Kisah Pembunuhan Kejam Engeline yang Menggemparkan Indonesia

Pada tahun 2015, Indonesia digemparkan dengan kes pembunuhan kejam yang menimpa seorang kanak-kanak lapan tahun bernama Engeline Margrethe Megawe. Dia sebelum itu dilaporkan hilang oleh ibu angkatnya iaitu Margriet Christina Megawe. Namun setelah siasatan dilakukan, mayatnya ditemui ditanam di halaman rumah sendiri. Apa yang lebih mengerikan, laporan forensik menunjukkan bahawa Engeline telah mengalami penderaan fizikal, mental dan seksual sebelum dibunuh dengan kejam.
Engeline sebenarnya adalah anak kandung kepada pasangan Hamidah dan Engel Sihombing. Disebabkan masalah kewangan, mereka menyerahkan Engeline kepada Margriet untuk dijadikan anak angkat ketika dia masih bayi. Margriet berjanji akan menjaga Engeline seperti anak sendiri tetapi janji itu hanya palsu. Engeline telah diperlakukan seperti hamba di rumah tersebut. Dia tidak diberikan pendidikan yang sepatutnya, dipaksa melakukan kerja berat selain sering kali dibiarkan kelaparan. Jiran-jiran di kawan sekeliling pernah melihat Engeline dalam keadaan kurus kering, kotor, dan lesu tetapi Margriet melarang sesiapa pun mendekatinya. Engeline juga sering dimarahi dan dihina dengan kata-kata kesat seperti "bodoh" dan "pemalas." Dia diasingkan dari dunia luar dan hidup dalam ketakutan setiap hari.

Pada 16 Mei 2015, Margriet melaporkan bahawa Engeline telah hilang dari rumah mereka di Denpasar, Bali. Pihak polis segera melakukan pencarian besar-besaran dengan menyebarkan maklumat mengenai kehilangan Engeline kepada media dan masyarakat. Orang ramai mula membantu mencari. Namun setelah beberapa minggu, tiada petunjuk yang dapat ditemui. Beberapa orang jiran dan aktivis yang prihatin dengan kes ini mula mengesyaki Margriet kerana tingkah lajunya yang dilihat begitu mencurigakan. Wanita tersebut dilihat tidak menunjukkan kesedihan seperti ibu yang kehilangan anak. Malah dia turut menghalang pihak luar daripada masuk ke rumahnya untuk membantu pencarian.
Polis kemudian mula meneliti persekitaran rumah Margriet dan mengumpulkan keterangan daripada jiran serta saksi lain. Mereka juga menyoal pembantu rumah Margriet yang dikenali sebagai Agus Tay Hamba May. Lelaki itu akhirnya memberikan maklumat mengejutkan di mana dia memberitahu bahawa Engeline telah dibunuh dan mayatnya ditanam di halaman rumah. Pada 10 Jun 2015 yakni setelah mendapatkan waran geledah, pihak polis menggali halaman rumah Margriet dan menemui mayat Engeline yang sudah mulai mereput. Mayatnya itu dibungkus dengan kain dan ditanam bersama beberapa anak patungnya.

Setelah penemuan mayat Engeline, siasatan semakin tertumpu kepada Margriet dan Agus Tay Hamba May. Hasil bedah siasat mendapati Engeline telah dipukul kuat di bahagian kepala, dicekik serta didera secara seksual sebelum kematiannya. Luka lebam dan kesan kecederaan lama pada tubuhnya membuktikan bahawa penderaan terhadap Engeline telah berlaku dalam tempoh yang lama. Pada awalnya, Margriet menafikan penglibatannya dan cuba menyalahkan pembantu rumahnya, Agus Tay Hamba May. Walau bagaimanapun, pihak polis menemui bukti kukuh seperti kain yang membungkus mayat Engeline berasal dari dalam rumah Margriet serta jejak darah di beberapa bahagian rumah.

Di bawah tekanan siasatan, Agus akhirnya mengaku bahawa dia dipaksa membantu menanam mayat Engeline atas arahan Margriet. Dia mendakwa bahawa Margriet yang bertanggungjawab atas pembunuhan Engeline. Selain itu, jiran-jiran turut memberitahu polis bahawa Engeline sering kelihatan dalam keadaan tidak terurus dan ketakutan. Aktivis yang pernah cuba membantu Engeline sebelum ini turut memberikan maklumat mengenai perlakuan Margriet terhadapnya. Maka dengan semua bukti yang dikumpulkan, polis menahan Margriet Christina Megawe dan Agus Tay Hamba May sebagai suspek utama dalam kes ini.

Selepas perbicaraan kes yang panjang, Margriet telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh Engeline. Sementara itu, Agus Tay Hamba May pula dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana keterlibatannya dalam kes ini. Sesudah hampir satu dekad menjalani hukuman, Margriet meninggal dunia pada 6 Disember 2024 akibat penyakit gagal ginjal kronik tahap lima. Dia menerima rawatan dialisis dua kali seminggu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital di Bali.

Kes pembunuhan kejam Engeline ini telah diadaptasi ke layar perak melalui filem Indonesia berjudul "Untuk Angeline". Filem ini ditayangkan pada 21 Julai 2016 dan diarahkan oleh Jito Banyu.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Engeline yang Menggemparkan Indonesia"