Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Misteri Bobby Dunbar: Kesilapan Identiti yang Terbongkar Selepas Hampir Seabad


     Kes Bobby Dunbar merupakan salah satu kisah kehilangan kanak-kanak paling misteri dalam sejarah Amerika Syarikat yang akhirnya berkembang menjadi sebuah kisah identiti mengelirukan selama hampir seabad. Kisah yang berlaku pada awal abad ke-20 ini adalah tentang seorang budak lelaki bernama Bobby Dunbar yang hilang secara misteri sebelum ditemui semula bertahun-tahun kemudian tetapi dengan kontroversi mengenai sama ada dia benar-benar anak yang hilang itu atau bukan.

     Sedikit tentang latar belakang Bobby Dunbar, dia dilahirkan pada tahun 1908 yakni anak kepada pasangan Percy dan Lessie Dunbar, sebuah keluarga dari Opelousas, Louisiana. Keluarga ini merupakan golongan kelas pertengahan yang memiliki kehidupan stabil. Bobby merupakan anak sulung mereka yang sangat disayangi oleh keluarganya.


     Kisah bermula pada musim panas tahun bulan Ogos 1912 ketika Bobby berusia empat tahun di mana dia telah pergi bercuti bersama dengan keluarganya di satu kawasan perkelahan di Swayze Lake, Louisiana, sebuah tasik berlumpur yang terkenal dengan buaya. Semasa keluarga Dunbar sedang menikmati percutian mereka tersebut, Bobby tiba-tiba hilang.

     Kehilangan Bobby itu mencetuskan pencarian besar-besaran. Penduduk setempat, pihak berkuasa dan sukarelawan dikerahkan untuk mencari budak tersebut. Mereka menggunakan anjing pengesan, menyusuri kawasan paya, serta mencari di sepanjang sungai serta hutan berhampiran tetapi Bobby gagal ditemui.


     Pelbagai teori timbul. Ada yang percaya dia mungkin telah jatuh ke dalam tasik dan dimakan buaya. Ada juga yang mengesyaki dia telah diculik. Keluarga Dunbar bagaimnaapun enggan mempercayai sebarang kemungkinan anak mereka itu mati dimakan buaya kerana tiada bukti seperti pakaian atau sisa tubuh yang ditemui. Beberapa bulan berikutnya, berita tentang kehilangan Bobby tersebar ke seluruh negeri Louisiana dan Mississippi. Malah hadiah wang tunai ditawarkan kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat mengenai keberadaannya.

     Pada April 1913, kira-kira lapan bulan selepas kehilangan Bobby, seorang budak lelaki yang menyerupai Bobby ditemui di Mississippi bersama dengan seorang lelaki pengembara bernama William Cantwell Walters. Walters bekerja sebagai tukang pembaikan alat muzik yang sering berpindah-randah. Polis menangkap Walters dan merampas budak itu atas dakwaan penculikan. Apabila keluarga Dunbar diberitahu mengenai budak lelaki tersebut, mereka segera ke Mississippi untuk melihat sendiri sama ada budak lelaki itu benar-benar Bobby. Namun di sinilah kisah ini menjadi lebih pelik. Ada laporan yang menyatakan bahawa pada pertemuan pertama, Lessie Dunbar iaitu ibu Bobby tidak begitu yakin bahawa budak itu adalah anaknya. Keesokan harinya, setelah Lessie diberi peluang untuk melihatnya dengan lebih dekat, dia yakin bahawa budak tersebut adalah Bobby Dunbar.


     Pihak berkuasa seterusnya menyerahkan budak itu kepada keluarga Dunbar dan mereka membawanya pulang ke Louisiana sebagai Bobby Dunbar. William Walters sebaliknya menegaskan bahawa budak tersebut bukan Bobby tetapi seorang kanak-kanak bernama Bruce Anderson yang juga merupakan anak kepada seorang wanita bernama Julia Anderson yang bekerja sebagai pembantu keluarganya.

     Tidak lama selepas itu, Julia Anderson dari North Carolina tampil mendakwa bahawa budak lelaki itu adalah anaknya, Bruce Anderson. Julia berkata dia telah memberikan keizinan kepada Walters untuk menjaga Bruce buat sementara waktu. Perkara ini bermaksud Walters tidak menculik Bruce. Pihak berkuasa meminta Julia untuk mengenal pasti anaknya tetapi apabila ditunjukkan budak berkenaan, dia kelihatan ragu-ragu dan tidak segera mengenali budak itu. Hal ini menyebabkan ramai percaya bahawa dia bukan ibu kepada budak tersebut. Tambahan pula, Julia adalah seorang ibu tunggal yang miskin dan masyarakat waktu itu lebih memihak kepada keluarga Dunbar yang lebih berpengaruh.


     Mahkamah akhirnya memihak kepada keluarga Dunbar dan William Walters disabitkan bersalah kerana menculik Bobby. Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tetapi dibebaskan selepas dua tahun atas sebab teknikal. Sementara itu, Julia Anderson pula pulang dengan rasa kecewa dan tidak lagi mencuba untuk mendapatkan semula anaknya sesudah itu. Walaupun dia berkahwin lain dan membina kehidupan baru, dia tetap menegaskan sepanjang hidupnya bahawa budak lelaki berkenaan adalah Bruce Anderson, anaknya yang sebenar dan bukanlah Bobby Dunbar seperti yang digembar-gembur.

     Budak lelaki yang dipercayai sebagai Bobby Dunbar itu dibesarkan oleh keluarga Dunbar dan menjalani kehidupan yang normal. Dia berkahwin lalu mempunyai anak-anak. Cuma sepanjang hidupnya, dia tetap dihantui dengan persoalan mengenai identitinya. Keluarga Dunbar tidak pernah bercakap secara terbuka tentang kontroversi tersebut. 


     Selepas hampir satu abad, salah seorang cicit Bobby Dunbar yang dikenali sebagai Margaret Dunbar Cutright mula menyiasat kes ini kerana rasa ingin tahu yang mendalam tentang sejarah keluarganya. Jadi pada tahun 2004, ujian DNA moden dijalankan ke atas seorang cucu lelaki Bobby Dunbar dan membandingkannya dengan DNA salah seorang saudara Dunbar yang sah. Keputusannya mengejutkan apabila DNA mereka didapati tidak sepadan. Perkara ini bermaksud bahawa lelaki yang dibesarkan sebagai Bobby Dunbar bukanlah anak kandung keluarga Dunbar. Maka dengan kesimpulan ini mengesahkan bahawa William Walters dan Julia Anderson telah bercakap benar sejak dahulu. Budak lelaki itu memang Bruce Anderson, anak Julia dan bukan Bobby Dunbar! 

     Soalan yang masih tidak terjawab ialah apa yang sebenarnya berlaku kepada Bobby Dunbar yang sebenar. Jika dia benar-benar diculik, siapakah pelakunya? Atau mungkinkah dia telah mati pada hari dia hilang itu? Setakat ini, tiada jawapan pasti mengenai apa yang berlaku kepada Bobby Dunbar yang sebenar. 

Catat Ulasan for "Misteri Bobby Dunbar: Kesilapan Identiti yang Terbongkar Selepas Hampir Seabad"