Kisah Mauro Prosperi Sesat 9 Hari di Gurun Sahara, Terpaksa Minum Air Kencing & Makan Kelawar untuk Hidup!

Mauro Prosperi ialah seorang pelari ultramaraton dari Itali yang menjadi terkenal bukan kerana kejayaannya dalam perlumbaan tetapi kerana pengalaman luar biasanya bertahan hidup selama sembilan hari selepas tersesat dalam Marathon des Sables pada tahun 1994. Kejadian ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikalnya bahkan juga memperlihatkan kekuatan mental dan semangat juang seorang manusia dalam keadaan yang hampir mustahil.
Marathon des Sables dikenali sebagai salah satu perlumbaan ultramaraton paling sukar di dunia. Dipertandingkan setiap tahun di Gurun Sahara, ia melibatkan jarak lebih 250 kilometer dalam tempoh enam hari. Para peserta harus berlari dalam keadaan cuaca ekstrem selain perlu membawa sendiri bekalan makanan dan peralatan asas yang lain. Suhu boleh mencecah 50°C pada siang hari dan menurun secara mendadak pada waktu malam.
Pada tahun 1994, Mauro Prosperi yang juga merupakan seorang pegawai polis dari Itali telah menyertai perlumbaan ini dengan keyakinan tinggi. Sebagai seorang atlet berpengalaman, dia sudah biasa menghadapi cabaran fizikal yang melampau. Walau bagaimanapun, Mauro tidak pernah menyangka bahawa perlumbaan kali ini akan menjadi detik paling mencabar dalam hidupnya.

Pada hari keempat perlumbaan, ribut pasir yang kuat melanda hingga menyebabkan Mauro tidak dapat melihat apa-apa di sekelilingnya. Dalam keadaan tersebut, dia terus berlari agar tidak tertimbus dalam pasir yang ditiup angin kencang. Ribut tersebut bagaimanapun berlanjutan selama lapan jam dan apabila akhirnya reda, Mauro mendapati dirinya telah tersasar jauh dari laluan asal perlumbaan. Dia tidak melihat peserta lain, tiada sebarang petunjuk arah, dan di sekelilingnya hanya terbentang gurun pasir yang luas tanpa penghujung.
Tanpa mengetahui di mana dia berada, Mauro berusaha mencari jalan keluar. Namun Gurun Sahara yang luas tidak memberikan sebarang petunjuk yang boleh membantunya. Bekalan air yang dibawanya semakin berkurangan dan dalam keadaan yang semakin mencabar, dia terpaksa mengambil langkah luar biasa untuk terus hidup. Selepas air minumannya habis, dia meminum air kencing sendiri sebagai satu-satunya cara untuk mengekalkan hidratasi badannya. Beberapa hari kemudian, dia menemui sebuah masjid kecil yang kelihatan sudah lama ditinggalkan lalu menjadi tempat perlindungannya. Di dalamnya, dia melihat beberapa ekor kelawar yang tergantung di siling. Dengan keberanian luar biasa, Mauro menangkap dan memakan kelawar itu secara mentah. Lebih dahsyat, Mauro menghisap darah kelawar tersebut untuk mendapatkan cecair dan nutrien yang diperlukan. Selain itu, dia juga menemui ular kecil yang turut dimakannya demi mendapatkan tenaga untuk terus berjalan.

Hari demi hari berlalu dan harapan untuk diselamatkan semakin pudar. Sesudah beberapa hari tanpa sebarang tanda bantuan muncul, Mauro mula berasa putus asa. Dia mengambil keputusan untuk membunuh diri supaya mayatnya lebih mudah ditemui oleh keluarganya. Mauro pun bertindak untuk mengelar pergelangan tangannya dengan menggunakan pisau yang dibawanya. Disebabkan badannya yang sudah mengalami dehidrasi melampau, maka darahnya tidak mengalir seperti biasa lalu membeku dengan cepat. Percubaan bunuh diri itu gagal dan dia akhirnya sedar bahawa satu-satunya cara untuk keluar dari keadaan ini ialah dengan terus berjuang untuk hidup.

Pada hari kesembilan, Mauro yang semakin lemah terus berjalan sehingga dia menemui sekumpulan pengembala Tuareg. Mereka segera memberinya air, makanan dan perlindungan sebelum membawanya ke sebuah kem yang lebih besar. Dari situ, dia akhirnya dihantar ke hospital di mana doktor mengesahkan bahawa dia telah kehilangan 18 kilogram berat badan, mengalami dehidrasi teruk, dan berada dalam keadaan fizikal yang sangat lemah. Cuma apa yang mengejutkan semua orang, keadaannya tidak kritikal dan selepas beberapa minggu mendapatkan rawatan, dia kembali pulih sepenuhnya.
Ramai yang menyangka bahawa pengalaman ini akan membuatkan Mauro Prosperi meninggalkan dunia perlumbaan. Namun dia membuktikan bahawa semangat juangnya tidak pernah luntur. Beberapa tahun kemudian, dia kembali menyertai Marathon des Sables dan menamatkannya dengan jayanya. Pengalamannya menjadi inspirasi kepada ramai pelari dan pengembara di seluruh dunia, membuktikan bahawa ketahanan mental dan keinginan untuk hidup boleh mengatasi hampir semua cabaran.
Catat Ulasan for "Kisah Mauro Prosperi Sesat 9 Hari di Gurun Sahara, Terpaksa Minum Air Kencing & Makan Kelawar untuk Hidup!"