Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Keadilan Tertegak: Bagaimana DNA Membongkar Pembunuhan Sherri Rasmussen Setelah Dua Dekad


     Pada 24 Februari 1986, Los Angeles digemparkan dengan kes pembunuhan kejam seorang wanita bernama Sherri Rasmussen iaitu seorang jururawat yang baru sahaja mendirikan rumah tangga. Kejadian ini pada mulanya disangka sebagai satu rompakan yang gagal. Hinggalah pada dua dekad kemudian, penyiasatan baharu membongkar kebenaran yang mengejutkan. Pembunuh sebenar bukanlah seorang perompak sebaliknya seorang pegawai polis bernama Stephanie Lazarus yang mempunyai motif dendam dan cemburu.

     Bercerita tentang Sherri Rasmussen, dia merupakan seorang wanita berpendidikan tinggi dan berdedikasi dalam kerjayanya sebagai jururawat di Glendale Adventist Medical Center. Dia telah berkahwin dengan John Ruetten, seorang jurutera yang bekerja di Los Angeles. Namun kebahagiaan rumah tangga mereka mula tergugat apabila bekas teman wanita John yang dikenali sebagai Stephanie Lazarus masih tidak dapat menerima hakikat bahawa John telah memilih untuk berkahwin dengan orang lain. Stephanie yang bekerja sebagai pegawai polis LAPD (Los Angeles Police Department) pernah mempunyai hubungan dengan John sebelum perkahwinannya dengan Sherri. Walaupun hubungan mereka telah lama berakhir, Stephanie tetap menunjukkan tanda-tanda obsesinya terhadap John.


     Menurut rakan-rakan dan keluarga Sherri, Stephanie beberapa kali pernah mendekati Sherri dan memberi amaran supaya menjauhi John. Malah pada suatu ketika, dia telah pergi ke tempat kerja Sherri dan mengugutnya secara terang-terangan. Sherri berasa terancam dengan tindakan Stephanie dan pernah menyuarakan kebimbangannya kepada suaminya. Walau bagaimanapun, pasangan tersebut tidak pernah membuat laporan polis kerana tidak menyangka ancaman itu akan berakhir dengan tragedi.

     Pada pagi 24 Februari 1986, John telah keluar bekerja lebih awal, meninggalkan Sherri bersendirian di apartmen mereka di Van Nuys, Los Angeles. Pada hari itu, Sherri bercadang untuk tidak pergi ke tempat kerja kerana dia berasa kurang sihat. Pada waktu tengah hari, seorang jiran mendengar bunyi pergaduhan dari apartmen mereka tetapi tidak mengesyaki sesuatu yang buruk sedang berlaku. Beberapa jam kemudian, John pulang dan menemui isterinya dalam keadaan tidak bernyawa. Sherri telah dipukul dengan teruk dan ditembak tiga kali di bahagian dada. Keadaan apartmen mereka kelihatan seperti telah dipecah masuk akan tetapi barang-barang berharga seperti dompet dan wang tunai tidak diambil. 


     Polis yang menyiasat kejadian ini segera membuat kesimpulan bahawa ia adalah satu kes rompakan yang gagal. Pada waktu itu, terdapat beberapa kejadian rompakan di kawasan sekitar dan mereka beranggapan bahawa Sherri telah terserempak dengan perompak sebelum cuba melawan hingga menyebabkan dia dibunuh. Namun terdapat beberapa perkara yang mencurigakan dalam kes ini. Tiada tanda pecah masuk yang jelas memberi teori bahawa pembunuh mungkin menggunakan kunci atau dijemput masuk. Selain itu, terdapat bukti pergelutan di tempat kejadian yang menandakan bahawa mangsa telah berusaha sedaya upaya untuk melawan penyerangnya. Paling mencurigakan, luka gigitan manusia ditemui pada tubuh Sherri tetapi bukti ini tidak dianalisis dengan betul ketika itu.

     Lebih mengejutkan adalah keluarga Sherri yang beberapa kali meminta polis untuk menyiasat Stephanie akan tetapi permintaan mereka tersebut tidak diendahkan. Sebagai seorang pegawai polis LAPD, Stephanie mendapat perlindungan daripada rakan-rakannya dalam pasukan tersebut. Kes ini akhirnya menjadi kes pembunuhan yang tidak diselesaikan dan dikelaskan sebagai kes dingin selama lebih dua dekad.


     Hinggalah tahun 2001 yakni dengan kemajuan dalam teknologi DNA, pegawai LAPD akhirnya menguji semula bukti yang diambil dari tempat kejadian. Hasil analisis DNA daripada luka gigitan pada tubuh Sherri menunjukkan bahawa ia milik seorang wanita, bercanggah dengan teori awal bahawa pembunuh adalah seorang lelaki perompak. Biarpun penemuan ini memberi petunjuk baharu, kes itu masih tidak diberi perhatian sewajarnya sehinggalah tahun 2009 apabila penyiasat mula meneliti semula fail kes lama dan menemui nama Stephanie dalam laporan asal. Setelah mendapati Stephanie merupakan satu-satunya individu yang mempunyai motif kukuh, pihak berkuasa mula mengawasinya.

     Bagi mendapatkan bukti yang lebih kukuh, mereka menjalankan operasi rahsia untuk mengumpul sampel DNA Stephanie tanpa disedarinya. Penyiasat menunggu sehingga Stephanie menggunakan gelas minuman di tempat awam dan membuangnya ke dalam tong sampah. Gelas tersebut kemudian diambil dan dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis. Ujian menunjukkan padanan sempurna antara DNA Stephanie dan DNA yang ditemui pada luka gigitan Sherri sekaligus membuktikan secara langsung bahawa Stephanie berada di tempat kejadian dan merupakan pembunuh sebenar.


     Setelah memperoleh bukti kukuh, pihak polis merancang satu sesi soal siasat secara rahsia untuk memerangkap Stephanie tanpa menimbulkan syak wasangka. Dia telah dipanggil ke sebuah bilik di ibu pejabat LAPD dengan alasan mereka memerlukan pandangannya mengenai satu kes lain. Bilik itu telah disediakan khas tanpa sebarang senjata atau objek berbahaya kerana Stephanie masih lagi pegawai polis bersenjata pada waktu itu.

     Semasa sesi soal siasat, penyiasat secara beransur-ansur mengalihkan perbualan kepada kes pembunuhan Sherri Rasmussen. Pada mulanya, Stephanie cuba berpura-pura seolah-olah dia hampir tidak mengenali Sherri. Cuma apabila penyiasat menekan dengan lebih banyak soalan dan menyebut tentang bukti DNA, Stephanie mula menunjukkan kegelisahan. Dia memberikan jawapan yang bercanggah dan cuba mengalihkan perbualan. Ketika Stephanie tiba-tiba bertanya, "Adakah saya perlu mendapatkan peguam?", penyiasat menyedari dia mula menyedari bahawa dirinya dalam masalah besar.


     Tidak mahu memberi Stephanie peluang untuk melarikan diri atau memusnahkan bukti lain, pihak berkuasa bertindak segera. Pada 5 Jun 2009, dia ditangkap di ibu pejabat LAPD ketika sedang bertugas. Penangkapannya mengejutkan ramai pegawai polis kerana sebelum ini dia dianggap sebagai pegawai yang cemerlang dan berdedikasi dalam tugasnya. Namun dengan adanya bukti DNA dan rekod soal siasat yang menunjukkan usahanya menyembunyikan keterlibatan dalam kes ini, Stephanie akhirnya tidak dapat mengelak lagi.

     Berhubung perbicaraan kes pada tahun 2012, pihak pendakwaan membuktikan bahawa Stephanie telah memasuki apartmen Sherri menggunakan kunci yang diperolehnya melalui John atau berdasarkan maklumatnya sebagai pegawai polis. Dia telah menyerang Sherri dengan kejam sebelum menembaknya sebanyak tiga kali. Bagi mengaburi pihak penyiasat, dia cuba menjadikan kejadian itu seperti rompakan. Menerusi bukti DNA dan keterangan saksi, Stephanie telah didapati bersalah atas tuduhan pembunuhan tahap pertama dan akhirnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol.

Catat Ulasan for "Keadilan Tertegak: Bagaimana DNA Membongkar Pembunuhan Sherri Rasmussen Setelah Dua Dekad"