Kisah Genie yang Benar-Benar Menyedihkan

Pada tahun 1970, dunia dikejutkan dengan kisah tragis seorang kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai Genie. Dia bukan sahaja menjadi mangsa penderaan tetapi juga pengabaian sosial yang melampau sehingga kehidupannya berubah menjadi satu eksperimen dalam kajian perkembangan manusia. Sejak kecil, Genie telah dikurung dalam sebuah bilik gelap tanpa sebarang interaksi dengan dunia luar. Keadaan ini mengakibatkan pertumbuhan fizikal, mental dan bahasanya terbantut sekaligus menjadikannya subjek penting dalam kajian tentang kesan pengasingan sosial terhadap manusia.
Bercerita tentang Genie, dia dilahirkan pada tahun 1957 dalam sebuah keluarga bermasalah di Los Angeles. Bapanya bernama Clark Wiley, seorang lelaki yang kejam dan penuh paranoid percaya bahawa anak-anaknya perlu dilindungi daripada dunia luar dengan cara mengasingkan mereka. Sejak berusia 20 bulan, Genie tidak lagi dibenarkan berinteraksi dengan sesiapa dan dikurung di dalam bilik kecil yang gelap. Dia sering diikat pada kerusi tandas atau diletakkan di dalam buaian dengan tangan dan kakinya terikat. Jika Genie mengeluarkan bunyi, bapanya akan memukulnya atau menakut-nakutkannya dengan bunyi salakan anjing. Sementara itu, ibu Genie yang buta sebelah mata iaitu Irene tidak berani menentang suaminya. Begitu juga dengan abang Genie yang tidak mampu membela Genie. Akibatnya, Genie membesar tanpa sebarang rangsangan sosial atau pengalaman dunia luar.

Kes Genie seterusnya menarik perhatian ahli psikologi dan pakar linguistik yang ingin mengkaji kesan pengasingan sosial terhadap perkembangan manusia. Beberapa orang penyelidik telah menjalankan pelbagai ujian untuk memahami sejauh mana Genie boleh belajar selepas mengalami pengabaian ekstrem. Salah satu teori yang dikaji ialah “tempoh kritikal perkembangan bahasa”, yang menyatakan bahawa jika seseorang tidak terdedah kepada bahasa sebelum usia tertentu, mereka mungkin tidak akan dapat mempelajarinya dengan sempurna. Penyelidikan terhadap Genie mendapati bahawa walaupun dia boleh belajar beberapa perkataan dan memahami konsep asas tetapi sukar membentuk ayat penuh dan memproses tatabahasa dengan betul. Genie juga menunjukkan pemahaman bahasa yang lebih baik berbanding kemampuannya untuk bercakap. Ujian neurologi mendapati bahawa otaknya tidak berkembang seperti otak manusia normal terutama di bahagian yang mengawal bahasa.

Pada peringkat awal selepas diselamatkan, Genie menunjukkan perkembangan positif dalam pembelajaran dan interaksi sosial. Walau bagaimanapun, keadaan berubah apabila dana penyelidikan terhadapnya mula berkurangan. Pada tahun 1975, Genie dikembalikan ke dalam sistem penjagaan sosial biasa dan mula berpindah-pindah antara rumah penjagaan. Malangnya dalam beberapa rumah penjagaan tersebut, dia kembali mengalami penderaan dan pengabaian. Perkara ini menyebabkan perkembangan yang telah dicapainya sebelum ini merosot dan pada satu ketika, dia berhenti bercakap sama sekali. Ibunya pernah mengambil hak penjagaan ke atasnya tetapi gagal memberikan penjagaan yang baik. Akhirnya, Genie ditempatkan dalam pusat penjagaan khas untuk orang kurang upaya dan sejak itu tiada lagi laporan jelas tentang keadaannya.

Kisah Genie menjadi salah satu kes paling menyedihkan dalam sejarah pengabaian kanak-kanak dan memberi kesan besar dalam dunia psikologi serta linguistik. Ia membuktikan bahawa interaksi sosial dan kasih sayang sangat penting dalam perkembangan manusia. Jika seseorang tidak terdedah kepada bahasa dalam tempoh kritikal, mereka mungkin tidak akan dapat menguasainya dengan sempurna. Kes Genie juga menjadi peringatan tentang bahaya penderaan dan pengabaian yang boleh memberi kesan tidak boleh dipulihkan kepada kanak-kanak.
Catat Ulasan for "Kisah Genie yang Benar-Benar Menyedihkan"