Kes Pembunuhan Kanibal Hong Kong: Kisah Henry Chau yang Gila
Pada tahun 2013, Hong Kong dikejutkan dengan satu kes pembunuhan kejam yang melibatkan seorang lelaki muda bernama Henry Chau Hoi-leung. Kes ini mendapat perhatian meluas kerana kekejaman jenayah yang dilakukan di mana dia telah membunuh kedua ibu bapanya sebelum memotong-motong mayat mereka. Lebih mengerikan, sebahagian daripada mayat tersebut telah disimpan di dalam peti sejuk dan sebahagian lain pula dibuang ke dalam tandas.
Henry Chau merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun semasa kejadian berlaku. Dia berasal dari keluarga kelas pertengahan dan pernah mendapat pendidikan yang baik tetapi kehidupannya penuh dengan kegagalan. Henry Chau sering bertengkar dengan ibu bapanya terutama kerana mereka mengkritik gaya hidupnya yang pemalas dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Henry Chau juga pernah mendapatkan rawatan untuk masalah psikologi seperti kemurungan. Perasaan marah dan dendam yang semakin membuak-buak terhadap ibu bapanya akhirnya mendorong Henry Chau merancang pembunuhan tersebut dengan teliti selama beberapa bulan.

Pada 1 Mac 2013, Henry Chau melaksanakan rancangannya dengan bantuan seorang rakannya yang dikenali sebagai Tse Chun-kei. Henry Chau telah membuat persiapan yang teliti termasuk membeli peralatan seperti pisau daging, gergaji, beg plastik besar dan bahan pencuci untuk menghapuskan bukti. Henry juga memilih tarikh yang sesuai bagi memastikan tiada sesiapa yang akan datang melawat atau mengganggu rancangannya pada hari kejadian. Dia telah menghubungi ibu bapanya dengan meminta mereka untuk datang ke apartmennya yang terletak di Tai Kok Tsui dengan alasan ingin berbincang. Sebaik sahaja mereka tiba, Henry Chau terus menyerang mereka tanpa belas kasihan. Laporan forensik menunjukkan bahawa mangsa mungkin telah dicekik terlebih dahulu sebelum ditikam hingga mati. Mangsa dikenal pasti sebagai Glory Chau Wing-ki (65 tahun) dan Moon Siu Yuet-yee (63 tahun).

Selepas memastikan kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia, Henry dan rakannya itu mula menghapuskan bukti dengan cara yang mengerikan. Mereka menggunakan pisau dan gergaji untuk mengerat mayat ibu bapanya sebelum menyimpan sebahagian anggota badan lain di dalam peti sejuk. Setiap anggota badan dipotong dengan cermat supaya mudah disusun dan disimpan tanpa menimbulkan kecurigaan. Terdapat juga dakwaan bahawa sebahagian mayat dimasak bagi mengelakkan bau yang boleh menarik perhatian jiran-jiran. Beberapa laporan menyebut bahawa Henry dan Tse Chun menggunakan peralatan dapur seperti periuk untuk merebus atau menggoreng bahagian tubuh yang telah dipotong untuk memperlahankan proses pereputan selain menghilangkan bau daging yang mereput. Selain memasak sebahagian mayat, mereka juga membuang beberapa bahagian kecil ke dalam sistem perparitan dan tandas. Henry sedar bahawa pihak polis sering menggunakan anjing pengesan dalam siasatan jenayah, maka dia memastikan tiada kesan darah atau bau yang tertinggal di dalam apartmennya. Bilik mandi serta kawasan dapur dibersihkan dengan bahan kimia untuk menghapuskan sisa DNA. Peralatan yang digunakan dalam proses ini juga dicuci dengan bersih bagi mengelakkan sebarang bukti yang boleh mengaitkan mereka dengan pembunuhan tersebut.

Kes ini bagaimanapun terbongkar jua apabila Henry Chau sendiri menghantar mesej kepada rakan-rakannya melalui WhatsApp dengan membuat pengakuan bahawa dia telah membunuh ibu bapanya sekaligus menyelesaikan satu masalah besar dalam hidupnya. Salah seorang rakannya yang menerima mesej tersebut segera melaporkan perkara itu kepada pihak polis. Polis bertindak pantas dengan terus membuat pemeriksaan di apartmen Henry Chau sebelum menemui bahagian tubuh mangsa yang disimpan di dalam peti sejuk serta sisa-sisa lain yang dibuang ke dalam tandas. Susulan penemuan ngeri tersebut, Henry Chau dan Tse Chun-kei ditangkap serta-merta.

Semasa perbicaraan pada tahun 2015, Henry Chau cuba menggunakan alasan gangguan mental untuk mengurangkan hukumannya. Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa pembunuhan ini dirancang dengan rapi termasuk pembelian peralatan sebelum kejadian dan sikapnya yang tenang selepas jenayah dilakukan. Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Henry Chau. Sementara itu, Tse Chun dijatuhkan hukuman penjara satu tahun kerana bersubahat dalam melupuskan mayat tetapi dia tidak didapati bersalah atas pertuduhan membunuh.
Catat Ulasan for "Kes Pembunuhan Kanibal Hong Kong: Kisah Henry Chau yang Gila"