Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Misteri Kehilangan Amelia Earheart


     Amelia Earhart merupakan seorang juruterbang wanita Amerika Syarikat yang terkenal kerana pencapaian luar biasanya dalam dunia penerbangan. Namun di sebalik pencapaianuar biasa tersebut, misteri kehilangan Amelia ketika dalam misi penerbangan mengelilingi dunia pada tahun 1937 terus menjadi tanda tanya. Walaupun pelbagai teori dan penyelidikan dijalankan, nasib sebenar Earhart dan pesawatnya masih belum terjawab sekaligus menjadikannya salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden.

     Bercerita tentang latar belakang Amelia Mary Earhart, dia dilahirkan pada 24 Julai 1897 di Atchison, Kansas, Amerika Syarikat. Dia merupakan anak sulung kepada pasangan Edwin Stanton Earhart dan Amelia Otis Earhart. Sejak dari kecil, Amelia sememangnya seorang kanak-kanak perempuan yang lasak seperti suka berlari, memanjat pokok dan menangkap serangga.  Amelia mendapat pendidikan awal di rumah sebelum menghadiri pelbagai sekolah formal di Chicago. Pada tahun 1917 yakni semasa Perang Dunia Pertama, dia telah menjadi jururawat sukarela di Toronto, Kanada di mana dia merawat tentera yang cedera. Pengalaman ini memberi kesan besar kepada  dan mendorong minat Amelia dalam dunia penerbangan setelah melihat pesawat tentera yang beroperasi di lapangan terbang berhampiran.

     Minat Amelia terhadap penerbangan semakin mendalam setelah menaiki pesawat buat kali pertama pada tahun 1920. Titik perubahan dalam hidupnya berlaku pada 28 Disember 1920 apabila dia menaiki penerbangan bersama juruterbang iaitu Frank Hawks di California. Pengalaman selama 10 minit di udara itu membuatkan Amelia berazam untuk menjadi seorang juruterbang. Dia kemudian mengambil kelas penerbangan di bawah bimbingan Neta Snook yang juga merupakan seorang juruterbang wanita terkenal pada ketika itu. Bagi membiayai pengajiannya, Amelia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjadi jurujual, jurugambar dan guru. Pada tahun 1921, dia membeli pesawat pertamanya, Kinner Airster kuning, yang dinamakan sebagai "The Canary". Setahun berikutnya, dia memperoleh lesen penerbangan rasmi daripada Federation Aeronautique Internationale (FAI), menjadikannya salah seorang juruterbang wanita terawal yang mendapat pengiktirafan tersebut.

     Nama Amelia terus mendapat perhatian dunia apabila dia menjadi wanita pertama yang menyeberangi Lautan Atlantik pada tahun 1928. Walaupun ketika itu dia hanya menjadi penumpang dalam penerbangan yang dikendalikan oleh Wilmer Stultz dan Louis Gordon tersebut, pencapaian ini tetap menjadikannya terkenal. Media menggelarnya sebagai "Lady Lindy", merujuk kepada Charles Lindbergh iaitu lelaki pertama yang menyeberangi Atlantik secara solo. Walau bagaimanapun, Amelia tidak berpuas hati dengan kejayaan itu. Dia bertekad untuk terbang secara solo merentasi Atlantik. Pada 20 Mei 1932, Amelia memulakan penerbangan bersejarah dari Harbour Grace, Newfoundland, ke Ireland Utara dan menjadikannya wanita pertama yang melakukan penerbangan solo merentasi Atlantik. Penerbangan itu mengambil masa 14 jam 56 minit dalam keadaan cuaca buruk. Kejayaan ini mengukuhkan lagi namanya dalam dunia penerbangan.

     Beberapa pencapaian lain yang dicapai Amelia termasuk menjadi wanita pertama yang terbang sejauh 18,415 kaki di udara pada tahun 1931, wanita pertama yang melakukan penerbangan solo tanpa henti dari Amerika Syarikat ke Eropah pada tahun 1932 serta menjadi wanita pertama yang terbang secara solo dari Hawaii ke tanah besar Amerika Syarikat pada tahun 1935. Amelia juga aktif dalam memperjuangkan hak wanita terutama dalam bidang penerbangan. Beliau membantu menubuhkan organisasi Ninety-Nines iaitu kumpulan juruterbang wanita yang bertujuan menyokong wanita dalam bidang ini.

     Pada tahun 1937, Amelia berusaha untuk mencapai impian terbesarnya iaitu menjadi wanita pertama yang mengelilingi dunia dengan pesawat. Dia menggunakan pesawat Lockheed Electra 10E yang diubah suai khas untuk penerbangan jarak jauh. Turut serta bersana Amelia ialah jurutera penerbangan yang dikenali sebagai Fred Noonan, seorang navigator yang berpengalaman luas. Penerbangan bermula pada 20 Mei 1937 dari Oakland, California. Mereka menempuh perjalanan sejauh 40,000 kilometer dengan persinggahan di beberapa negara termasuk Brazil, Afrika Barat, India, Thailand dan Australia. Sejauh 22,000 kilometer sudah berjaya ditempuh apabila mereka tiba di Papua New Guinea pada 29 Jun 1937.

     Hinggalah pada 2 Julai 1937, Amelia dan Fred meninggalkan Lae, Papua New Guinea lalu menuju ke Pulau Howland, sebuah pulau kecil di tengah Lautan Pasifik yang hanya sepanjang 2 kilometer. Ini merupakan salah satu bahagian paling berbahaya dalam penerbangan mereka kerana ia memerlukan navigasi yang sangat tepat. Namun pada pagi tersebut, pesawat mereka gagal tiba di destinasi. Komunikasi terakhir dari Amelia kepada kapal pengiring menunjukkan bahawa mereka mengalami kesukaran mencari pulau tersebut dan semakin kehabisan bahan bakar. Sesudah itu, tiada siapa yang mendengar daripada mereka lagi.

     Operasi mencari dan menyelamat yang besar-besaran dilancarkan oleh kerajaan Amerika Syarikat tetapi tiada kesan pesawat atau mayat ditemui. Kehilangannya menjadi salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan. Beberapa teori mengenai kehilangan mereka termasuklah teori bahawa pesawat mereka kehabisan bahan bakar lalu terhempas ke laut sebelum tenggelam. Ada juga teori yang mengatakan bahawa mereka terselamat dan terdampar di Pulau Nikumaroro susulan penemuan beberapa barangan yang dikaitkan dengan Amelia. Teori lain pula mendakwa bahawa mereka ditangkap oleh Jepun dan ditahan sebagai perisik. Meskipun pelbagai penyelidikan dilakukan, tiada bukti yang kukuh untuk mengesahkan mana-mana teori ini.

     Walaupun kehilangan Amelia masih menjadi persoalan, warisannya tetap hidup. Namanya terus menjadi inspirasi kepada ramai wanita untuk mengejar impian mereka dalam bidang penerbangan dan profesion lain yang didominasi lelaki. Namanya diabadikan dalam pelbagai institusi termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Amelia Earhart di Florida dan beberapa anugerah penerbangan. Hari ini, dia dikenang sebagai perintis penerbangan dan pejuang hak wanita. 


Catat Ulasan for "Kisah Misteri Kehilangan Amelia Earheart"