Skandal Paling Kontroversi dalam Sejarah Sukan: Tonya Harding vs Nancy Kerrigan!

Kisah Tonya Harding dan Nancy Kerrigan adalah salah satu skandal terbesar dalam sejarah sukan Amerika Syarikat yang melibatkan unsur persaingan, sabotaj dan kemusnahan karier. Mereka berdua merupakan antara peluncur ais terbaik di Amerika Syarikat pada awal 1990-an. Tonya terkenal kerana keupayaannya melakukan triple axel, satu lompatan yang sangat sukar dalam luncur ais wanita sementara Nancy pula dikenali kerana keanggunan dan teknik persembahannya yang klasik.
Latar belakang Tonya dan Nancy sangat berbeza. Tonya berasal dari keluarga miskin di Portland, Oregon di mana dia mengalami zaman kanak-kanak yang sukar kerana membesar dengan ibu yang kasar. Nancy sebaliknya pula datang dari keluarga kelas pertengahan di Massachusetts dan sering mendapat sokongan penuh daripada keluarganya.

Menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk 1994 di Lillehammer, Tonya dan Nancy bersaing sengit untuk mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan Amerika Syarikat. Namun pada 6 Januari 1994, Nancy telah diserang oleh seorang lelaki yang memukul lututnya dengan belantan polis sebelum melarikan diri. Serangan yang berlaku selepas sesi latihan di Cobo Arena, Detroit tersebut menyebabkan Nancy mengalami kecederaan serius. Terdapat rakaman video yang menunjukkan dia menangis sambil menjerit "Why? Why? Why me?". Kejadian ini mencetuskan siasatan besar-besaran dan tidak lama selepas itu, pihak polis menemui dalang sebenar di sebalik serangan tersebut.
Hasil siasatan mendapati bahawa serangan ke atas Nancy telah dirancang oleh bekas suami Tonya yang dikenali sebagai Jeff Gillooly bersama pengawal peribadi Harding, Shawn Eckardt serta dua individu lain iaitu Shane Stant dan Derrick Smith. Matlamat mereka adalah untuk mencederakan Nancy supaya dia tidak dapat bertanding di Olimpik sekaligus memberi kelebihan kepada Tonya. Walaupun pada mulanya Tonya menafikan sebarang penglibatan, bukti menunjukkan bahawa dia mengetahui tentang rancangan itu lebih awal tetapi tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Biarpun mengalami kecederaan, Nancy telah kembali pulih dengan cepat dan berjaya menyertai Sukan Olimpik 1994. Dalam pertandingan tersebut, dia memberikan persembahan yang cemerlang dan memenangi pingat perak, sementara pingat emas dimenangi oleh peluncur Ukraine, Oksana Baiul. Tonya sebaliknya gagal memberikan prestasi yang baik akibat tekanan daripada skandal yang sedang berlaku. Pada hari pertandingan itu, dia menangis sambil mengadu bahawa tali kasutnya terputus hingga menyebabkan dia tidak dapat melakukan persembahan yang sempurna. Tonya akhirnya hanya mendapat tempat kelapan.
Selepas kembali dari Olimpik, Tonya menghadapi tindakan undang-undang. Pada tahun 1994, dia mengaku bersalah atas kesalahan menghalang keadilan kerana menutup maklumat mengenai serangan ke atas Nancy. Sebagai hukuman, dia dikenakan denda sebanyak $160,000, hukuman percubaan selama tiga tahun dan khidmat masyarakat selama 500 jam. Tonya juga diharamkan seumur hidup daripada sukan luncur ais. Sementara itu, Jeff Gillooly, Shawn Eckardt, Shane Stant dan Derrick Smith semuanya dijatuhkan hukuman penjara kerana peranan mereka dalam serangan tersebut.

Selepas skandal ini, kehidupan kedua-dua atlet wanita berkenaan berubah secara drastik. Nancy terus aktif dalam dunia luncur ais selain menyertai pertunjukan profesional dan program televisyen. Dia bgaaimanapun tidak pernah mencapai tahap kejayaan yang sama seperti sebelum ini. Tonya pula terpaksa mencari sumber pendapatan lain. Dia pernah menjadi petinju profesional untuk beberapa tahun, menyertai rancangan realiti dan melakukan pelbagai pekerjaan biasa untuk meneruskan hidup.

Kisah ini kekal sebagai salah satu skandal paling kontroversi dalam sejarah Olimpik dan sering dijadikan bahan kajian tentang kesan tekanan dalam sukan kompetitif. Filem I, Tonya (2017) yang dibintangi oleh Margot Robbie cuba memberikan perspektif yang lebih mendalam tentang kehidupan Tonya dan bagaimana dia sendiri menjadi mangsa sistem yang tidak adil. Dokumentari seperti 30 for 30: The Price of Gold juga membongkar realiti di sebalik skandal ini.
Catat Ulasan for "Skandal Paling Kontroversi dalam Sejarah Sukan: Tonya Harding vs Nancy Kerrigan!"