Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kultus Keluarga Maut: Kisah Ngeri Miyoko Sumida


     Kes Miyoko Sumida merupakan salah satu kes pembunuhan dan penderaan keluarga paling mengerikan dalam sejarah Jepun. Kes ini terbongkar pada tahun 2012 apabila polis menemui mayat di dalam tong logam yang dipenuhi simen di sebuah apartmen di Amagasaki, Prefektur Hyogo. Siasatan lanjut mendedahkan rangkaian penderaan, penyeksaan dan pembunuhan yang dilakukan oleh Miyoko Sumida dan kumpulannya selama bertahun-tahun.

     Bercerita tentang Miyoko Sumida, dia dilahirkan pada tahun 1948. Dia dikenali sebagai seorang wanita yang berkarisma tetapi kejam selain mempunyai kebolehan memanipulasi orang di sekeliling sekaligus menjadikannya sebagai pemimpin kepada sebuah kumpulan yang boleh dianggap sebagai kultus kekeluargaan.

     Miyoko memulakan operasinya dengan memperdaya individu yang mempunyai hubungan dengannya sama ada ahli keluarga mahupun kenalan. Dia menggunakan ugutan, penderaan fizikal dan penyeksaan secara psikologi untuk mengawal mereka. Setelah mangsa berada dalam genggamannya, dia akan menggunakan mereka sebagai alat untuk memeras harta benda dan wang. Miyoko mempunyai seorang suami bernama Hiroshi Sumida. Walau bagaimanapun, maklumat mengenai peranan suaminya dalam jenayah ini tidak begitu jelas. Namun sebahagian besar jenayahnya dilakukan bersama ahli keluarga dan rakan sekutunya yang lain.

     Miyoko menggunakan beberapa kaedah untuk mengawal dan menyeksa mangsanya. Salah satu daripada kaedah tersebut adalah dengan mmanipulasi mental di mana dia menggunakan tekanan psikologi dan emosi untuk membuat mangsanya tunduk. Mangsa dipaksa percaya bahawa mereka bersalah atas sesuatu perkara hingga menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada Sumida untuk mendapatkan pengampunan. Ada yang dipaksa menulis pengakuan palsu yang kemudian digunakan untuk memeras ugut mereka.


     Selain itu, Miyoko juga menggunakan kekerasan fizikal. Mangsa yang enggan patuh akan dipukul dengan teruk, ada yang dipaksa berlapar sementara yang lain dikurung dalam keadaan tidak berkeperimanusiaan. Apabila seseorang itu telah berada dalam kawalannya, Miyoko akan mengambil segala harta dan wang mereka. Mangsa yang kaya dipaksa menyerahkan wang simpanan mereka sementara yang miskin digunakan sebagai buruh untuk membantu operasi jenayahnya.

     Apabila mangsa tidak lagi berguna, Miyoko akan memastikan mereka mati. Ada yang mati akibat penderaan berterusan, manakala yang lain dibunuh dengan sengaja. Mayat mereka seterusnya dibuang atau disembunyikan dalam tong simen bagi mengelakkan bau busuk dan menarik perhatian pihak berkuasa.

     Pihak berkuasa percaya bahawa sekurang-kurangnya tujuh orang telah dibunuh oleh Miyoko dan sekutunya. Namun jumlah sebenar mungkin lebih ramai kerana beberapa individu yang dipercayai menjadi mangsa tidak pernah dijumpai. Antara mangsa yang dikenal pasti ialah saudara-mara dan kenalan yang enggan tunduk kepada kehendaknya. Salah seorang daripada mereka adalah suami kepada saudara Miyoko yang didera hingga mati sebelum mayatnya disimen dalam tong logam. Beberapa ahli keluarga lain juga dipercayai mati akibat penyiksaan berterusan. Mayat mereka telah ditemui dalam keadaan ngeri dengan beberapa bahagian badan sudah reput atau disimen untuk menyembunyikan bukti. Keadaan mayat yang ditemui ini menjadi bukti bahawa pembunuhan dilakukan dengan sengaja dan bukan kematian akibat kecuaian atau kemalangan.


     Kes ini mula terbongkar pada tahun 2011 apabila pihak polis menerima laporan tentang kehilangan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan Miyoko. Siasatan membawa kepada penemuan sebuah apartmen yang menyimpan tong berisi mayat manusia yang telah disimen. Pada tahun 2012, pihak berkuasa akhirnya menahan Miyoko  dan beberapa individu lain yang dipercayai membantu dalam jenayah ini. Bukti yang ditemukan termasuk mayat dalam tong simen, dokumen dan surat ugutan yang digunakan untuk menakut-nakutkan mangsa serta keterangan dari saksi yang berjaya melarikan diri dari genggaman Miyoko.

     Selepas ditangkap, Miyoko ditahan di penjara untuk perbicaraan. Belum sempat dia untuk dibicarakan, dia telah ditemui membunuh diri di dalam sel penjara pada 12 Disember 2012. Dia dipercayai menggantung dirinya menggunakan sehelai tuala bagi mengelakkan daripada menerima hukuman berat atas jenayah yang  dilakukannya.

Catat Ulasan for "Kultus Keluarga Maut: Kisah Ngeri Miyoko Sumida"