Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Tragedi Kyoto Animation: Api Dendam yang Meragut 36 Nyawa!


     Pada pagi 18 Julai 2019, dunia anime dikejutkan dengan berita tragis apabila bangunan Studio 1 Kyoto Animation di Fushimi, Kyoto, Jepun terbakar akibat perbuatan khianat. Kejadian ini telah mengorbankan 36 nyawa selain mencederakan 34 orang sekaligus menjadi serangan pembunuhan massa paling dahsyat yang pernah berlaku di Jepun sejak Perang Dunia Kedua.

     Kisah bermula pada kira-kira jam 10:31 pagi waktu tempatan apabila seorang lelaki berusia 41 tahun bernama Shinji Aoba memasuki bangunan tiga tingkat Kyoto Animation Studio 1 sambil membawa dua tong besar berisi 40 liter petrol. Dia telah menyimbah petrol tersebut di lobi tingkat bawah sebelum menyalakan api.

     Sebaik sahaja api menyala, letupan kuat berlaku dan menyebabkan kepulan asap tebal memenuhi bangunan. Shinji sempat menjerit "Mati!" sambil melihat pekerja-pekerja di situ panik melarikan diri. Keadaan menjadi lebih buruk apabila bangunan tersebut tidak mempunyai alat pemadam automatik keran pejabat itu direka sebagai pejabat biasa dan bukannya kilang atau makmal yang memerlukan sistem pemadaman khas.

     Api marak dengan begitu cepat dan dalam tempoh masa beberapa minit sahaja, bangunan itu sudah hampir musnah sepenuhnya. Beberapa orang pekerja berjaya melarikan diri ke bumbung sebelum diselamatkan oleh pasukan bomba tetapi ramai yang terperangkap terutama di tingkat atas kerana asap tebal menghalang mereka mencari jalan keluar. Pihak bomba berjaya memadam api kebakaran selepas lima jam. Walau bagaimanapun, bangunan itu telah musnah sepenuhnya.

     Seperti yang diberitahu, serangan ini telah meragut 36 nyawa dan mencederakan 34 yang lain. Mangsa  yang terkorban termasuklah pengarah terkenal Yasuhiro Takemoto serta beberapa animator berbakat yang bekerja dalam produksi anime Kyoto Animation seperti Violet Evergarden, A Silent Voice dan K-On!

     Tentang Shinji, dia bukanlah kakitangan Kyoto Animation, tetapi dia yakin bahawa syarikat itu telah mencuri ideanya. Siasatan mendapati bahawa Shinji pernah menghantar manuskrip ke pertandingan novel anjuran Kyoto Animation namun karyanya tidak berjaya melepasi saringan awal dan tidak pernah diterbitkan oleh syarikat itu. Disebabkan berasa dirinya dikhianati, Shinji pun nekad membakar bangunan tersebut sebagai aksi balas dendam.

     Selepas membakar studio, Shinji sendiri mengalami kesan terbakar teruk di lebih 90% badannya. Dia cuba melarikan diri tetapi ditangkap oleh saksi berhampiran dan akhirnya ditahan oleh polis. Shinji yang turut mengalami kecederaan parah perlu menerima rawatan intensif selama berbulan-bulan sebelum dibenarkan untuk disoal siasat oleh pihak berkuasa. Pada Mei 2020 yakni selepas pulih sepenuhnya, Shinji secara rasmi ditahan lalu didakwa atas tuduhan pembunuhan.

     Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes iaitu pada 25 Januari 2024, Mahkamah Daerah Kyoto menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

     Tragedi ini telah menggemparkan peminat anime di seluruh dunia. Kyoto Animation dikenali sebagai salah satu studio anime terbaik Jepun kerana terkenal dengan gaya animasi berkualiti tinggi dan cerita yang menyentuh perasaan. 

     Selepas kejadian, pemimpin Jepun seperti Perdana Menteri Shinzo Abe dan ramai artis anime terkenal menyampaikan ucapan takziah. Syarikat-syarikat besar seperti Nintendo dan Google turut menyatakan kesedihan mereka. Gerakan kutipan dana besar-besaran dilancarkan oleh peminat anime dan syarikat dari seluruh dunia. Kyoto Animation menerima lebih daripada 3.3 bilion yen (sekitar RM100 juta) dalam sumbangan untuk membantu keluarga mangsa dan membangunkan semula syarikat.

     Pada tahun 2020, syarikat tersebut mengumumkan bahawa mereka tidak akan membina semula Studio 1 tetapi sebaliknya akan membina tugu peringatan di lokasi tersebut bagi memperingati mangsa yang terkorban.

Catat Ulasan for "Tragedi Kyoto Animation: Api Dendam yang Meragut 36 Nyawa!"