Misteri Kehilangan Sergio Pucheta: Gangguan Paranormal atau Penculikan Makhluk Asing?

Kisah yang berlaku ke atas Sergio Pucheta iaitu seorang anggota polis Argentina adalah antara insiden paranormal paling mengejutkan dan menimbulkan pelbagai teori. Dia hilang secara misteri selama 18 jam sebelum ditemui dalam keadaan yang sangat menyedihkan selain mengalami trauma. Dia mendakwa telah berhadapan dengan dua makhluk aneh bermata merah yang berkomunikasi dengannya secara telepati. Kejadian ini telah menarik perhatian ramai penyiasat paranormal dan pakar dalam fenomena luar biasa.
Bercerita tentang kejadian yang berlaku pada tahun 2006 tersebut, Sergio Pucheta adalah seorang anggota polis yang sudah berkhidmat selama beberapa tahun. Pada malam kejadian, dia sedang bertugas di kawasan terpencil yang dikatakan jarang dikunjungi orang melainkan anggota keselamatan atau penduduk setempat yang bekerja di ladang berhampiran. Pada malam itu, kawasan di sekeliling tempat itu sunyi sepi. Beberapa orang rakan sekerjanya yang berada berdekatan masih boleh berkomunikasi dengan Sergio melalui radio polis. Namun pada sekitar tengah malam, semua komunikasi dengannya terputus secara tiba-tiba.
Pada mulanya mereka beranggapan mungkin berlakunya gangguan isyarat. Setelah beberapa jam berlalu tanpa sebarang berita dari Sergio, mereka mula berasa risau. Pasukan penyiasat pun dihantar untuk mencari Sergio. Hasil pencarian awal, mereka menemui barang-barang milik Sergio berselerak di tanah termasuk jaket seragam, senjata api dan beberapa peralatan lain. Cuma apa yang lebih pelik, tiada sebarang kesan pergelutan atau tanda-tanda Sergio diserang. Barang-barangnya seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja, tanpa petunjuk jelas ke mana dia telah pergi. Usaha mencari tetap diteruskan hingga keesokan harinya. Pihak polis memperluaskan pencarian mereka termasuk menggunakan anjing pengesan dan helikopter. Walau bagaimanapun, Sergio Pucheta gagal untuk dikesan sama sekali.

Selepas 18 jam hilang, Sergio telah ditemui di dalam sebuah parit yakni kira-kira 20 kilometer dari lokasi terakhirnya dilihat. Lebih menghairankan ialah dia tidak mengalami kecederaan serius tetapi keadaannya sangat trauma dan ketakutan melampau. Sergio tidak dapat bercakap dengan jelas dan hanya menggigil dengan wajah yang pucat. Pihak polis membawanya ke hospital untuk pemeriksaan akan tetapi doktor tidak menemui sebarang kecederaan fizikal yang boleh menjelaskan apa yang telah berlaku kepadanya. Beberapa jam berikutnya, Sergio yang sedikit stabil mula menceritakan pengalaman ngerinya yang benar-benar mengejutkan semua orang.
Menurut Sergio tentang malam kejadian, dia sedang melakukan rondaan seperti biasa. Namun secara tiba-tiba, dia berasa ada sesuatu yang memerhatinya dari dalam kegelapan. Sergio menoleh ke sekeliling tetapi tidak melihat apa-apa pada mulanya. Dalam sekelip mata, dia menyedari dua sosok kecil dengan mata merah menyala sedang berdiri tidak jauh darinya. Makhluk-makhluk ini bukan manusia dan bentuk tubuh mereka tidak seperti mana-mana haiwan yang pernah dilihatnya sebelum ini. Dia berasa fikiran dan tubuhnya tidak lagi berada di bawah kawalannya di mana seperti ada kuasa yang mengarahkannya untuk mengikuti mereka tanpa sebarang bantahan.
Sergio mendakwa bahawa makhluk itu tidak bercakap menggunakan suara tetapi berkomunikasi terus ke dalam fikirannya. Perkara ini bermaksud makhluk tersebut memberi arahan dan membisikkan sesuatu dalam bahasa yang sukar difahami. Dia tidak dapat menjelaskan dengan tepat bagaimana dia boleh berjalan sejauh 20 kilometer tanpa sedar tetapi dia hanya dapat mengingati perasaan panik yang luar biasa dan perasaan seolah-olah diangkut ke suatu tempat yang tidak diketahui.

Kes Sergio Pucheta segera menjadi tajuk utama di Argentina dengan pelbagai teori mula muncul bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Sebilangan penyelidik paranormal percaya bahawa Sergio mungkin telah diculik oleh makhluk asing tetapi dilepaskan semula selepas beberapa jam. Dalam kebanyakan kes penculikan makhluk asing. Sesetengah orang percaya bahawa Sergio mungkin telah memasuki dimensi lain tanpa sengaja. Ada teori bahawa terdapat "zon misteri" di bumi yang bertindak sebagai pintu masuk ke dunia lain dan sesiapa yang memasuki kawasan ini boleh mengalami peristiwa luar biasa seperti hilang seketika dari dunia nyata dan muncul di tempat lain. Namun ada juga yang berpendapat bahawa Sergio mungkin mengalami halusinasi akibat keletihan atau tekanan kerja. Sebagai seorang anggota polis yang bertugas di kawasan terpencil, kemungkinan besar dia berdepan dengan keletihan fizikal dan mental yang melampau yang mungkin mencetuskan halusinasi visual dan auditori.
Kisah Sergio masih menjadi misteri sehingga hari ini. Walaupun dia akhirnya kembali bekerja, kehidupannya tidak lagi sama selepas kejadian itu. Ada yang mengatakan bahawa Sergio menjadi lebih pendiam dan jarang berbicara tentang insiden tersebut. Bagi sesetengah orang, kejadian ini hanyalah satu kes kehilangan biasa yang sengaja diperbesarkan oleh media.
Catat Ulasan for "Misteri Kehilangan Sergio Pucheta: Gangguan Paranormal atau Penculikan Makhluk Asing?"