Janda Muda Bunuh “Don Juan dari Kishu"? Misteri Kematian Jutawan Jepun!

Saki Sudo, wanita yang menjadi perhatian dunia selepas dituduh membunuh suaminya iaitu Kosuke Nozaki yang juga merupakan seorang ahli perniagaan kaya yang terkenal di Jepun. Kosuke yang digelar “Don Juan dari Kishu” dikenali dengan gaya hidup mewah dan kecenderungannya menghabiskan kekayaan untuk menarik perhatian wanita muda.
Kosuke Nozaki ialah seorang usahawan berjaya yang mengembangkan perniagaannya dalam bidang hartanah, pinjaman kewangan dan pertanian. Selain kejayaannya, dia juga terkenal dengan sikapnya yang gemar menghabiskan wang untuk wanita muda dan pernah menulis sebuah buku autobiografi tentang pengalaman hidupnya. Dalam buku tersebut, dia mendakwa telah membelanjakan lebih daripada 3 bilion yen (sekitar RM97 juta) untuk menarik perhatian wanita cantik.

Pada bulan Februari 2018, dia telah berkahwin seorang wanita muda berusia 22 tahun dari Sapporo, Hokkaido yang dikenali sebagai Saki Sudo Perkahwinan mereka menjadi bualan ramai kerana jurang usia yang besar, iaitu 55 tahun. Walau bagaimanapun, kebahagiaan pasangan tersebut tidak tidak bertahan lama. Pada 24 Mei 2018 yakni tiga bulan selepas perkahwinan mereka, Kosuke telah ditemui mati di rumahnya di Tanabe, Prefektur Wakayama.
Laporan bedah siasat menunjukkan bahawa Kosuke meninggal dunia akibat dos metamfetamin yang berlebihan. Peliknya, tiada sebarang kesan suntikan jarun ditemui pada tubuh Kosuke. Perkara ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana dadah itu memasuki tubuhnya, kerana dalam kebanyakan kes dos yanv berlebihan, metamfetamin disuntik terus ke dalam aliran darah. Tambahan pula, Kosuke tidak pernah mengambil dadah sebelum ini sekaligus menjadikan kematiannya lebih mencurigakan. Pihak polis juga mendapati tiada kesan pecah masuk ke rumahnya, memberi gambaran bahawa pelakunya mungkin seseorang yang dikenali oleh mangsa.

Selepas tiga tahun siasatan, pihak polis akhirnya menangkap Saki Sudo pada April 2021 atas tuduhan membunuh suaminya. Pendakwaan mendakwa bahawa Saki telah memberikan metamfetamin dengan dos yang berlebihan kepada Kosuke hingga menyebabkan kematiannya. Motif pembunuhan dipercayai berkaitan dengan harta pusaka Kosuke yang bernilai sekitar 1.3 bilion yen (sekitar RM38 juta). Kosuke pernah menyatakan dalam bukunya bahawa dia ingin menyerahkan hartanya kepada wanita yang dia cintai. Ini menguatkan lagi dakwaan bahawa Saki berkahwin dengannya untuk mendapatkan harta tersebut. Lebih mencurigakan, rekod carian internet Saki menunjukkan bahawa dia pernah mencari maklumat mengenai “jenayah sempurna” dan “dos berlebihan” sebelum kematian Kosuke.
Walaupun begitu, pihak pembelaan menegaskan bahawa tiada bukti langsung yang menunjukkan Saki memberikan dadah tersebut kepada suaminya. Selepas perbicaraan panjang, Mahkamah Daerah Wakayama akhirnya mengumumkan keputusan mengejutkan pada Disember 2024 dengan membebaskan Saki daripada tuduhan membunuh. Hakim menyatakan bahawa walaupun terdapat banyak bukti mencurigakan, tiada bukti konklusif yang dapat membuktikan bahawa Saki bersalah tanpa keraguan munasabah. Keputusan ini mencetuskan kontroversi besar kerana ramai yang percaya bahawa Saki sebenarnya bersalah

Meskipun Sudo dibebaskan dalam kes pembunuhan, dia tetap tidak terlepas daripada tindakan undang-undang. Pada September 2024, dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan atas kesalahan menipu seorang lelaki berusia 61 tahun dari Sapporo. Dia dikatakan telah memperdaya lelaki itu sebanyak 29.8 juta yen (sekitar RM970,000) dengan alasan bahawa wang tersebut diperlukan untuk persiapan belajar di luar negara. Kes penipuan ini menambahkan lagi persepsi negatif masyarakat terhadapnya yang sudah sedia skeptikal mengenai penglibatannya dalam kematian Kosuke.
Catat Ulasan for "Janda Muda Bunuh “Don Juan dari Kishu"? Misteri Kematian Jutawan Jepun!"