Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Benar di Sebalik Tell Me Who I Am (2019) yang Benar-Benar Menyedihkan


     Tell Me Who I Am ialah sebuah dokumentari Netflix yang mengisahkan kehidupan dua beradik kembar dari England iaitu Alex dan Marcus Lewis. Dokumentari ini mengangkat kisah benar tentang hilang ingatan, rahsia gelap dalam keluarga dan pencarian kebenaran yang akhirnya mengubah hidup mereka. Apa yang pada awalnya kelihatan seperti sebuah kisah pemulihan daripada kemalangan sebenarnya membawa kepada pendedahan trauma yang telah lama tersembunyi.

     Pada tahun 1982 yakni ketika Alex berusia 18 tahun, dia telah mengalami kemalangan motosikal yang teruk hingga menyebabkan lelaki itu kehilangan hampir keseluruhan ingatannya. Alex tidak lagi mengenali ibu bapanya atau rakan-rakannya. Namun satu perkara yang masih jelas dalam ingatannya ialah kewujudan kembarnya, Marcus. Jadi dalam keadaan keliru dan tidak tahu siapa dirinya, Alex terpaksa bergantung kepada Marcus untuk mengetahui kisah silamnya. Marcus menjadi satu-satunya individu yang boleh memberikan maklumat di mana dis mula mencipta versi realiti yang lebih baik untuk Alex dengan hanya memberitahu apa yang dia mahu abangnya tahu.

     Bagi mengelakkan Alex daripada mengingati masa silam mereka yang penuh derita, Marcus memilih untuk menyembunyikan kebenaran. Dia memberitahu bahawa mereka mempunyai zaman kanak-kanak yang bahagia, dibesarkan dalam keluarga yang penyayang dan menjalani kehidupan yang normal. Alex yang tidak mempunyai sebarang memori lain untuk diingati menerima cerita Marcus tanpa sebarang syak wasangka. Walau bagaimanapun, jauh di sudut hati Alex, dia tetap berasa ada sesuatu yang tidak kena. Alex menyedari bahawa ibu bapa mereka tidak pernah menunjukkan kasih sayang seperti keluarga lain.

     Hakikat sebenarnya, kehidupan mereka sebagai kanak-kanak bukanlah seperti yang diceritakan oleh Marcus. Mereka berdua adalah mangsa penderaan seksual yang dilakukan oleh ibu mereka sendiri yang turut melibatkan beberapa individu lain. Setiap kali penderaan berlaku, Marcus akan memegang tangan Alex sebagai tanda sokongan dan perlindungan, walaupun mereka tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghentikannya. Namun selepas kemalangan tersebut, Alex tidak lagi mengingati segala peristiwa itu. Marcus melihat insiden hilang ingatan ini sebagai peluang terbaik untuk membiarkan abangnya hidup tanpa trauma. Dalan erti kata lain, Marcus memilih untuk menanggung semua beban itu sendirian.

     Keadaan bagaimanapun berubah apabila ibu Alex dan Marcus meninggal dunia ketika mereka berusia 32 tahun. Semasa mengemas rumah ibu mereka, Alex telah menemui sebuah peti besi berkunci yang mengandungi gambar-gambar lama mereka termasuk gambar dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Pada saat itu, Alex mula dapat menghidu satu rahsia besar yang disembunyikan oleh Marcus. Disebabkan itu, Alex mula bertanya tentang kehidupan silam mereka akan tetapi Marcus tetap enggan menceritakan perkara sebenar.

     Keengganan Marcus untuk berkongsi kebenaran akhirnya menyebabkan ketegangan dalam hubungan mereka. Alex berasa tertipu kerana selama ini dia hidup dalam pembohongan. Dia berasa bahawa dia tidak dapat mengenali dirinya sendiri kerana masa lalunya telah diubah oleh Marcus. Cuma Marcus tetap bertegas bahawa dia hanya ingin melindungi Alex daripada penderitaan yang tidak sepatutnya ditanggungnya. Konflik ini memuncK apabila Alex memaksa Marcus untuk memberitahu kebenaran, kerana dia percaya hanya dengan mengetahui kisah sebenar, barulah dia dapat memahami siapa dirinya.

Dalam dokumentari Tell Me Who I Am, detik paling menyentuh perasaan berlaku apabila Marcus akhirnya menceritakan segala-galanya buat pertama kali kepada Alex. Segala rahsia yang selama ini dipendam akhirnya terbongkar. Alex menangis kerana berasa kecewa dan hancur dengan apa yang telah berlaku dalam hidup mereka tetapi pada masa yang sama, dia juga berterima kasih kepada Marcus kerana telah cuba melindunginya selama ini. Walaupun kebenaran itu sangat menyakitkan, mereka akhirnya menerima hakikat bahawa kejujuran lebih baik daripada hidup dalam pembohongan.

Catat Ulasan for "Kisah Benar di Sebalik Tell Me Who I Am (2019) yang Benar-Benar Menyedihkan"