Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Baby Jessica: 58 Jam Terperangkap di Dalam Perigi yang Menggemparkan Dunia

     Pada pagi 14 Oktober 1987, seorang bayi berusia 18 bulan bernama Jessica McClure Morales sedang bermain di halaman belakang rumah ibu saudaranya di Midland, Texas, Amerika Syarikat. Tanpa disedari, dia telah tergelincir ke dalam sebuah perigi yang sempit dan dalam menjadikannya terperangkap dalam keadaan yang berbahaya. Kejadian ini mencetuskan salah satu operasi penyelamatan paling dramatik dan mendapat liputan luas di seluruh dunia.

     Pada hari kejadian tersebut, Jessica sedang bermain bersama kanak-kanak lain sebelum dia tiba-tiba hilang dari pandangan. Ibunya iaitu Reba McClure yang berada di dalam rumah ada mendengar jeritan Jessica tetapi tidak nampak kelibat anaknya. Setelah mencari di kawasan sekeliling, barulah mereka menyedari bahawa Jessica telah terjatuh ke dalam perigi lama yang tidak bertutup dengan diameter hanya sekitar 8 inci (20 cm).

     Lubang perigi tersebut terlalu sempit untuk dimasuki orang dewasa dan Jessica terperangkap sedalam kira-kira 6.7 meter (22 kaki) di bawah tanah. Lebih memburukkan keadaan, dia berada dalam posisi dengan sebelah kakinya ke atas dan kepalanya ke bawah. Sejurus selepas kejadian, pasukan penyelamat dikerahkan untuk menyelamatkannya. Keadaan menjadi semakin rumit apabila mereka mendapati bahawa dinding perigi itu diperbuat daripada batu keras sekaligus menyukarkan usaha menyelamat.

     Operasi menyelamat Jessica segera dimulakan dan pada masa sama disiarkan secara langsung di televisyen seluruh Amerika Syarikat. Beratus-ratus orang pegawai bomba, polis, paramedik dan sukarelawan berkumpul bagi mencari jalan terbaik untuk mengeluarkan bayi kecil itu. Pihak penyelamat kemudian memutuskan untuk menggali sebuah terowong selari bersebelahan dengan perigi bagi mencapai Jessica. Mereka menggunakan jentera berat untuk menggali tanah tetapi menghadapi kesukaran kerana lapisan batu keras yang melambatkan proses penggalian tersebut.

     Berikutan usaha menggali dengan mesin tidak berkesan, pihak penyelamat terpaksa menggunakan alat pemotong air tekanan tinggi untuk membentuk terowong mendatar ke arah Jessica. Proses ini perlu dilakukan dengan sangat berhati-hati bagi mengelakkan runtuhan yang boleh mengancam nyawa bayi itu. 

     Suara Jessica menangis dapat didengari pada peringkat awal, memberikan harapan kepada penyelamat bahawa dia masih hidup. Namun setelah beberapa jam, suara Jessica yang tiba-tiba tidak kedengaran menimbulkan kebimbangan bahawa dia mungkin kehilangan kesedaran atau mengalami kecederaan serius. Disebabkan itu, pasukan penyelamat menghantar oksigen ke dalam perigi untuk memastikan dia dapat bernafas dengan baik. Sepanjang tempoh ini, seluruh negara menyaksikan operasi tersebut secara langsung di televisyen.

     Selepas lebih 45 jam, mereka akhirnya berjaya menggali terowong yang cukup besar untuk mencapai Jessica. Seorang paramedik bertubut kecil yang dikenali sebagai Robert O’Donnell telah ditugaskan untuk memasuki perigi dan menarik bayi itu keluar dengan selamat. Pada 16 Oktober 1987 yakni setelah 58 jam terperangkap, Jessica akhirnya berjaya dikeluarkan. Orang ramai bersorak dan menangis kegembiraan apabila melihat paramedik keluar dengan bayi kecil itu dalam pelukan.

     Jessica mengalami beberapa kecederaan akibat terperangkap begitu lama dalam keadaan yang tidak selesa. Jari kaki kanannya terpaksa dipotong kerana gangren akibat kekurangan aliran darah. Dia juga mengalami parut kekal di dahinya. Jessica bagaimamanapun membesar dengan sihat selain tidak mempunyai ingatan tentang insiden itu tetapi mengetahui kisahnya melalui dokumentasi dan liputan media.

     Pada tahun 1989, kisahnya dijadikan filem TV berjudul "Everybody’s Baby: The Rescue of Jessica McClure" yang menampilkan gambaran dramatik penyelamatan tersebut. Sesudah insiden itu, Jessica dibesarkan oleh keluarganya secara normal. Dia menggunakan dana sumbangan orang ramai yang dikumpulkan semasa kejadian untuk perbelanjaan masa depannya. Hari ini, Jessica menjalani kehidupan normal sebagai seorang ibu dan lebih suka menjauhkan diri daripada perhatian media.


Catat Ulasan for "Kisah Baby Jessica: 58 Jam Terperangkap di Dalam Perigi yang Menggemparkan Dunia"