Misteri Kehilangan Feni Ere Terjawab! Rangka Ditemui di Hutan Selepas Setahun

Pada 27 Januari 2024, seorang wanita berusia 28 tahun yang bernama Feni Ere telah dilaporkan hilang secara misteri di Palopo, Sulawesi Selatan. Feni yang bekerja sebagai jurujual kereta tinggal seorang diri di rumahnya di Jalan Pongsimpin, Kelurahan Mungkajang. Sehari sebelum kehilangannya, Feni dikatakan telah menunjukkan kelakuan pelik di mana dia meminta durian pada waktu tengah malam dan enggan pulang ke rumah.
Difahamkan selepas beberapa hari tidak dapat dihubungi, keluarga Feni melakukan pemeriksaan di rumahnya. Walau bagaimanapun, pintu rumah Feni didapati berkunci. Lebih membimbangkan apabila mereka menemui kesan darah di dalam bilik tidurnya sekaligus mendorong bapanya yang dikenali sebagai Parman bertindak membuat laporan polis. Pihak berkuasa yang tiba di lokasi mengesahkan bahawa terdapat kesan darah mencurigakan dan siasatan rasmi pun dimulakan bagi mencari keberadaan Feni.
Siasatan awal tidak memberikan banyak petunjuk sehinggalah pada bulan Julai 2024 yakni enam bulan selepas kehilangannya, kereta milik Feni telah ditemui di sebuah rumah kosong di Makassar. Penemuan ini menimbulkan pelbagai persoalan terutama tentang bagaimana kereta itu boleh berada di Makassar, sebuah bandar yang terletak kira-kira 360 kilometer dari Palopo? Adakah Feni sendiri yang memandu ke sana atau ada pihak lain yang terlibat? Pihak polis terus meneliti rakaman CCTV selain mengumpul keterangan daripada individu terdekat Feni dan menyoal siasat saksi-saksi yang mungkin mengetahui sesuatu tentang kehilangannya.

Segala usaha pencarian tersebut bagaimanapun tidak membuahkan hasil. Hinggalah setahun kemudian iaitu pada 10 Februari 2025, dua orang penunggang motosikal yang sedang melalui kawasan berhampiran destinasi pelancongan Air Terjun Batu Dewa, Kelurahan Battang Barat telah berhenti untuk berehat. Tidak lama selepas itu, mereka berdua telah ternampak seekor ayam hutan sedang memakan ulat di atas tanah. Tertarik dengan situasi tersebut, mereka mendekati kawasan berkenaan lalu terus berasa terkejut setelah mendapati ayam itu sedang memakan ulat yang muncul dari tengkorak manusia yang tertanam cetek di dalam tanah.
Mereka segera melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis. Hasil pemeriksaan forensik mengesahkan bahawa rangka manusia itu adalah milik Feni Ere. Setelah setahun hilang tanpa sebarang petunjuk jelas, akhirnya misteri ini menemui titik terang, walaupun dalam keadaan yang sangat tragis. Pihak berkuasa turut mengesahkan bahawa kematian Feni disyaki berpunca daripada perbuatan jenayah. dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab.
Setakat ini, pihak polis telah pun menyoal siasat sekurang-kurangnya 10 saksi termasuk rakan-rakan rapat Feni. Butiran lebih lanjut mengenai individu-individu yang disoal siasat tidak didedahkan kerana siasatan masih berlangsung. Pihak berkuasa kini masih giat mengumpul bukti bagi membongkar dalang di sebalik pembunuhan ini. Sementara itu khususnya bapa Feni berharap agar siasatan ini dapat menemui keadilan untuk anak perempuannya.
Catat Ulasan for "Misteri Kehilangan Feni Ere Terjawab! Rangka Ditemui di Hutan Selepas Setahun"