Kisah Oxana Malaya: Gadis yang Berkelakuan Seperti Anjing
.jpeg)
Kisah hidup Oxana Malaya adalah salah satu kes yang paling terkenal dalam sejarah psikologi dan kajian perkembangan manusia. Dia merupakan seorang gadis Ukraine yang telah menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya dengan tinggal bersama sekumpulan anjing hingga menyebabkan tingkah lakunya menyerupai haiwan lebih daripada manusia. Kisah hidupnya menjadi bukti tentang bagaimana persekitaran awal mempengaruhi perkembangan seseorang individu.
Oxana Malaya dilahirkan pada tahun 1983 di sebuah kampung kecil bernama Nova Blagovishchenska, Ukraine. Dia berasal dari keluarga miskin di mana ibu bapanya mempunyai masalah ketagihan alkohol. Kedua-dua ibu bapanya itu sering mabuk dan tidak ambil peduli dengan kehadiran anak-anak mereka. Oxana adalah salah seorang daripada beberapa orang adik-beradik yang dibesarkan dalam keadaan penuh pengabaian.

Pada satu hari yakni ketika Oxana berusia kira-kira tiga tahun, dia telah ditinggalkan bersendirian di luar rumah dalam keadaan cuaca yang sejuk. Bagi mencari perlindungan dan kehangatan, Oxana merangkak ke dalam kandang anjing yang dengan berhampiran rumahnya lalu tinggal bersama anjing-anjing tersebut. Disebabkan ibu bapanya tidak pernah mengambil berat, Oxana terus tinggal dalam kandang itu selama bertahun-tahun lalu menjadikan anjing tersebut sebagai keluarganya.
Semasa membesar dalam kandang anjing, Oxana mula mengadaptasi tingkah laku haiwan itu. Dia belajar bagaimana untuk merangkak dengan keempat-empat anggota badannya, menyalak, menjilat tangannya sendiri serta menggunakan deria bau untuk mengenali orang dan objek. Anjing-anjing di sekelilingnya bukan sahaja menjadi pelindungnya tetapi juga sumber interaksi sosialnya. Oleh kerana Oxana tidak berkomunikasi dengan manusia, dia tidak belajar bercakap dalam bahasa manusia. Oxana sebaliknya hanya memahami bunyi dan gerak-geri yang digunakan oleh anjing. Makanan yang dimakan oleh Oxana juga adalah daripada sisa makanan anjing atau apa sahaja yang ditemui di sekitar kandang. Keadaannya memang tidak terurus kerana tinggal dalam persekitaran yang kotor tanpa sebarang penjagaan kesihatan.

Pada tahun 1991, pihak berkuasa sosial menemui Oxana yang berusia lapan tahun setelah menerima laporan daripada penduduk setempat. Pegawai yang datang ke rumahnya mendapati Oxana merangkak dengan tangan dan kaki, menyalak seperti anjing dan berlari dengan kelajuan yang luar biasa apabila cuba ditangkap. Malah semasa mereka mendekatinya, Oxana cuba mempertahankan diri seperti anjing yang sedang menjaga kawasan. Dia menggeram, menampakkan giginya dan bertindak agresif. Pemerhatian awal mendapati bahawa dia tidak mempunyai kemahiran sosial manusia sama sekali. Pihak berkuasa kemudian membawa Oxana keluar dari kandang anjing itu sebelum menempatkannya di sebuah pusat pemulihan khas untuk kanak-kanak yang mengalami masalah perkembangan.
Sesudah ditempatkan di pusat pemulihan, para pakar psikologi dan pakar perkembangan manusia mula merawat Oxana untuk membantu memulihkan keupayaannya sebagai manusia. Pada mulanya, dia tidak boleh bercakap dengan hanya mengeluarkan bunyi seperti anjing. Memandangkan Oxana pernah belajar bercakap sebelum ditinggalkan di kandang anjing, dia akhirnya berjaya memperoleh semula keupayaan untuk bercakap setelah beberapa tahun menjalani terapi intensif. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesan jangka panjang yang sukar untuk diubah seperti gaya berjalan, tingkah laku dan kemahiran sosial.

Catat Ulasan for "Kisah Oxana Malaya: Gadis yang Berkelakuan Seperti Anjing"