Selebriti Korea Selatan Bunuh Diri: Tekanan, Skandal dan Kebenaran di Sebalik Industri Hiburan yang Kejam!

Kim Sae-ron, pelakon Korea Selatan yang memulakan kerjaya sebagai pelakon kanak-kanak dan dikenali menerusi filem seperti The Man from Nowhere (2010), ditemui meninggal dunia di kediamannya di Seongsu-dong, Seoul, pada 16 Februari 2025. Seorang rakan yang berhasrat untuk bertemu dengannya menemui jasadnya dan segera memaklumkan pihak berkuasa. Polis mengesahkan bahawa tiada tanda-tanda jenayah ditemui dan kematiannya disebabkan oleh bunuh diri. Kim tidak meninggalkan sebarang nota sebelum kematiannya. Sebelum insiden tragis ini, Kim Sae-ron menghadapi tekanan hebat akibat insiden memandu di bawah pengaruh alkohol pada Mei 2022, yang menyebabkan kerosakan harta benda awam dan gangguan bekalan elektrik di kawasan Gangnam. Akibatnya, dia menerima kecaman hebat daripada masyarakat, kehilangan tawaran kerja, dan kontraknya dengan agensi ditamatkan. Dalam usaha untuk memulakan lembaran baharu, Kim dilaporkan telah menukar namanya secara rasmi kepada Kim Ah Im dan sedang mempersiapkan diri untuk kembali ke industri hiburan.
Industri seni hiburan Korea Selatan sememangnya dikenali dengan sistem yang sangat kompetitif dan menekan. Kebanyakan artis negara tersebut bukan sahaja perlu bersaing untuk mendapat tempat dalam industri tetapi mereka juga harus mengekalkan imej sempurna di mata peminat dan masyarakat. Beban kerja yang terlalu padat, latihan bertahun-tahun sebelum membuat penampilan sulung selain peraturan ketat yang dikenakan oleh syarikat hiburan menjadikan kehidupan mereka penuh tekanan. Jika mereka terlibat dalam sebarang kontroversi walaupun kecil, ia boleh memberi kesan besar terhadap kerjaya mereka.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kes bunuh diri dalam kalangan selebriti Korea adalah tekanan sosial dan buli siber. Pada era digital kini, artis sering menjadi sasaran kecaman dalam talian. Netizen Korea terkenal dengan sikap kritikal dan tidak teragak-agak untuk menyerang selebriti yang terpalit dengan skandal. Komen-komen negatif yang keterlaluan, boikot daripada peminat dan penyebaran maklumat palsu boleh menyebabkan tekanan emosi yang sangat berat. Ramai artis yang mengalami kemurungan akibat perkara ini akan tetapi mereka sukar mendapatkan bantuan kerana bimbang akan dipandang lemah oleh masyarakat.
Selain itu, kontrak kejam dan kawalan ketat oleh syarikat hiburan turut menjadi penyebab utama tekanan dalam kalangan selebriti. Banyak syarikat mengikat artis dengan kontrak yang mengehadkan kebebasan mereka termasuk dalam aspek percintaan, kehidupan peribadi dan aktiviti luar kerja. Jika melanggar peraturan, mereka boleh dikenakan denda atau dibuang daripada syarikat. Tekanan ini menyebabkan ramai selebriti berasa terperangkap dan kehilangan kawalan terhadap kehidupan mereka sendiri.

Di Korea Selatan, budaya malu dan kehilangan maruah juga memainkan peranan besar dalam kes bunuh diri selebriti. Masyarakat di sana sangat mementingkan imej dan reputasi sehingga kesilapan kecil boleh membawa kesan yang besar dalam hidup mereka. Jika seorang selebriti terlibat dalam skandal, mereka boleh kehilangan sokongan peminat, dipecat oleh syarikat dan menjadi bahan kecaman awam tanpa henti. Bagi sesetengah artis, tekanan ini terlalu berat untuk ditanggung, hingga mereka memilih jalan yang tragis.
Beberapa artis terkenal Korea Selatan yang meninggal dunia akibat tekanan industri dan buli siber ini adalah seperti berikut :
Jonghyun (SHINee) – Pada 18 Disember 2017, Kim Jonghyun iaitu vokalis utama kumpulan SHINee telah ditemui meninggal dunia akibat bunuh diri. Dalam surat terakhirnya, dia menyatakan rasa tertekan dan keletihan akibat tekanan mental yang berterusan.
Sulli (f(x)) – Choi Sulli, bekas ahli kumpulan f(x), meninggal dunia pada 14 Oktober 2019. Dia sering menjadi sasaran kecaman kerana pandangan terbuka tentang feminisme dan kehidupan peribadinya yang menyebabkan tekanan emosi yang teruk.
Goo Hara (KARA) – Hanya sebulan selepas kematian Sulli, giliran Goo Hara, bekas ahli kumpulan KARA, ditemui meninggal dunia pada 24 November 2019. Dia juga pernah menjadi mangsa buli siber dan tekanan akibat skandal peribadi.
Song Yoo-jung – Pelakon muda ini ditemui meninggal dunia pada 23 Januari 2021 dipercayai akibat tekanan mental yang tinggi.
Lee Sun-kyun - Pada Disember 2023, pelakon terkenal Lee Sun-kyun yang dikenali menerusi filem Parasite, ditemui meninggal dunia akibat bunuh diri. Sebelum itu, dia terlibat dalam skandal berkaitan dadah yang menyebabkan tekanan mental yang hebat.
Kes-kes ini menunjukkan betapa seriusnya tekanan yang dihadapi oleh selebriti Korea Selatan. Meskipun kesedaran tentang kesihatan mental semakin meningkat, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan mereka mendapat sokongan dan perlindungan yang sepatutnya.
Catat Ulasan for "Selebriti Korea Selatan Bunuh Diri: Tekanan, Skandal dan Kebenaran di Sebalik Industri Hiburan yang Kejam!"