Akibat Dendam, Lelaki Bunuh Dua Beranak di Blora!

INDONESIA - Tular tentang satu kes pembunuhan dua anak-beranak yang berlaku di Desa Sambonganyar, Kecamatan Ngawen, Kabupaten Blora, Jawa Tengah. Mangsa yang dikenal pasti sebagai Muslikin, 45 tahun dan anak perempuannya iaitu SKP, 9 tahun, meninggal dunia selepas meminum air yang dicampur dengan racun. Kejadian yang berlaku pada 21 Februari 2025 ini pada mulanya disangka sebagai kes keracunan biasa tetapi siasatan pihak berkuasa kemudian mendapati ia adalah satu pembunuhan yang telah dirancang dengan teliti.
Berdasarkan laporan media tentang waktu kejadian, penduduk kampung dikejutkan dengan jeritan SKP yang tiba-tiba berlari keluar dari rumahnya sebelum dia menjerit meminta pertolongan. Orang ramai segera bergegas ke lokasi lalu mendapati Muslikin sedang terbaring di rumah dalam keadaan mulut berbuih dan tidak sedarkan diri. Penduduk cuba memberikan bantuan kecemasan tetapi keadaan Muslikin semakin kritikal. Tidak lama selepas itu, SKP yang pada mulanya masih mampu meminta tolong mula menunjukkan gejala yang sama. Badannya menjadi lemah sebelum akhirnya tidak lagi mampu berdiri. Penduduk segera membawanya ke pusat perubatan terdekat. Kedua-dua mangsa bagaimanapun akhirnya disahkan meninggal dunia.
Pihak polis yang menerima laporan segera menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Beberapa orang saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan termasuk isteri mangsa. Menerusi bukti dan keterangan saksi sedia ada, polis seterusnya mengenal pasti MK yang juga merupakan adik ipar Muslikin sebagai suspek utama. Difahamkan selepas kejadian, MK telah melarikan diri ke Samarinda, Kalimantan Timur untuk mengelak daripada dikesan. Walau bagaimanapun, hasil usaha pihak polis yang menjejakinya selama beberapa hari membuahkan hasil apabila MK berjaya ditahan pada 25 Februari 2025 dan dibawa pulang ke Blora untuk siasatan lanjut.

Siasatan mendapati bahawa pembunuhan ini berpunca daripada dendam lama yang dipendam oleh MK terhadap Muslikin. Menurut maklumat yang diperoleh, MK berasa sering dihina dan dipandang rendah oleh abang iparnya itu. Selain itu, terdapat pertikaian antara mereka mengenai urusan jual beli tanah sawah yang menjadi faktor tambahan dalam konflik mereka. Apa yang lebih menyakitkan hati MK ialah apabila dia pernah dituduh tidak mempunyai harta ketika berkahwin dengan adik Muslikin. Tuduhan tersebut membuatkannya berasa terhina lalu menyimpan dendam terhadap Muslikin. Setelah bertahun-tahun memendam perasaan marah, akhirnya MK mengambil keputusan untuk membunuh abang iparnya dengan cara yang sukar dikesan yakni menggunakan racun.
Hasil siasatan, MK dipercayai masuk ke rumah Muslikin ketika rumah itu kosong dan mencampurkan racun ke dalam air minuman di dapur. Dia kemudian meninggalkan rumah tersebut tanpa disedari sesiapa. Apabila mangsa pulang dan meminum air tersebut, racun mula bertindak balas dalam tubuh mereka menyebabkan gejala keracunan yang membawa kepada kematian. Sesudah berasa yakin rancangannya berjaya, MK segera melarikan diri ke Samarinda seperti yang sudah dirancangnya.
Pada 28 Februari 2025, pihak polis mengambil keputusan untuk menggali semula kubur kedua-dua mangsa bagi menjalankan bedah siasat. Hasil bedah siasat tersebut kemudian mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat racun rumput. MK boleh dikenakan hukuman berat atas kesalahan pembunuhan terancang. Jika disabitkan kesalahan, dia bakal menerima hukuman sama ada dihukum mati, penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun penjara.
Catat Ulasan for "Akibat Dendam, Lelaki Bunuh Dua Beranak di Blora!"