Kisah Menyedihkan di Sebalik Dokumentari : Dear Zachary: A Letter to a Son About His Father
Dear Zachary: A Letter to a Son About His Father ialah sebuah dokumentari tahun 2008 yang diarahkan dan dihasilkan oleh Kurt Kuenne. Dokumentari ini bukan sahaja sebuah kisah tragis tentang kehilangan dan keadilan yang gagal ditegakkan tetapi juga sebuah kisah cinta dan penghormatan terhadap seorang lelaki bernama Andrew Bagby.
Andrew Bagby ialah seorang doktor muda yang berasal dari Amerika Syarikat. Dia dikenali sebagai seorang lelaki yang mesra, penyayang dan sangat disenangi oleh keluarga serta rakan-rakannya. Diringkaskan cerita yakni pada tahun 2001, Andrew telah menjalin hubungan dengan seorang wa a Shirley Jane Turner, seorang doktor yang jauh lebih tua daripadanya. Hubungan mereka bagaimanapun penuh toksik. Shirley mempunyai sejarah perhubungan yang bermasalah dan sifat mengawal yang kuat. Dia sering menunjukkan sikap cemburu melampau dan manipulatif. Hingga apda akhirnya apabila Andrew cuba memutuskan hubungan mereka, Shirley bertindak balas dengan kejam.

Pada 5 November 2001, Andrew telah ditemui mati di sebuah taman di Pennsylvania dengan lima kesan tembakan. Pihak berkuasa segera mengesyaki Shirley kerana Andrew baru sahaja berpisah dengannya sehari sebelum kejadian. Bukti menunjukkan bahawa Shirley telah memandu sejauh 1,600 kilometer dari rumahnya di Iowa ke Pennsylvania untuk membunuh Andrew dan kemudian kembali ke rumah seperti tiada apa-apa yang berlaku. Namun sebelum pihak berkuasa sempat menangkapnya, Shirley bertindak melarikan diri ke negara asalnya, Kanada. Ketika siasatan sedang berjalan, satu berita mengejutkan muncul di mana Shirley hamil dan bayi yang dikandungnya itu adalah anak Andrew.
Anak Andrew yang dinamakan sebagai Zachary Andrew Turner telah dilahirkan pada 18 Julai 2002. Ini menyebabkan keluarga Andrew terutama ibu bapanya, Kate dan David Bagby terpaksa menghadapi dilema yang amat menyakitkan. Mereka bukan sahaja kehilangan anak tunggal mereka bahkan perlu berurusan pula dengan wanita yang membunuhnya kerana Shirley ialah ibu kepada cucu mereka.
Kate dan David berpindah ke Kanada dalam usaha mendapatkan hak penjagaan terhadap Zachary. Mereka berjuang melalui sistem perundangan Kanada yang pada waktu itu sangat longgar dalam menangani kes-kes ekstradisi dan jaminan bagi suspek jenayah berat. Walaupun bukti terhadap Shirley semakin kukuh, mahkamah Kanada membenarkannya dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan ekstradisi. Hakim berpendapat bahawa Shirley tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan mempunyai tanggungjawab menjaga Zachary. Jadi dia dianggap tidak berbahaya. Keputusan ini mengejutkan semua orang termasuk pihak berkuasa di Amerika Syarikat yang telah pun menyediakan dokumen ekstradisi untuk membawanya kembali ke sana.

Hinggalah pada 18 Ogos 2003, tragedi yang lebih besar berlaku. Shirley telah membawa Zachary ke sebuah dermaga di Newfoundland lalu memberikan anaknya ubat tidur dan kemudian terjun ke dalam laut bersama-sama. Kedua-duanya mati dalam kejadian ini hingga meninggalkan keluarga Bagby dalam kesedihan yang sukar digambarkan.
Kes ini bukan sahaja tentang pembunuhan tetapi satu bukti jelas tentang kegagalan sistem perundangan Kanada yang membenarkan seorang suspek pembunuhan pertama hidup bebas dan akhirnya menyebabkan kematian seorang bayi yang tidak bersalah. Kematian Zachary mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan masyarakat khususnya terhadap kelemahan sistem perundangan Kanada. Kate dan David Bagby memulakan usaha untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang. Mereka memperjuangkan perubahan undang-undang jaminan di Kanada yang akhirnya membawa kepada Zachary’s Bill iaitu undang-undang yang memperketatkan syarat jaminan bagi suspek kes jenayah berat terutama yang melibatkan keganasan.

Pengarah dokumentari ini, Kurt Kuenne merupakan sahabat baik Andrew sejak kecil. Pada awalnya, dokumentari ini dibuat sebagai hadiah kepada Zachary supaya dia dapat mengenali siapa bapanya apabila dia dewasa kelak. Namun apabila tragedi Zachary berlaku, projek ini bertukar menjadi satu bentuk dokumentasi lebih luas yang bukan hanya untuk mengenang Andrew dan Zachary tetapi juga menunjukkan bagaimana kegagalan sistem perundangan boleh membawa kepada kehancuran nyawa.
Filem ini menggabungkan rakaman lama Andrew, wawancara dengan keluarga dan rakan-rakannya serta perjalanan penuh emosi Kate dan David dalam mencari keadilan. Dear Zachary mendapat pujian meluas kerana penyampaiannya yang penuh emosi dan kejujuran yang menyakitkan. Ia bukan sekadar dokumentari biasa tetapi sebuah kisah yang mengundang air mata dan kemarahan terhadap sistem yang gagal melindungi mereka yang tidak bersalah. Kisah ini terus menjadi peringatan tentang betapa pentingnya keadilan yang tegas dalam kes jenayah berat.
Catat Ulasan for "Kisah Menyedihkan di Sebalik Dokumentari : Dear Zachary: A Letter to a Son About His Father"