Tragedi Costa Concordia: Keangkuhan Kapten yang Meragut 32 Nyawa

Pada malam 13 Januari 2012, suasana di atas sebuah kapal persiaran mewah iaitu Costa Concordia begitu meriah sekali. Lebih 4200 orang penumpang dan kru sedang menikmati makan malam, berhibur dan menikmati pemandangan laut yang indah ketika kapal itu belayar di kawasan perairan Laut Mediterranean yang berhampiran dengan Pulau Giglio, Itali. Namun tanpa disangka, malam yang sepatutnya dipenuhi kegembiraan itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kapal berkenaan telah melanggar batu karang besar menyebabkan ia senget. Dalan tempoh beberapa jam, sebahagian daripada kapal tersebut tenggelam.
Tragedi ini berpunca daripada keputusan berbahaya yang dibuat oleh kapten kapal berpengalaman berusia 51 tahun yang dikenali sebagai Francesco Schettino. Pada malam itu, Francesco telah mengubah haluan kapal dari laluan yang sepatutnya dengan menghampiri Pulau Giglio lebih dekat daripada kebiasaannya. Keputusan ini bukan disebabkan faktor teknikal atau keselamatan tetapi hanya semata-mata untuk menarik perhatian seorang wanita bernama Domnica Cemortan yakni seorang bekas penari dari Moldova yang ketika itu berada bersama Francesco di kawasan kawalan kapal.

Dalam percubaan Francesco untuk melakukan apa yang disebut sebagai "inchino" (penghormatan laut, di mana kapal belayar hampir ke pantai sebagai tanda penghormatan kepada penduduk setempat), dia tidak menyedari bahawa perairan di sekitar Pulau Giglio mempunyai batu karang yang sangat berbahaya. Dengan kelajuan 15 knot (28 km/j), Costa Concordia menghentam batu karang besar yang mengakibatkan kebocoran bahagian bawah kapal sepanjang hampir 50 meter. Kebocoran itu sekaligus menyebabkan air mula memasuki kapal dengan pantas hingga merosakkan sistem elektrik dan enjin utama. Dalam masa beberapa minit saja, kapal tersebut hilang kawalan hingga mencetuskan panik dalam kalangan penumpang dan kru yang tidak menyangka keadaan akan menjadi begitu serius.
Walaupun pelanggaran berlaku, Francesco tidak segera mengaktifkan amaran kecemasan atau meminta bantuan segera. Dia sebaliknya mengambil masa lebih satu jam sebelum memberi arahan pemindahan penuh kepada penumpang. Keputusan yang lambat inilah menjadi salah satu punca utama jumlah korban menjadi ramai kerana semasa penumpang mula berusaha menyelamatkan diri, kapal sudah pun semakin condong lalu menyukarkan proses turun ke bot penyelamat.
Dalam kekacauan itu, satu fakta yang lebih mengejutkan muncul adalah ketika ramai penumpang masih terperangkap di dalam kapal, Francesco sendiri melarikan diri lebih awal dengan menaiki bot penyelamat. Tindakannya ini menimbulkan kemarahan pihak berkuasa Itali terutama pengawal pantai yang mengarahkannya untuk kembali ke kapal dan menguruskan operasi penyelamatan. Walau bagaimanapun, Francesco enggan berbuat sedemikian.

Tragedi ini telah mengorbankan 32 nyawa. Ramai juga mangsa yang mengalami kecederaan selain trauma mendalam akibat pengalaman mengerikan itu. Mangsa terdiri daripada penumpang dan kru yang tidak sempat menyelamatkan diri, ada yang lemas di dalam kapal dan ada yang terhumban ke laut. Kejadian ini telah membawa kepada perubahan besar dalam protokol keselamatan industri kapal persiaran termasuk latihan kecemasan wajib dalam tempoh 24 jam pertama selepas berlayar.
Setelah dua tahun dalam keadaan separuh tenggelam berhampiran Pulau Giglio, Costa Concordia akhirnya diapungkan semula dan dihantar ke Genoa untuk dileraikan serta dilupuskan. Tragedi ini kekal sebagai salah satu kemalangan maritim tragis dalam sejarah moden.

Tentang Francesco, dia telah dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun atas pertuduhan melakukan pembunuhan tanpa niat, menyebabkan kemalangan dan meninggalkan kapal sebelum proses pemindahan selesai. Baru-baru ini, pada Februari 2025, Francesco memohon pembebasan awal selepaa menjalani separuh daripada hukumannya. Permohonan kontroversi ini bagaimanapun telah menerima bantahan daripada keluarga mangsa.
Catat Ulasan for "Tragedi Costa Concordia: Keangkuhan Kapten yang Meragut 32 Nyawa"