Kim Sae-ron Ditemui Meninggal Dunia

KOREA SELATAN - Aktres Korea Selatan iaitu Kim Sae-ron telah ditemui meninggal dunia di kediamannya di Seongdong-gu, Seoul, pada 16 Februari 2025. Mayatnya itu ditemui oleh seorang rakan yang berhasrat untuk bertemu dengannya pada hari tersebut. Pihak polis mengesahkan tiada tanda-tanda perbuatan jenayah dan sedang menyiasat punca kematian aktres berusia 24 tahun tersebut.
Kim sebelum ini memulakan kerjaya lakonannya pada usia sembilan tahun menerusi filem A Brand New Life (2009), di mana dia memegang watak utama sebagai Jin-hee, seorang gadis muda yang ditinggalkan di rumah anak yatim oleh bapanya. Filem ini ditayangkan di Festival Filem Cannes menjadikan Kim sebagai pelakon termuda yang dijemput ke festival tersebut. Kim kemudian meraih populariti menerusi filem The Man from Nowhere (2010), di mana dia berlakon bersama Won Bin dengan memegang watak Jung So-mi, seorang kanak-kanak yang diculik oleh sindiket jenayah. Lain-lain filem yang turut pernah dibintangi oleh Kim adalah seperti I am a Dad (2011), The Neighbour (2012), Manhole (2014), Bloodhounds dan banyak lagi.
Pada bulan Mei 2022, Kim terlibat dalam insiden memandu di bawah pengaruh alkohol di Gangnam, Seoul. Dia telah melanggar beberapa struktur termasuk kotak pencawang elektrik hingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di sekitar kawasan tersebut. Ujian darah menunjukkan kandungan alkohol dalam darahnya adalah 0.2% yakni melebihi had yang dibenarkan. Akibatnya, dia telah didenda 20 juta won selain terpaksa menarik diri daripada beberapa projek lakonan.

Selepas insiden tersebut, Kim menghadapi kesukaran dalam kerjaya dan kehidupan peribadinya. Dia dilaporkan bekerja sambilan di sebuah kafe untuk menyara kehidupannya. Hinggalah pada bulan Oktober 2024, Kim dilihat kembali ke set penggambaran untuk sebuah filem bajet rendah arahan Shin Jae-ho.
Sepanjang kerjayanya, Kim Sae-ron telah menerima pelbagai anugerah termasuk "Pelakon Baru Terbaik" dalam beberapa majlis anugerah filem Korea Selatan sekaligus mengiktiraf bakat dan dedikasinya dalam industri perfileman.
Catat Ulasan for "Kim Sae-ron Ditemui Meninggal Dunia"