Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kes Pembunuhan Bersiri Hwaseong Yang Akhirnya Terungkai Selepas 30 Tahun!

     Kes pembunuhan bersiri Hwaseong di Korea Selatan merupakan salah satu jenayah paling menggemparkan dalam sejarah negara itu. Kes yang berlaku dari tahun 1986 hingga 1991 ini melibatkan sepuluh wanita berusia antara 13 hingga 71 tahun di mana mereka menjadi mangsa serangan kejam seorang pembunuh misteri. Modus operandinya hampir serupa dengan fakta mangsa diserang ketika berjalan sendirian pada waktu malam sebelum dirogol dan dicekik menggunakan pakaian atau objek di sekeliling mereka. Mayat mangsa kemudian ditinggalkan di kawasan sunyi seperti sawah, ladang atau parit berhampiran perkampungan.

     Mangsa pertama adalah seorang wanita berusia 71 tahun. Dia ditemui dalam keadaan separuh bogel dan dicekik menggunakan pakaiannya sendiri. Corak pembunuhan semakin kejam apabila mangsa-mangsa seterusnya ditemui dengan coli, stoking atau tali kasut diikat ketat di leher mereka dalam simpulan khas yang menunjukkan si pembunuh mempunyai teknik tersendiri dalam membunuh. Dalam beberapa kes, pembunuh juga menggunakan jarum atau objek tajam untuk mencederakan mangsa sebelum membunuh mereka menunjukkan kecenderungan sadistiknya.

     Salah satu kes paling mengerikan melibatkan seorang gadis berusia 13 tahun yang bukan sahaja dirogol dan dicekik malah turut mengalami penderaan fizikal yang teruk sebelum maut. Beberapa mangsa juga dipaksa menelan kain sebelum dicekik hingga mati. Lebih mengejutkan, si pembunuh dipercayai menyusun mayat dalam posisi tertentu selepas membunuh mereka seolah-olah mahu meninggalkan tanda khas pembunuhnannya 

     Siasatan besar-besaran telah dijalankan dengan lebih dua juta orang anggota polis dikerahkan untuk menyelesaikan kes dan lebih 21,000 orang suspek pula disoal siasat. Namun teknologi forensik yang terhad pada waktu tersebut menyebabkan polis gagal mengenal pasti pembunuh. Kes ini kekal sebagai misteri selama lebih tiga dekad sehinggalah ia akhirnya berjaya diselesaikan dengan kemajuan teknologi DNA dan penyiasatan yang lebih teliti.

     Pada tahun 2019, Institut Forensik Nasional Korea menggunakan teknologi DNA moden untuk menganalisis bukti lama yang dikumpulkan dari tempat kejadian jenayah. Hasil analisis menunjukkan padanan dengan seorang lelaki bernama Lee Choon-jae yang ketika itu sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana merogol dan membunuh iparnya pada tahun 1994. Selepas siasatan lanjut, Lee akhirnya mengaku bertanggungjawab ke atas 14 pembunuhan (termasuk 10 kes Hwaseong) serta lebih 30 kes rogol dan serangan seksual. Namun disebabkan had masa pendakwaan telah tamat pada tahun 2006. Jadi dia tidak boleh didakwa atas kesalahan tersebut. Walaupun begitu, pihak berkuasa mengesahkan bahawa kes pembunuhan bersiri Hwaseong akhirnya telah berjaya diselesaikan.


    BHarus diketahui yakni dalam usaha menyelesaikan kes ini, pihak polis sebelum ini telah melakukan satu kesilapan besar dengan menangkap seorang suspek yang tidak bersalah iaitu Yoon Sung-yeo. Dia yang  berusia 22 tahun semasa penangkapannya telah dituduh melakukan pembunuhan kelima dalam siri kes Hwaseong. Yoon dikatakan telah mengaku bersalah setelah disoal siasat namun kemudian mendedahkan bahawa pengakuannya diperoleh melalui penyeksaan. Yoon mendakwa bahawa dia dipukul, diancam dan tidak dibenarkan tidur sehingga dia terpaksa mengaku melakukan jenayah yang sebenarnya tidak pernah dilakukan. Tambahan pula Yoon mempunyai kecacatan fizikal yang menyukarkan pergerakannya menjadikan kemungkinan untuk dia menjadi pembunuh amat tipis. Cuma tanpa bukti kukuh, mahkamah tetap menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup je atas Yoon yang kemudian dikurangkan kepada 20 tahun. Selepas menghabiskan masa dua dekad di dalam penjara, dia akhirnya dibebaskan pada tahun 2009.

     Apabila DNA dalam bukti lama akhirnya mengaitkan Lee Choon-jae dengan kes Hwaseong, Yoon  mengambil tindakan untuk menuntut keadilan. Pada tahun 2020, mahkamah secara rasmi membatalkan sabitan kesalahannya sekaligus membersihkan namanya selepas lebih 30 tahun. Dia kemudian memfailkan saman terhadap kerajaan Korea Selatan atas ketidakadilan yang dialaminya. Mahkamah memberikan pampasan sebanyak 2.5 bilion won (sekitar RM8.5 juta) sebagai ganti rugi terhadap penderitaan yang dialaminya sepanjang tempoh penyiasatan dan pemenjaraan yang tidak adil. Selain itu, Yoon juga menuntut agar pegawai polis yang terlibat dalam penyiasatan ke atasnya dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka telah menyeksa dan memaksanya menbuat pengakuan. Walaupun beberapa orang pegawai telah disiasat, kebanyakan daripada mereka telah bersara dan tidak dikenakan hukuman berat.

     Kes ini akhirnya menjadi pencetus kepada perubahan besar dalam undang-undang Korea Selatan termasuk pemansuhan had masa pendakwaan bagi jenayah berat seperti pembunuhan. 

     Kes ini juga telah menjadi inspirasi kepada filem Memories of Murder (2003) arahan Bong Joon-ho yang menggambarkan kegagalan pihak polis dalam menangkap pembunuh sebenar pada waktu itu. Filem ini menampilkan watak utama iaitu seorang detektif yang obses dengan kes tersebut tetapi tidak berjaya menyelesaikannya. Babak akhir filem ini menjadi salah satu adegan paling berkesan dalam sejarah sinematik Korea Selatan di mana detektif yang sudah bersara tersebut kembali ke lokasi kejadian dan menatap ke arah kamera seolah-olah dia sedang menatap pembunuh yang masih bebas pada waktu itu.

Catat Ulasan for "Kes Pembunuhan Bersiri Hwaseong Yang Akhirnya Terungkai Selepas 30 Tahun!"