Sisi Gelap Shah Rukh Khan: Skandal, Kontroversi & Rahsia Tersembunyi!

Sebagai seorang Muslim, SRK sering berdepan dengan cabaran berkaitan identitinya dalam sebuah negara yang majoritinya beragama Hindu. Walaupun dia beragama Islam, isterinya iaitu Gauri Khan berpegang pada kepercayaan Hindu. Pasangan ini memilih untuk membesarkan anak-anak mereka dengan memahami kedua-dua agama. Malah SRK pernah menyatakan bahawa al-Quran dan kitab Hindu Bhagavad Gita disimpan bersebelahan dalam rumah mereka. Status agama SRK sering menjadi bahan kontroversi terutama apabila dia dituduh lebih cenderung kepada agama Hindu demi menjaga imejnya di India. Selain itu, terdapat juga serangan daripada golongan ekstremis Hindu yang mempersoalkan patriotismenya hanya kerana latar belakang agamanya.

Selain isu identiti, kehidupan peribadi SRK turut dipenuhi kontroversi. Salah satu isu besar yang menarik perhatian media ialah kelahiran anak bongsunya, AbRam Khan, pada tahun 2013. AbRam dilahirkan melalui ibu tumpang sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa SRK dan Gauri mungkin telah menjalani ujian genetik untuk memilih jantina bayi yakni satu perbuatan yang menyalahi undang-undang di India. Walaupun SRK menafikan dakwaan ini, isu tersebut tetap menjadi buah mulut masyarakat. Tidak cukup dengan itu, anak sulungnya iaitu Aryan Khan telah ditangkap dalam kes dadah pada tahun 2021. Meskipun dia akhirnya dibebaskan kerana kekurangan bukti, kes ini mencetuskan spekulasi sama ada Aryan benar-benar bersalah atau pembebasannya tersebut adalah atas pengaruh SRK.
SRK juga pernah terlibat dalam konflik dengan pihak berkuasa. Salah satu insiden paling kontroversi berlaku pada tahun 2012 apabila dia dilarang memasuki Stadium Wankhede selama lima tahun selepas bergaduh dengan pegawai keselamatan. Menurut laporan, SRK dikatakan dalam keadaan mabuk dan bertindak agresif selepas pasukan kriketnya iaitu Kolkata Knight Riders (KKR) telah memenangi perlawanan. SRK bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa bahawa dia hanya mempertahankan anak-anaknya yang diganggu oleh pegawai keselamatan. Lain-lain kontroversi, SRK turut berdepan dengan beberapa isu berkaitan pelaburan dan hartanah luar negara termasuk rumah mewahnya di Dubai. Pelaburan luar pesisir ini mencetuskan spekulasi tentang pematuhan cukai dan ketelusan kewangannya.

Dalam dunia Bollywood, SRK juga dikenali sebagai seorang yang mempunyai ego tinggi dan pernah berseteru dengan beberapa rakan industri. Pergaduhannya dengan Salman Khan pada tahun 2008 semasa majlis ulang tahun Katrina Kaif menjadi salah satu perbalahan paling terkenal dalam sejarah Bollywood. Hubungannya dengan Amitabh Bachchan dan Akshay Kumar turut dikatakan kurang mesra kerana persaingan dalam industri. Walaupun dia sering menampilkan imej mesra di khalayak, beberapa insiden menunjukkan bahawa dia boleh bertindak agresif terutama apabila berada di bawah tekanan. Sikap SRK terhadap media turut menjadi perdebatan kerana dia dilaporkan pernah beberapa kali bertindak kasar terhadap wartawan terutama apabila ditanya tentang kontroversi yang melibatkan keluarganya.

Secara keseluruhannya, Shah Rukh Khan merupakan seorang bintang Bollywood yang telah mencapai kejayaan luar biasa. Dia tetap berdiri teguh sebagai ikon global yang terus mendapat sokongan peminat setianya. Apa yang pasti, Shah Rukh Khan akan terus dikenang sebagai legenda dalam sejarah perfileman Bollywood.
Catat Ulasan for "Sisi Gelap Shah Rukh Khan: Skandal, Kontroversi & Rahsia Tersembunyi!"