Tragedi di Daejeon: Murid 8 Tahun Maut Ditikam Guru di Sekolah

Baru-baru ini, satu kejadian pembunuhan ngeri telah berlaku di sebuah sekolah rendah, Daejeon, Korea Selatan di mana seorang guru wanita berusia 48 tahun didakwa menikam mati seorang murid perempuan berusia 8 tahun, Kim Ha-neul. Kejadian ini berlaku pada 10 Februari 2025 pada sekitar jam 5:50 petang waktu tempatan di bilik audio-visual yang terletak di tingkat dua sekolah tersebut.
Guru tersebut yang telah berkhidmat selama 24 tahun dan bekerja di enam sekolah rendah di Daejeon dilaporkan telah mengalami masalah kesihatan mental iaitu penyakit kemurungan sejak tahun 2018. Pada Disember 2024, dia mengambil cuti sakit selama 21 hari sebelum kembali bertugas pada akhir bulan tersebut dengan mengemukakan surat perubatan yang menyatakan dia mampu menjalankan tugas seperti biasa. Namun sejak dia kembali bertugas, terdapat beberapa insiden yang membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan mentalnya. Pada 5 Februari 2025, dia telah merosakkan komputer sekolah hanya kerana masalah sambungan internet. Sehari berikutnya, dia menyerang seorang rakan sekerja yang cuba berinteraksi dengannya. Pihak sekolah telah melaporkan insiden ini kepada pejabat pendidikan tempatan dan menasihatinya untuk mengambil cuti atau cuti sakit tetapi tiada tindakan lanjut yang diambil.
Pada hari kejadian yakni selepas sesi kelas tambahan, guru tersebut didakwa telah mengajak Kim Ha-neul ke bilik audio-visual dengan alasan ingin memberikan sebuah buku. Di situ dia didakwa menyerang dan menikam murid itu hingga menyebabkan kematian. Mangsa kemudian ditemui oleh neneknya dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah. Neneknya sebelum itu melakukan pencarian di sekolah susulan Kim Ha-neul yang langsung tidak pulang ke rumah seperi kebiasaannya. Di audio-visual tersebut, dia telah menemui cucunya dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah. Guru tersebut juga ditemui dengan terdapat kesan luka tikaman yang dipercayai dilakukannya sendiri. Kedua-duanya dikejarkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Kim Ha-neul bagaimanapun disahkan meninggal dunia sementara guru itu menerima rawatan untuk kecederaannya.

Insiden ini ternyata mengejutkan masyarakat Korea Selatan dan menimbulkan perdebatan mengenai keselamatan di sekolah serta kesihatan mental dalam kalangan pendidik. Pihak berkuasa pendidikan telah mengarahkan siasatan menyeluruh dan menilai semula prosedur keselamatan di sekolah-sekolah. Keluarga mangsa telah mengadakan upacara pengebumian pada 14 Februari 2025 dan orang ramai telah memberikan penghormatan terakhir dengan meletakkan bunga dan surat takziah di pintu masuk sekolah.
Catat Ulasan for "Tragedi di Daejeon: Murid 8 Tahun Maut Ditikam Guru di Sekolah"