Kejatuhan Amisha Patel: Dari Puncak Populariti ke Kemerosotan
Amisha Patel pernah menjadi antara nama besar dalam industri Bollywood pada awal 2000-an. Kejayaannya menerusi filem debut Kaho Naa Pyaar Hai (2000) bersama Hrithik Roshan melonjakkan namanya dalam sekelip mata. Kejayaan ini disusuli dengan filem Gadar: Ek Prem Katha (2001) yang telah menjadi salah satu filem Bollywood paling laris sepanjang zaman. Namun selepas beberapa tahun berada di puncak, kerjayanya merosot dengan mendadak.
Salah satu punca utama kejatuhan Amisha Patel ialah pemilihan filem yang kurang baik. Selepas kejayaan besar dalam Kaho Naa Pyaar Hai dan Gadar, dia membintangi beberapa filem yang gagal di box office, seperti Aap Mujhe Achche Lagne Lage (2002), Kranti (2002) dan Vaada (2005). Momentum kejayaan amat penting di Bollywood di mana apabila seorang pelakon mengalami kegagalan berturut-turut, tawaran watak utama akan semakin berkurangan. Walaupun dia masih muncul dalam filem seperti Humraaz (2002) dan Bhool Bhulaiyaa (2007), ia tidak cukup untuk mengekalkan statusnya sebagai pelakon utama.

Selain masalah kerjaya, kehidupan peribadi Amisha turut menjadi perhatian media. Dia menghadapi pertelingkahan dengan ibu bapanya mengenai isu kewangan. Pada tahun 2004, dia menuduh bapanya iaitu Amit Patel telah menyalahgunakan pendapatannya sebanyak Rs 12 crore (kira-kira RM6.8 juta). Perkara ini memaksa Amisha memutuskan hubungan dengan keluarganya yang sedikit sebanyak menjejaskan imejnya di mata umum. Selain itu, hubungan cintanya dengan pengarah filem Vikram Bhatt juga menimbulkan kontroversi. Banyak pihak percaya bahawa pengaruh Bhatt telah menyebabkan Amisha membuat keputusan kerjaya yang kurang bijak yang akhirnya memberi kesan buruk kepada masa depannya dalam industr Bollywood.
Seiring dengan perubahan trend dalam Bollywood, Amisha juga semakin kehilangan relevansi. Pada pertengahan 2000-an, pelakon seperti Kareena Kapoor, Priyanka Chopra dan Katrina Kaif mula mendominasi industri. Sementara itu, heroin Bollywood semakin dituntut untuk memainkan watak yang lebih dinamik dan serba boleh sedangkan Amisha sering dikaitkan dengan watak-watak tipikal gadis lembut dan tradisional. Pengarah serta penerbit mula mencari pelakon yang lebih sesuai dengan arus perubahan dan ini menyebabkan peluang lakonan Amisha semakin terhad.

Dalam usaha untuk kembali aktif, Amisha menubuhkan syarikat produksi sendiri yang dinamakan sebagai Amisha Patel Productions lalu menghasilkan filem Desi Magic (2013). Walau bagaimanapun, penerbitan filem ini mengalami kelewatan bertahun-tahun dan gagal menarik perhatian. Dia juga muncul dalam beberapa filem seperti Shortcut Romeo (2013) dan Bhaiyyaji Superhit (2018) tetapi kedua-dua filem tersebut tidak berjaya di pasaran. Kecewa dengan kegagalan ini, Amisha semakin jarang muncul di layar perak, dan namanya hampir dilupakan oleh generasi penonton baharu.
Walaupun mengalami kejatuhan selama hampir dua dekad, Amisha mendapat sedikit kebangkitan menerusi Gadar 2 (2023). Filem ini yang merupakan sekuel kepada Gadar: Ek Prem Katha, berjaya menarik perhatian penonton terutamanya mereka yang masih mempunyai nostalgia terhadap filem asal. Cuma masih menjadi persoalan sama ada kejayaan ini mampu menghidupkan semula kerjayanya atau sekadar memberikan tumpuan sementara terhadap namanya. Jika dibandingkan dengan pelakon lain seperti Kajol atau Rani Mukerji yang berjaya bertahan lama dalam industri, Amisha masih perlu membuktikan bahawa dia mampu bersaing semula dalam industri yang semakin kompetitif.

Betapa sayangnya Amisha Patel yang pernah bersinar sebagai bintang utama Bollywood jatuh dengan begitu cepat sedangkan potensinya untuk terus berjaya sebenarnya sangat besar. Jika dia mampu membuat keputusan yang lebih baik dalam kerjayanya, mungkin dia masih berdiri sebaris dengan bintang-bintang utama Bollywood hari ini.
Catat Ulasan for "Kejatuhan Amisha Patel: Dari Puncak Populariti ke Kemerosotan"