Kisah Madame Delphine LaLaurie: Legenda Seram dari New Orleans

Madame Marie Delphine LaLaurie, salah satu nama paling menakutkan dalam sejarah New Orleans. Dilahirkan pada tahun 1787 dalam keluarga bangsawan Creole yang kaya dan berpengaruh, Delphine menjalani kehidupan mewah sebagai seorang sosialit. Walaupun dia dikenali sebagai wanita yang bergaya dan sering mengadakan majlis-majlis eksklusif, tiada siapa sangka bahawa di sebalik pintu rumahnya tersembunyi rahsia yang mengerikan.
Sepanjang hidupnya, Delphine pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Suami pertamanya iaitu seorang pegawai Sepanyol telah meninggal dunia secara misteri. Suami keduanya yang juga merupakan seorang ahli politik kaya turut meninggal dunia pada beberapa tahun selepas perkahwinan mereka. Perkahwinannya yang ketiga pula adalah dengan seorang lelaki bernama Dr. Louis LaLaurie membawanya menetap di sebuah rumah agam tiga tingkat di Royal Street, French Quarter.

Di mata masyarakat, Delphine kelihatan sebagai seorang wanita yang baik dan penyayang tetapi jiran-jirannya mendakwa mereka sering mendengar bunyi jeritan dari dalam rumah agamnya. Terdapat juga laporan kejadian mencurigakan tentang seorang hamba wanita muda di rumah Delphine yang dikatakan cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung tetapi akhirnya terjatuh lalu meninggal dunia. Kejadian ini memaksa pihak berkuasa melakukan siasatan tetapi Delphine telah menggunakan pengaruh dan kekayaannya untuk mengelakkan hukuman. Dia hanya diminta untuk menjual hamba-hambanya. Walau bagaimanapun, dia kemudian membeli semula hamba-hambanya itu melalui pihak ketiga secara rahsia.
Diringkaskan cerita yakni pada 10 April 1834, satu kebakaran telah berlaku di rumah Delphine. Ketika bomba tiba untuk memadamkan api, mereka menemui seorang hamba iaitu wanita tua yang dirantai di dapur. Wanita tersebut mengaku bahawa dia sengaja membakar rumah itu kerana tidak tahan lagi dengan penderitaan yang dialaminya. Apabila pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan lanjut di dalam rumah, mereka telah menemui sebuah bilik rahsia mengerikan di bahagian loteng.

Di dalam bilik itu, terdapat beberapa orang hamba ditemui dalam keadaan menyayat hati. Ada yang dirantai dengan luka bernanah di tubuh badan mereka. Ada juga antara mereka yang kehilangan anggota badan atau mengalami kecederaan parah akibat penyeksaan. Lebih ngeri, beberapa mayat yang sudah dipotong turut ditemui. Lagi dahsyat, sesetengah hamba dipercayai telah dipaksa menjalani eksperimen gila di mana anggota badan mereka sengaja dipatahkan sebelum dibiarkan sembuh dalam keadaan yang tidak normal.
Penemuan ini telah mencetuskan kemarahan besar di kalangan penduduk New Orleans. Orang ramai menyerbu rumah Delphine dan merosakkan barangan sedia ada dalam usaha membalas dendam terhadap kekejaman yang dia sudah lakukan. Namun sebelum dia sempat ditangkap, Delphine berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta kuda. Dia dikatakan melarikan diri ke Mobile, Alabama sebelum berlayar ke Paris dan tidak pernah kembali ke Amerika Syarikat sesudah itu.

Kematian Delphine kekal menjadi misteri. Ada teori yang mengatakan dia meninggal dunia di Paris akibat penyakit dan dikebumikan di sana. Terdapat juga khabar angin bahawa mayatnya dibawa pulang secara rahsia ke New Orleans dan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan tempatan. Tiada bukti kukuh yang dapat mengesahkan perkara ini sekaligus menjadikan nasibnya terus menjadi tanda tanya.
Selepas peristiwa itu, rumah agam Delphine dibiarkan kosong dan bertukar hak milik beberapa kali. Pemilik baru sering melaporkan beberapa kejadian seram seperti jeritan misteri, bayangan hitam yang berkeliaran dan bunyi rantai bergeser. Rumah ini kemudian menjadi salah satu tarikan berhantu paling terkenal di New Orleans dan sering dikaitkan dengan aktiviti paranormal.
Kisah Madame Delphine LaLaurie terus hidup dalam budaya popular dan sering diadaptasi dalam filem, siri televisyen serta novel seram. Walaupun ada perdebatan mengenai sejauh mana kebenaran kisah ini, sejarah tetap mencatatkan namanya sebagai salah seorang wanita paling kejam dalam sejarah Amerika. Hingga pada hari ini, misteri dan kengerian yang menyelubungi rumah agamnya masih menghantui ingatan mereka yang mendengar kisahnya.
Catat Ulasan for "Kisah Madame Delphine LaLaurie: Legenda Seram dari New Orleans"