan mempunyai kandungan heroin yang tinggi dalam tubuhnya.

Kematian Kurt Cobain sememangnya telah mengejutkan peminat Nirvana di seluruh dunia. Hingga kini, kematiannya masih menjadi subjek pelbagai teori konspirasi dengan sesetengah pihak percaya bahawa dia mungkin telah dibunuh. Namun kesimpulan rasmi daripada poha polis Seattle ialah bunuh diri. Courtney Love turut mengeluarkan rakaman nota bunuh diri Kurt kepada media sebagai tanda terakhir perjuangannya. Apa yang pasti, peminat Nirvana akan terus mengenang Kurt Cobain sebagai salah seorang pemuzik paling berpengaruh di dunia.
Catat Ulasan for "Detik-Detik Terakhir Kurt Cobain Sebelum Ditemui Mati "