Misteri Jack the Ripper Terungkai? Penemuan DNA Terbaru Dedah Suspek Utama

Jack the Ripper ialah gelaran yang diberikan kepada seorang pembunuh bersiri terkenal dengan pembunuhan sekurang-kurangnya lima orang wanita di kawasan Whitechapel, London pada tahun 1888. Mangsa utamanya ialah golongan pelacur di mana mayat mereka ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kesan kelaran pada leher dan pembedahan dalaman yang kejam. Identiti sebenar Jack the Ripper kekal misteri selama lebih satu abad dengan pelbagai teori dan spekulasi tentang siapa dia sebenarnya.
Kini selepas lebih 137 tahun menjadi misteri, identiti Jack the Ripper mungkin telah terungkap melalui penemuan DNA terkini. Ahli sejarah Inggeris iaitu Russell Edwards bersama pakar genetik, Dr. Jari Louhelainen mendakwa bahawa pembunuh itu dikenal pasti sebagai Aaron Kosminski yang juga merupakan seorang tukang gunting rambut berketurunan Poland. Aaron telah lama menjadi salah seorang suspek utama dalam kes ini tetapi bukti kukuh yang mengaitkannya dengan pembunuhan kejam tersebut tidak pernah ditemui. Identiti Aaron bagaimanapun terdedah jua hasil penemuan analisis DNA yang dilakukan ke atas sehelai selendang yang dipercayai berkaitan dengan salah seorang mangsa.

Selendang berdarah itu dikatakan milik Catherine Eddowes, salah seorang daripada lima mangsa yang dipercayai dibunuh oleh Jack the Ripper. Ia telah disimpan sebagai bahan bukti oleh seorang pegawai polis yang hadir di tempat kejadian dan diwarisi turun-temurun oleh keluarganya. Pada tahun 2019, Edwards dan Louhelainen menjalankan analisis DNA ke atas kesan darah dan air mani yang ditemui pada kain tersebut. Hasilnya mereka menemui padanan DNA antara sampel air mani dengan keturunan Aaron manakala darah yang terdapat pada kain itu pula sepadan dengan keturunan Catherine Eddowes. Penemuan ini menjadi bukti saintifik pertama yang mengaitkan Aaron dengan pembunuhan tersebut.
Seperti yang diberitahu, Aaron bukanlah nama baru dalam senarai suspek Jack the Ripper. Aaron dikenali sebagai individu yang mengalami masalah kesihatan mental sejak dari tahun 1885. Dia sering mendengar suara ghaib yang dikatakan menyuruhnya membunuh dan dia juga mempunyai obsesi terhadap pelacur yakni satu ciri yang sepadan dengan modus operandi Jack the Ripper yang menjadikan wanita-wanita itu sebagai mangsa. Selain itu, Aaron pernah ditahan oleh pihak berkuasa atas tingkah lakunya yang mencurigakan tetapi tidak pernah didakwa kerana kekurangan bukti pada masa tersebut. Pada tahun 1891, dia akhirnya dimasukkan ke hospital mental dan kekal di sanal sehingganya meninggal dunia pada tahun 1919.

Walaupun penemuan ini menarik perhatian dunia, ia masih mengundang pelbagai kontroversi dan kritikan. Ada pakar forensik yang mempertikaikan kajian ini kerana kemungkinan besar selendang tersebut telah tercemar sepanjang lebih satu abad. Selain itu, tiada sebarang semakan bebas dilakukan oleh pakar lain untuk mengesahkan kesahihan analisis DNA itu. Tambahan pula, tiada bukti lain seperti saksi atau pengakuan yang boleh mengesahkan bahawa dia benar-benar melakukan pembunuhan tersebut.

Penemuan ini tetap menjadi titik penting dalam sejarah penyiasatan jenayah. Bagi sesetengah pihak, ini adalah bukti paling kukuh bahawa Aaron ialah Jack the Ripper walaupun masih ada yang meragui kesimpulan tersebut. Misteri Jack the Ripper mungkin tidak akan terjawab sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya dunia kini mempunyai satu teori yang lebih kukuh serta berpandukan sains mengenai siapa sebenarnya pembunuh yang menghantui Whitechapel lebih seabad yang lalu.
Catat Ulasan for "Misteri Jack the Ripper Terungkai? Penemuan DNA Terbaru Dedah Suspek Utama"