Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Pembunuhan Ocey Snead: Dibunuh Keluarga Sendiri Demi Wang Insurans!

     Oceana Wardlaw Martin Snead atau lebih dikenali sebagai Ocey Snead merupakan seorang wanita muda yang telah menjadi mangsa pembunuhan oleh keluarganya sendiri. Kisah kematiannya  menjadi salah satu kes jenayah paling menggemparkan di Amerika Syarikat pada awal abad ke-20.

     Ocey dilahirkan pada September 1885 di Manhattan, New York, Amerika Syarikat. Keluarganya merupakan keluarga yang berpendidikan tinggi. Ibunya iaitu Caroline Belle Wardlaw berasal dari latar belakang akademik dan mempunyai reputasi sebagai pendidik. Namun di sebalik imej terpelajar ini, keluarga Wardlaw menyimpan rahsia gelap. Caroline mempunyai dua orang adik-beradik perempuan bernama Virginia Oceana Wardlaw dan Mary Snead, yang sering berpakaian serba hitam. Disebabkan penampilan dan kelakuan mereka yang mencurigakan, masyarakat sekitar telah menggelarkan mereka sebagai "Sisters in Black".


    Sejak dari kecil, kehidupan Ocey dikawal sepenuhnya oleh ibu dan ibu saudaranya itu. Mereka menentukan setiap aspek kehidupan Ocey termasuk perkahwinannya. Pada tahun 1906, Ocey telah dipaksa berkahwin dengan Fletcher Snead yakni sepupunya sendiri. Perkahwinan ini bukan atas dasar cinta tetapi merupakan sebahagian daripada perancangan keluarga untuk memastikan wang dan harta tidak keluar dari kalangan mereka. Namun selepas berkahwin, hidup Ocey tetap dalam kawalan keluarganya. Dia dibiarkan dalam keadaan miskin walaupun keluarganya memiliki wang daripada insurans dan beberapa sumber lain.

     Di sebalik kawalan ketat ini, Caroline dan adik-beradiknya mempunyai rancangan lebih dahsyat. Mereka telah mengambil polisi insurans ke atas nyawa Ocey sebanyak $32,000, satu jumlah yang besar pada waktu itu (bersamaan lebih $1 juta dalam nilai hari ini). Perkara ini sekaligus menimbulkan kecurigaan kerana sebelum ini beberapa ahli keluarga mereka telah mati dalam keadaan mencurigakan. Setiap kali setelah kematian tersebut, wang insurans jatuh ke tangan mereka.

     Beberapa bulan sebelum kematiannya, Ocey telag dikurung di sebuah rumah di East Orange, New Jersey. Dia dibiarkan kelaparan dan semakin lemah. Beberapa jiran pernah melihatnya dalam keadaan tidak bermaya. Ocey turut pernah mengadu bahawa dia mahu mati kerana tidak tahan dengan penderitaan yang dialaminya. Akhirnya, pada 29 November 1909, tubuh Ocey yang sudah tidak lagi bernyawa telah ditemui dalam tab mandi dalan keadana bogel. Di sisi Ocey, terdapat satu nota bertulis, "Saya ingin mati. Saya tidak boleh hidup lebih lama lagi."

     Pihak berkuasa yang menjalankan siasatan mula mengesyaki bahawa kematian Ocey bukanlah kes bunuh diri biasa. Tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa Ocey sendiri menulis nota tersebut. Tambahan pula, rekod perubatan menunjukkan bahawa dia telah lama mengalami kekurangan zat makanan dan dibiarkan terabai. Bukti semakin jelas bahawa Ocey bukan membunuh diri tetapi telah dibunuh secara perlahan-lahan sehingga dia terlalu lemah untuk melawan hingga pada akhirnya ditenggelamkan dalam tab mandi.

     Kes ini dibawa ke mahkamah dan ketiga-tiga wanita dari keluarga Wardlaw ditahan. Cuma nasib mereka berbeza-beza. Virginia Oceana Wardlaw meninggal dunia akibat kebuluran sendiri dalam penjara sebelum sempat untuk dibicarakan. Mary Snead pula berjaya melepaskan diri daripada hukuman berat kerana kekurangan bukti langsung yang mengaitkannya dengan pembunuhan tersebut Sementara itu Caroline Belle Wardlaw Martin, ibu Ocey, akhirnya mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat dan dihantar ke hospital mental. Dia meninggal dunia di sana pada tahun 1913. Suami Ocey, Fletcher Snead, berjaya melarikan diri ke Kanada dan tidak pernah dikenakan sebarang hukuman.



Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Ocey Snead: Dibunuh Keluarga Sendiri Demi Wang Insurans!"