Kisah Benar Hachiko: Anjing Setia yang Menunggu Tuannya Selama 9 Tahun

Kisah anjing Hachiko dianggap sebagai legenda di Jepun kerana kesetiaan yang luar biasa anjing itu terhadap tuannya. Kisah Hachiko yang menyentuh hati ini teeus dikenang hingga pada hari ini selain menjadi inspirasi kepada golongan pencinta haiwan.
Bercerita tentang Hachiko yang juga merupakan anjing baka Akita, ia dilahirkan pada 10 November 1923 di sebuah ladang di Odate, Prefektur Akita, Jepun. Pada tahun 1924, Hachiko diambil sebagai haiwan peliharaan oleh Profesor Hidesaburo Ueno iaitu seorang pensyarah pertanian di Universiti Tokyo. Hachiko telah dibawa Profesor Hidesaburo ke rumahnya yang terletak di Shibuya, Tokyo. Sejak itu, Hachiko menjadi teman setia kepada tuannya.

Setiap hari, Hachiko akan menemani Profesor Hidesaburo menuju ke Stesen Shibuya di mana tuannya itu menaiki kereta api ke tempat kerja. Selepas itu, Hachiko akan pulang ke rumah dan kembali semula ke stesen pada waktu petang untuk menunggu kepulangan Profesor Hidesaburo. Rutin ini berterusan setiap hari.
Pada 21 Mei 1925, Profesor Hidesaburo telah meninggal dunia secara mengejut akibat pendarahan otak semasa dia mengajar di universiti. Walaupun Profesor Hidesaburo telah pun tiada, Hachiko terus datang ke stesen setiap hari selama lebih sembilan tahun untuk menunggu kepulangannya. Penduduk sekitar yang mengenali kisahnya mula memberikan makanan dan menjaga Hachiko. Kesetiaan Hachiko ini telah menarik perhatian seorang wartawan yang kemudian menulis sebuah artikel mengenai anjing tersebut ke dalam akhbar Asahi Shimbun pada 4 Oktober 1932. Artikel itu ternyata telah menyentuh hati rakyat Jepun hingga menjadikan kisah Hachiko semakin terkenal.
.jpg)
Pada bulan April 1934, sebuah patung gangsa didirikan di hadapan Stesen Shibuya sebagai penghormatan kepada Hachiko. Ia sendiri telah hadir dalam majlis perasmian patung tersebut. Malangnya patung asal itu dileburkan semasa Perang Dunia Kedua untuk kegunaan industri perang. Namun pada tahun 1948, patung Hachiko yang baru telah dibina semula dan masih kekal di Stesen Shibuya sehingga kini. Selain itu, patung Hachiko turut didirikan di kampung halamannya di Odate termasuk di hadapan Stesen Odate dan di Muzium Anjing Akita.
Pada 8 Mac 1935, Hachiko telah ditemui mati di sebuah lorong berhampiran Stesen Shibuya. Pada mulanya punca kematiannya tidak diketahui tetapi hasil kajian yang dilakukan oleh saintis Jepun terhadap sampel tubuh Hachiko pada tahun 2011 mendapati bahawa anjing tersebut menghidap kanser dan mengalami filariasis (jangkitan parasit cacing hati).

Setiap tahun pada 8 Mac, satu upacara peringatan diadakan di Stesen Shibuya untuk mengenang kesetiaan Hachiko. Upacara ini menarik ratusan pencinta anjing dan pengunjung dari seluruh dunia. Kisah Hachiko juga telah diadaptasi dalam filem Jepun "Hachiko Monogatari" (1987) dan filem Hollywood "Hachi: A Dog's Tale" (2009) yang dibintangi oleh Richard Gere.
Catat Ulasan for "Kisah Benar Hachiko: Anjing Setia yang Menunggu Tuannya Selama 9 Tahun"