Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Dawn DaLuise : Dendam Pakar Kecantikan, Kisah Benar di Sebalik Filem Skincare


     Dawn DaLuise pernah menjadi pakar kecantikan untuk selebriti terkenal di Hollywood termasuk melayani pelanggan-pelanggan ternama seperti Jennifer Aniston, Sarah Michelle Gellar dan Alicia Silverstone. Dia memiliki dan mengendalikan salun Dawn DaLuise Skin Refinery di Los Angeles yang terkenal dengan teknik rawatan kulit eksklusif. Namun pada tahun 2014, dia ditangkap atas tuduhan cuba mengupah pembunuh upahan untuk membunuh pesaingnya.

     Dawn DaLuise membina reputasinya selama bertahun-tahun sebagai pakar kecantikan yang mempunyai pelanggan berprofil tinggi. Salunnya yang terletak di West Hollywood menjadi tumpuan ramai selebriti yang ingin mendapatkan rawatan kulit terbaik. Menggunakan teknik khas dan pendekatan peribadi, dia berjaya menjadikan perniagaannya terkenal di kalangan golongan elit Hollywood. Cuma di sebalik kejayaan itu, Dawn adalah seorang wanita yang berperwatakan dominan dan obsesif terhadap pesaingnya. Dia sering risau tentang kemunculan perniagaan baharu yang mungkin mengancam perniagaannya yang sudah bertapak lama.


     Hinggalah pada tahun 2013, seorang lelaki bernama Gabriel Suarez membuka sebuah spa kecantikan berhampiran salun Dawn. Gabriel yang juga merupakan pakar kecantikan tidak pernah mempunyai niat untuk bersaing secara langsung dengan Dawn. Walau bagaimanapun, Dawn melihat pembukaan spa tersebut sebagai ancaman besar.

     Beberapa orang mendakwa bahawa Dawn mula menunjukkan tanda-tanda tekanan dan ketakutan tentang Gabriel akan menarik pelanggannya. Dia mula bercakap tentang bagaimana Gabriel sengaja mencuri lokasi strategik berhampiran salunnya. Bagi Dawn, salon Gabriel tidak seharusnya berada di situ.

     Kemarahan dan paranoid Dawn akhirnya memuncak kepada tindakan yang lebih ekstrem iaitu merancang untuk menyingkirkan Gabriel dengan cara yang kejam. Apabila emosinya semakin tidak terkawal, Dawn mula mencari jalan untuk menghapuskan Gabriel dari persaingan. Dia kemudian menghubungi seorang kenalannya yang dikenali sebagai Edward Feinstein. Menerusi beberapa siri mesej teks, Dawn didakwa meminta Edward untuk mencari seseorang yang sanggup membunuh Gabriel. Dia menulis mesej berbunyi "Saya tahu seseorang yang membunuh untuk wang. Saya perlukan orang seperti itu."


     Edward mendakwa bahawa Dawn benar-benar serius mengenai hasratnya dan bukannya sekadar gurauan. Dia mendakwa Dawn memberitahunya bahawa dia sudah menyelesaikan masalah perniagaan sebelum ini dengan cara yang sama. Edward seterusnya melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa sekaligus membawa kepada siasatan dan penangkapan Dawn pada bulan Mac 2014. Pihak polis mengumpulkan bukti mesej teks serta keterangan daripada Dawn. Mereka percaya bahawa Dawn benar-benar berniat untuk membunuh Gabriel walaupun tiada pembunuh upahan sebenar yang pernah diupah.

     Semasa perbicaraan, Dawn mendakwa bahawa dia sebenarnya telah menjadi mangsa konspirasi dan gangguan berterusan daripada Edward. Dia menyatakan bahawa Edward telah menghantar ugutan kepadanya dan cuba merosakkan reputasinya. Menurut pembelaannya, Edward telah membuat iklan palsu dalam talian menggunakan namanya sebelum menyebarkan maklumat bahawa Dawn menawarkan perkhidmatan seksual kepada pelanggan. Dia juga mendakwa Edward mencipta kisah pembunuh upahan untuk memburukkan namanya.


     Peguam Dawn menegaskan bahawa dia hanya bergurau dalam mesej teks dan tidak pernah benar-benar berniat untuk membunuh sesiapa. Mereka berpendapat bahawa Edward mempunyai motif sendiri untuk memerangkap Dawn dalam skandal ini. Walaupun begitu, pihak pendakwa raya tetap berpegang pada bukti mesej teks dan mendakwa bahawa niat Dawn adalah jelas di mana dia mahu Gabriel mati.

     Selepas perbicaraan, mahkamah akhirnya membuat keputusan pada tahun 2015. Dawn dibebaskan daripada pertuduhan utama yakni cuba mengupah pembunuh upahan kerana tiada bukti kukuh menunjukkan pembunuhan tersebut benar-benar dilakukan. Dia telah didapati bersalah atas tuduhan mengganggu saksi kerana dia cuba menakutkan Edward dan mempengaruhi testimoni terhadapnya. Disebabkan kesalahan ini, Dawn pun dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun. Keputusan ini mengejutkan ramai pihak terutama kerana Dawn sebelum ini dikenali sebagai individu berpengaruh dalam industri kecantikan. Setelah menjalani hukuman, imej serta reputasi Dawn hancur. Salunnya terpaksa ditutup dan dia kehilangan semua pelanggan selebriti yang pernah mempercayainya.


     Sementara itu, perniagaan Gabriel, Smooth Cheeks, terus berkembang dan mendapat sambutan baik. Salun kecantikannya berjaya menarik lebih ramai pelanggan termasuk selebriti dan golongan elit di Hollywood. Kejayaan Gabriel ini mungkin sebahagiannya disebabkan oleh publisiti yang timbul daripada kes Dawn yang secara tidak langsung meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perniagaannya. Pada tahun 2024, sebuah filem yang diinspirasi daripada kes sebenar Dawn DaLuise berjudul Skincare telah ditayangkan. 

Catat Ulasan for "Kisah Dawn DaLuise : Dendam Pakar Kecantikan, Kisah Benar di Sebalik Filem Skincare"