Dokumentari Netflix Bongkar Kisah Sebenar Pembunuhan Gabby Petito

Netflix baru saja menerbitkan sebuah dokumentari yang mengupas secara mendalam tentang kes pembunuhan tragis iaitu Gabby Petito, seorang wanita muda yang hilang sebelum ditemui mati selepas mengembara bersama tunangnya, Brian Laundrie. Dokumentari berjudul American Murder : Gabby Petito ini membawa penonton menyelami perjalanan pasangan itu, petunjuk-petunjuk awal tentang konflik dalam hubungan mereka serta bagaimana media sosial memainkan peranan besar dalam pendedahan kes ini. Selain membongkar kronologi kejadian, dokumentari ini juga mengupas kesan emosi yang dialami oleh keluarga Gabby, masyarakat dan pihak berkuasa sepanjang pencarian dan siasatan.
Gabrielle “Gabby” Petito dilahirkan pada 19 Mac 1999 di Blue Point, New York, Amerika Syarikat. Dia seorang yang ceria, peramah dan aktif di media sosial di mana dia sering berkongsi pengalamannya mengembara kepada pengikutnya di Instagram dan YouTube. Pada tahun 2019, Gabby mula bercinta dengan Brian Laundrie dan setahun sesudah itu, mereka pun bertunang. Mereka kemudian merancang untuk mengembara merentas Amerika Syarikat dengan menggunakan sebuah van yang diubah suai sebagai rumah bergerak. Pada 2 Julai 2021, pasangan ini memulakan perjalanan yang kelihatan sempurna di media sosial.

Ketegangan dalam hubungan Gabby dan Brian mula terlihat apabila polis di Moab, Utah menerima laporan tentang pertengkaran mereka pada 12 Ogos 2021. Seorang saksi mendakwa telah melihat Brian menampar Gabby. Menerusi satu rakaman kamera badan polis yang tiba di lokasi kejadian, Gabby kelihatan menangis teresak-esak manakala Brian nampak lebih tenang dan mengawal situasi. Pihak polis kemudian hanya menasihati mereka supaya berpisah untuk satu malam tanpa mengambil tindakan lanjut.
Pada 24 Ogos 2021, Gabby telah menghubungi ibunya buat kali terakhir melalui panggilan video dan mengatakan mereka berada di Grand Teton National Park, Wyoming. Beberapa hari berikutnya yakni pada 27 Ogos, seorang saksi melihat pasangan ini bertengkar di sebuah restoran di Jackson, Wyoming. Kali ini, Brian kelihatan sangat marah terhadap pekerjs restoran manakala Gabby berada dalam keadaan tertekan. Tiga hari selepas itu, ibu Gabby menerima mesej dari telefon anaknya berbunyi, "Tiada liputan di Yosemite." Walau bagaimanapun, keluarga Gabby percaya mesej tersebut bukan daripada Gabby kerana lokasi Yosemite tidak termasuk dalam rancangan perjalanan mereka.
Pada 1 September 2021, Brian kembali ke rumah keluarganya di Florida dengan memandu van Gabby tetapi tanpa Gabby. Dia tidak memberikan sebarang maklumat mengenai tunangnya dan berkelakuan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Keadaan ini menimbulkan kecurigaan keluarga Gabby yang kemudian melaporkan kehilangan anak mereka pada 11 September. Pihak berkuasa segera memulakan siasatan dan pencarian besar-besaran bagi mengesan keberadaan Gabby. Ketika siasatan semakin memuncak, giliran Brian menghilangkan diri pada 13 September,. Dia meninggalkan rumah keluarganya dan menuju ke Carlton Reserve, sebuah kawasan paya luas di Florida.
Selepas pencarian selama beberapa hari, mayat Gabby akhirnya ditemui pada 19 September 2021 di kawasan pergunungan Bridger-Teton National Forest, Wyoming. Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa Gabby mati akibat dicekik dengan kematiannya dianggarkan berlaku tiga hingga empat minggu sebelum mayatnya ditemui. Bukti yang semakin mengukuhkan kecurigaan terhadap Brian membolehkan pihak FBI menyerbu rumah keluarganya pada 20 September dan menyita beberapa barang milik lelaki terbabit termasuk komputer riba dan dokumen penting. Pencarian Brian pula terus berlanjutan selama lebih sebulan sebelum rangkanya ditemui di Carlton Reserve pada 20 Oktober.
Setelah siasatan lanjut, pihak berkuasa menemui sebuah buku nota milik Brian yang mengandungi pengakuan bahawa dialah yang membunuh Gabby. Dalam catatannya, Brian mendakwa dia melakukannya sebagai "act of mercy" kerana Gabby mengalami kecederaan dan dia ingin mengakhiri penderitaannya. Dakwaan ini bagaimanapun menimbulkan pelbagai spekulasi kerana kecederaan sebenar Gabby tidak pernah didedahkan sebagai sesuatu yang memerlukan "keputusan belas kasihan" sedemikian.
Hingga pada hari ini, keluarga Gabby meneruskan perjuangan mereka dengan menubuhkan The Gabby Petito Foundation, sebuah organisasi yang membantu mangsa keganasan domestik agar tragedi seperti ini tidak berulang.
Catat Ulasan for "Dokumentari Netflix Bongkar Kisah Sebenar Pembunuhan Gabby Petito"