Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

"The Iceman": Kisah Pembunuh Upahan Paling Kejam dalam Sejarah Mafia!


     Richard Kuklinski atau lebih dikenali sebagai The Iceman merupakanseorang pembunuh upahan terkenal di Amerika Syarikat yang dipercayai telah membunuh lebih daripada 100 orang. Dia bekerja untuk organisasi jenayah terancang terutamanya keluarga Mafia seperti Gambino. Gelaran The Iceman diberikan kerana dia menggunakan teknik pembekuan   mayat mangsa pembunuhannya untuk mengelirukan pihak berkuasa mengenai masa kematian. Meskipun dia seorang pembunuh yang kejam, Kuklinski menjalani kehidupan sebagai seorang suami dan bapa penyayang di rumah. 

     Bercerita tentang belakang Richard Kuklinski dilahirkan pada 11 April 1935 di Jersey City, New Jersey. Bapa Richard iaitu Stanley Kuklinski adalah seorang pemabuk yang ganas di mana dia sering memukulnya dengan kejam. Sementara itu, ibu Richard yang dikenali sebagai Anna McNally pula seorang wanita Katolik tegas yang turut menggunakan kekerasan dalam mendidiknya. Kekejaman bapa Richard pernah menyebabkan kematian abangnya, Florian. Keluarga mereka bagaimanapun menutup kejadian tersebut dengan mendakwa Florian terjatuh dari tangga. Sejak Richard kecil, dia sering menjadi mangsa penderaan sekaligus membentuk keperibadiannya yang dingin serta pendendam. Menginjak usia remaja, dia mula membunuh haiwan secara kejam, satu tanda awal kecenderungan psikopat yang akhirnya berkembang menjadi jenayah yang lebih besar.


     Pada tahun 1950-an, Richard mula berjinak-jinak dalam dunia jenayah dengan melakukan rompakan kecil dan kerja-kerja haram di New Jersey. Dia segera menarik perhatian keluarga jenayah Gambino yang melihat potensinya sebagai seorang lelaki yang tidak beremosi dan sanggup membunuh tanpa rasa bersalah. Richard kemudian dilatih sebagai pembunuh upahan dan melakukan pelbagai pembunuhan untuk Mafia. Keistimewaan Richard ialah kepelbagaian kaedah pembunuhan yang digunakannya. Dia tidak hanya menggunakan senjata api tetapi juga racun, pisau, tali penjerut dan busur silang. Selain itu, dia membekukan mayat mangsanya bagi mengaburi pihak forensik tentang waktu sebenar kematian. Ini telah menjadikannya sebagai seorang pembunuh yang sukar dijejaki.


     Di sebalik kekejamannya itu, Richard mampu menjalani kehidupan yang kelihatan normal. Dia telah berkahwin dengan seorang wanita bernama Barbara Kuklinski dan mempunyai tiga orang anak. Di mata keluarga dan jiran-jirannya, Richard adalah seorang suami dan bapa yang penyayang dengan gambaran sebgaai lelaki biasa yang bekerja untuk menyara keluarganya. Walaupun begitu, terdapat sisi gelap dalam perkahwinan Richard. Barbara pernah menjadi mangsa kekerasan Richard kerana apabila lelaki itu marah, dia mengugut akan membunuh seluruh keluarganya jika mereka cuba meninggalkannya.

     Selepas bertahun-tahun terlibat dalam jenayah tanpa dikesan, Richard akhirnya menarik perhatian pihak berkuasa pada pertengahan 1980-an. FBI melancarkan operasi penyamaran bernama Operation Iceman untuk menangkapnya. Seorang ejen penyamaran yang dikenali sebagai Dominick Polifrone telah berpura-pura menjadi pembeli dadah dan pembunuh upahan lalu berjaya mendapatkan bukti rakaman tentang pengakuan Richardmengenai pembunuhan yang dilakukannya. Pada 17 Disember 1986, Richard ditahan oleh pihak polis ketika dia dalam perjalanan pulang bersama keluarganya. Penangkapannya mengejutkan ramai orang kerana tiada sesiapa yang menyangka bahawa Richard sebenarnya seorang pembunuh kejam.


     Pada tahun 1988, Richard telah didapati bersalah atas lima kes pembunuhan dan dijatuhi dua hukuman penjara seumur hidup. Di dalam penjara, dia mula memberikan wawancara kepada media dan mendedahkan banyak lagi pembunuhan yang dilakukannya. Richard mendakwa telah membunuh lebih daripada 100 orang termasuk individu terkenal dalam dunia jenayah. Salah satu pengakuannya yang paling mengejutkan ialah dia pernah membunuh seseorang menggunakan busur silang hanya kerana ingin mencuba senjata tersebut. Walaupun ada yang meragui kesahihan dakwaan Richard, tiada siapa yang menafikan bahawa dia adalah salah seorang pembunuh upahan paling berbahaya dalam sejarah Amerika.


     Richard meninggal dunia pada 5 Mac 2006 di dalam penjara pada usia 70 tahun akibat kegagalan pernafasan. Walau bagaimanapun, kematiannya menimbulkan pelbagai teori konspirasi kerana beberapa bulan sebelum itu dia telah bersetuju untuk menjadi saksi dalam kes perbicaraan terhadap seorang ketua Mafia terkenal, Sammy "The Bull" Gravano. Sebelum sempat memberikan keterangannya,  Richard tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal dunia. Kisah Richard Kuklinski terus menjadi subjek kajian dan perbincangan dalam dunia jenayah. Kehidupannya telah diadaptasi dalam beberapa dokumentari dan filem termasuk The Iceman (2012) lakonan Michael Shannon. 

Catat Ulasan for ""The Iceman": Kisah Pembunuh Upahan Paling Kejam dalam Sejarah Mafia!"