Kisah "Something walks whistling past my house every night at 3:03"

"Something Walks Whistling Past My House Every Night at 3:03" adalah sebuah kisah seram popular dari subreddit NoSleep di laman Reddit. Kisah ini mengisahkan seorang individu yang mengalami kejadian aneh setiap malam pada waktu yang sama iaitu 3:03 pagi. Pada waktu itu, dia akan mendengar bunyi langkah perlahan di luar rumahnya yang disertai dengan bunyi siulan menyeramkan. Kejadian ini berlaku secara berulang kali.
Pada awalnya, penulis tidak begitu memikirkan perkara ini. Dia menganggap mungkin ada seseorang yang berjalan pulang pada waktu lewat malam atau mungkin sekadar bunyi angin. Namun selepas beberapa malam, dia menyedari sesuatu yang ganjil di mana bunyi siulan itu datang pada waktu sama setiap malam yakni tidak lebih, tidak kurang, tepat pada jam 3:03 pagi. Siulan itu kedengaran lembut tetapi jelas seperti seseorang yang berjalan sambil bersiul lagu yang tidak diketahui.
Malam demi malam, perkara ini terus berlaku. Setiap kali bunyi siulan itu kedengaran, ia bermula dari jauh dan kemudian semakin mendekat seolah-olah ada seseorang sedang berjalan perlahan-lahan melalui depan rumahnya. Setiap kali dia cuba mengintai darj tingkap, dia tidak melihat sesiapa pun di luar. Keadaan di luar sunyi hanya ditemani cahaya samar dari lampu jalan. Walau bagaimanapun, dia dapat berasa seperti ada sesuatu yang memerhatikannya dari dalam kegelapan.
Perasaan ingin tahu mula menghantui diri si penulis. Suatu hari, dia bertanya kepada jiran-jiran tentang bunyi siulan tersebut. Walau bagaimanapun, reaksi mereka telah membuatkan dia semakin gelisah kerana sebahagian daripada mereka mengelak daripada berbincang tentang perkara itu. Ada juga antara mereka hanya memberikan jawapan ringkas seperti "Jangan tanya lebih lanjut" atau "Jangan cuba melihatnya." Malah ada juga yang kelihatan takut apabila dia menyebut hal siulan tersebut.
Keadaan ini sekaligus menimbulkan lebih banyak persoalan. Jika orang lain juga mendengar bunyi itu, mengapa mereka memilih untuk berdiam diri? Apa yang sebenarnya berlaku di kawasan rumah si penulis? Adakah perkara ini sudah berlaku sejak sekian lama?
Pada suatu malam, dia memberanikan diri untuk berjaga sehingga jam 3:03 pagi dengan harapan dapat melihat siapa atau apa yang bersiul tersebut. Tepat pada waktunya, bunyi langkah dan siulan itu kembali. Kali ini dia bersedia dengan menarik langsir dan mengintai ke luar. Namun sebelum dia sempat berbuat sedemikian, telefon bimbitnya tiba-tiba bergetar. Sebuah mesej masuk daripada jiran sebelah:
"Jangan pandang ke luar. Jangan sekali-kali melihatnya. Tutup langsir sekarang juga."
Jantungnya berdegup kencang. Mengapa jirannya menghantar mesej pada waktu tersebut? Adakah jirannya itu juga sedang berjaga pada waktu sama dan tahu apa yang sedang berlaku? Rasa seram menyelubungi dirinya dan dia segera menarik langsir kembali. Bunyi siulan itu masih lagi kedengaran tetapi kali ini lebih perlahan seolah-olah makhluk itu tahu dia hampir melihatnya.
Setelah beberapa hari mengalami gangguan ini, dia akhirnya memberanikan diri untuk bertanya kepada bapanya. Reaksi bapanya benar-benar mengejutkan di mana bapanya langsung tidak terkejut. Bapanya hanya berkata dengan nada serius,
"Jangan sekali-kali buka pintu atau mengintai ke luar tingkap ketika bunyi itu kedengaran. Jangan berinteraksi dengannya. Jika kau buat begitu, ia akan tahu kau menyedari kehadirannya dan itu bukan satu petanda yang baik."
Dia tergamam. Nada suara bapanya bukan sekadar amaran biasa. Dia cuba bertanya lebih lanjut akan tetapi bapanya enggan memberikan jawapan. Satu-satunya perkara yang dikatakan hanyalah,
"Biarkan saja ia berlalu. Abaikan saja."
Tetapi bagaimana dia boleh mengabaikannya? Jika bapanya tahu sesuatu, mengapa tidak memberitahunya? Jika ini bukan kali pertama ia berlaku, apa yang terjadi kepada orang yang pernah melihatnya sebelum ini?
Selepas kejadian tersebut, dia mula mengalami gangguan yang lebih aneh. Setiap malam, siulan itu semakin lama di hadapan rumahnya sebelum meneruskan perjalanan. Ia seakan berhenti sejenak untuk menunggu tindakannya. Dia dapat berasa seakan-akan ada sepasang mata yang memerhatikannya dari luar rumah. Hingga pada suatu malam, dia memutuskan untuk meletakkan telefon bimbitnya bagi merakam bunyi pada waktu siulan itu berlaku. Keesokan harinya, apabila dia mendengar rakaman tersebut, bulu romanya meremang. Bukan sahaja bunyi siulan itu jelas kedengaran tetapi ada bunyi lain yang samar, bunyi bisikan yang sukar untuk difahami.
Sehingga kini, dia masih tidak tahu apa yang sebenarnya berjalan sambil bersiul itu pada setiap malam. Walaupun perasaannya mendesaknya untuk mencari jawapan, amaran bapanya dan jirannya masih terngiang di mindanya. Dia tidak pasti apa yang akan berlaku jika dia benar-benar melihat makhluk itu.
Seperkara harus diketahui, sebelum kejadian itu berlaku, penulis sebenarnya baru berpindah ke rumah tersebut. Dia sebelum ini tinggal di sebuah bandar yang lebih sibuk tetapi memilih untuk berpindah ke kawasan tersebut kerana suasana yang lebih tenang dan jauh dari kesibukan kota. Rumah yang didudukinya bukanlah rumah baru. Ia sudah lama dan pernah dihuni oleh beberapa pemilik sebelum ini. Sewaktu dia mula berpindah, tiada sebarang tanda-tanda aneh. Segala-galanya kelihatan normal sehingga beberapa minggu kemudian apabila dia mula menyedari bunyi siulan misteri itu.
Seorang jiran pernah bertanya kepadanya,
"Kau tahu tak siapa yang tinggal di rumah ni sebelum kau?"
Apabila penulis meminta penjelasan lanjut, jiran itu hanya menggeleng dan berlalu pergi tanpa berkata apa-apa.
Ini membuatkan dia tertanya-tanya adakah kejadian ini hanya berlaku kepadanya atau ada penghuni sebelum ini turut mengalaminya? Jika benar, mengapa mereka meninggalkan rumah ini tanpa memberi sebarang amaran?
Soal bagaimana bapa penulis tahu tentang bunyi siulan itu, dia pernah berkunjung ke kawasan tersebut untuk melihat keadaan sekeliling sebelum berpindah ke situ. Sebagai seorang yang lebih berpengalaman, bapanya peka terhadap suasana tempat itu dan menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Ketika berjalan di sekitar kawasan kejiranan tersebut, bapanya mendapati penduduk setempat kelihatan terlalu diam dan enggan berborak terlalu lama. Malah ada beberapa rumah yang kelihatan kosong seolah-olah ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa. Dia juga menyedari bahawa tiada sesiapa yang berada di luar rumah pada waktu malam. Perkara ini dianggap sebagai sesuatu yang agak ganjil bagi sebuah kawasan perumahan. Lebih pelik lagi, ketika dia bertanya kepada seorang pemilik kedai runcit berdekatan tentang sejarah kawasan itu, lelaki tua tersebut hanya menggeleng lalu berkata,
"Kalau awak sayangkan anak awak, jangan biarkan dia keluar waktu malam."
Catat Ulasan for "Kisah "Something walks whistling past my house every night at 3:03""