Kisah Sam Ballard yang Menyedihkan: Cabaran Bodoh yang Berakhir dengan Kematian

Pada tahun 2010, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dari Australia bernama Sam Ballard menjalani kehidupannya seperti kebanyakan anak muda lain. Dia merupakan seorang pemain ragbi berbakat dan aktif dalam sukan. Sam dikenali sebagai seorang yang periang, gemar bersosial dan mempunyai ramai kawan.
Diringkaskan cerita yakni pada satu malam, Sam dan rakan-rakannya sedang berkumpul di halaman rumah di Sydney di mana mereka berbual, ketawa dan menikmati masa bersama seperti kebiasaannya. Semasa suasana santai tersebut, mereka terlihat seekor siput merayap di lantai. Seseorang daripada mencabar Sam untuk menelan siput itu dengan nada berseloroh.
Sam yang tidak menganggap perkara itu sesuatu yang berbahaya telah menerima cabaran tersebut. Tanpa berfikir panjang, dia mengambil siput itu dan menelannya. Pada ketika itu, tiada siapa menyangka bahawa tindakan kecil itu akan mengubah hidupnya selama-lamanya.
Beberapa hari berikutnya, Sam mula berasa tidak sihat. Pada mulanya, dia mengalami gejala ringan seperti sakit kepala dan keletihan. Namun keadaan kesihatannya semakin merosot dengan cepat. Dia mengalami demam panas, muntah dan sakit otot yang luar biasa secara berterusan.
Keluarga Sam segera membawanya ke hospital di mana doktor menjalankan pelbagai ujian untuk mengetahui punca penyakitnya. Setelah pemeriksaan lanjut, mereka menemui sesuatu yang mengejutkan. Sam rupa-rupanya telah dijangkiti Angiostrongylus cantonensis, sejenis parasit yang dikenali sebagai rat lungworm atau cacing paru-paru tikus. Parasit ini biasanya hidup dalam tikus dan boleh menjangkiti siput atau lintah yang bersentuhan dengan najis tikus yang dijangkiti. Apabila manusia secara tidak sengaja menelan siput yang mengandungi larva parasit ini, ia boleh menyebabkan meningitis eosinofilik iaitu jangkitan serius pada otak dan saraf tunjang.
Keadaan Sam semakin teruk sebelum dia akhirnya jatuh koma. Koma itu berlarutan selama 420 hari, lebih dari setahun. Doktor berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkannya tetapi jangkitan yang dialaminya telah menyebabkan kerosakan otak yang teruk.

Apabila dia akhirnya sedar daripada koma, keluarganya mendapati bahawa Sam bukan lagi remaja yang ceria dan aktif seperti dahulu. Dia mengalami lumpuh sepenuhnya dan tidak dapat bergerak sendiri. Sistem sarafnya telah rosak sekaligus menyebabkan dia kehilangan keupayaan untuk bercakap dan bergerak. Sam memerlukan penjagaan sepanjang masa dan bergantung kepada ibunya, Katie Ballard, serta pasukan perubatan untuk menjalani kehidupannya.
Walaupun keadaan Sam amat menyedihkan, keluarga dan rakan-rakannya tidak pernah berhenti memberi sokongan kepadanya. Ibunya, Katie, memainkan peranan besar dalam menjaga dan memastikan anaknya mendapat rawatan terbaik. Sam hanya boleh berkomunikasi melalui isyarat mata dan reaksi kecil yang sukar difahami.

Kos perubatan Sam sangat tinggi. Pada mulanya kerajaan Australia bersetuju untuk menanggung perbelanjaan penjagaan Sam sebanyak $492 000 setahun melalui skim bantuan kecacatan. Namun tidak lama selepas itu, dana tersebut dikurangkan secara drastik menyebabkan keluarga Ballard menghadapi kesukaran kewangan yang besar dalam menjaga Sam. Biarpun Sam dalam keadaan yang sangat mencabar, dia terus bertahan selama beberapa tahun. Sam masih mempunyai kesedaran tetapi tidak lagi boleh menjalani kehidupan seperti sebelumnya.
Hinggalah pada 2 November 2018, selepas lapan tahun bertarung dengan kesan penyakitnya, Sam Ballard akhirnya meninggal dunia pada usia 28 tahun. Kematian Sam memberi kesan mendalam kepada keluarganya serta masyarakat di Australia. Sam disifatkan sebagai seorang yang kuat dan tidak pernah mengeluh walaupun mengalami penderitaan yang luar biasa. Rakan-rakannya yang pernah bersama dengannya pada malam kejadian juga dihantui rasa bersalah yang mendalam kerana mereka tidak pernah menyangka bahawa satu cabaran rawak boleh mengakibatkan tragedi sebegitu besar.
Catat Ulasan for "Kisah Sam Ballard yang Menyedihkan: Cabaran Bodoh yang Berakhir dengan Kematian"