Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Legenda Seram Anna Baker: Cinta Terlarang yang Menghantui Baker Mansion!


     Di bandar Altoona, Pennsylvania, Amerika Syarikat, terdapat sebuah rumah agam megah yang kini dikenali sebagai Baker Mansion. Rumah ini bukan sahaja melambangkan kemewahan keluarga Baker pada abad ke-19 tetapi juga menyimpan kisah tragis seorang wanita bernama Anna Baker. Hingga pada hari ini, legenda Anna terus menjadi perbualan bukan hanya disebabkan kisah cintanya yang tidak kesampaian tetapi juga kerana gangguan paranormal yang dikatakan masih berlaku di rumah agam tersebut. 

     Bercerita tentang Anna Baker, dia ialah anak perempuan Elias Baker iaitu seorang industrialis besi yang kaya dan berpengaruh. Seperti kebanyakan keluarga berada pada zaman itu, Elias sangat mementingkan status sosial dan tidak membenarkan anak-anaknya berkahwin dengan sesiapa sahaja yang dianggap tidak setaraf. Namun takdir telah mempertemukan Anna dengan seorang lelaki biasa, seorang pekerja di kilang besi milik ayahnya. Mereka saling mencintai dan merancang untuk berkahwin, tetapi apabila Elias mengetahui hubungan mereka, dia segera menghalangnya. Bagi Elias, anak perempuannya itu harus berkahwin dengan seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat. Elias menggunakan kuasanya untuk mengusir lelaki itu dari bandar sekaligus memisahkannya daripada Anna buat selama-lamanya.


     Anna yang patah hati tidak pernah pulih daripada kesedihannya. Dia telah menolak semua calon suami yang diperkenalkan kepadanya dan memilih untuk menyendiri di rumah agam keluarganya. Setiap hari, dia dikatakan menghabiskan masanya duduk di tepi tingkap termenung ke luar seolah-olah menunggu kekasihnya kembali. Tahun demi tahun berlalu, penantiannya sia-sia. Dia akhirnya meninggal dunia dalam tanpa berkahwin. Anna pergi membawa rasa kecewa dan dendam terhadap bapanya yang telah merampas kebahagiaannya.


     Namun kematian Anna bukanlah pengakhiran kisahnya. Sejak Baker Mansion dijadikan sebagau muzium, pelbagai gangguan aneh mula dilaporkan oleh pengunjung dan pekerja di situ. Salah satu kejadian paling terkenal adalah berkaitan dengan gaun pengantin yang pernah dipilih oleh Anna untuk hari bahagianya. Gaun itu disimpan di dalam almari kaca di rumah agam tersebut dan ramai saksi mendakwa pernah melihat gaun berkenaan bergerak sendiri seperti ada seseorang yang sedang memakainya. Ada juga yang mendengar suara tangisan seorang wanita yang dipercayai suara Anna di mana dia masih lagi meratap cintanya yang tidak kesampaian.

     Selain itu, ramai pengunjung melaporkan kelibat bayangan wanita berbaju putih berkeliaran di sekitar rumah yang dipercayai sebagai roh Anna. Bunyi ketukan misteri juga sering kedengaran di dinding dan pintu biliknya seakan ada seseorang yang ingin keluar. Beberapa individu mendakwa dapat berasa perubahan suhu mendadak ketika berada di bilik Anna dengan udara tiba-tiba menjadi sangat sejuk tanpa sebab yang jelas. Semua kejadian ini mengukuhkan kepercayaan bahawa roh Anna masih menghuni Baker Mansion bagai terperangkap dalam kesedihan yang tidak berpenghujung.


     Hingga kini, kisah Anna Baker terus diceritakan sebagai salah satu legenda seram yang terkenal di Pennsylvania. Baker Mansion menjadi tarikan kepada mereka yang ingin menyaksikan sendiri keanehan yang berlaku di rumah tersebut. Ada yang datang untuk merasai sendiri suasana menyeramkan di bilik Anna, sementara ada yang sekadar ingin melihat gaun pengantinnya yang dikatakan berhantu itu. Sama ada kisah ini benar atau sekadar mitos, satu perkara pasti adalah Baker Mansion akan terus menjadi tempat yang menyimpan rahsia dan misteri serta kisah cinta tidak kesampaian yang menghantui sepanjang zaman.

Catat Ulasan for "Kisah Legenda Seram Anna Baker: Cinta Terlarang yang Menghantui Baker Mansion!"