Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Apa Sebenarnya yang Terjadi Kepada Michael Schumacher?

     Michael Schumacher, legenda Formula 1 dan juara dunia tujuh kali telah mengalami kemalangan tragis pada 29 Disember 2013 ketika sedang bermain ski di resort Meribel di Pergunungan Alps, Perancis. Dia  bermain bersama dengan anaknya iaitu Mick Schumacher yang ketika itu berusia 14 tahun.

     Schumacher dilaporkan bermain ski di luar trek rasmi di antara dua laluan yang ditandai. Semasa menuruni cerun, dia tiba-tiba tergelincir dan kehilangan kawalan sekaligus menyebabkan kepalanya terhantuk kuat pada batu yang tersembunyi di bawah salji. Walaupun memakai topi keledar, hentakan itu cukup kuat untuk menyebabkan kecederaan serius pada otaknya. Siasatan kemudian mendapati bahawa hentakan tersebut begitu kuat sehingga topi keledarnya retak teruk. Malah terdapat laporan yang menyebut bahawa jika dia tidak memakai topi keledar, kecederaannya mungkin akan membawa maut di tempat kejadian.

     Rakaman kamera yang dipasang pada topi keledarnya berjaya merakam insiden itu. Berdasarkan analisis video, Schumacher sedang bermain ski dengan kelajuan sederhana sebelum tergelincir sejauh kira-kira 9 meter dan kepalanya terhentak pada batu.

     Beberapa saat selepas insiden itu, anaknya, Mick Schumacher dan rakan-rakan mereka segera meminta bantuan. Pasukan penyelamat tiba dalam masa beberapa minit dan Schumacher masih dalam keadaan sedar pada awalnya. Dia bagaimanapun mula menunjukkan tanda-tanda kehilangan kesedaran ketika pasukan perubatan tiba. Schumacher segera diterbangkan menggunakan helikopter ke hospital tempatan di Moutiers sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Grenoble yang lebih lengkap dengan kepakaran neurologi.

     Doktor yang merawatnya mendapati dia mengalami kecederaan otak traumatik yang serius termasuk pendarahan dan pembengkakan otak yang berbahaya. Schumacher segera menjalani dua pembedahan untuk mengurangkan tekanan dalam otaknya. Bagi meningkatkan peluang pemulihan, doktor meletakkannya dalam koma yang diinduksi secara perubatan. Ini bertujuan untuk mengurangkan aktiviti otak, mengawal tekanan dalam tengkorak dan memberi masa kepada tubuhnya untuk pulih. Schumacher berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil selama beberapa minggu. Sepanjang tempoh itu, keluarga dan peminatnya di seluruh dunia berharap dia akan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

     Pada Jun 2014 yakni selepas hampir enam bulan dalam koma, keluarga Schumacher mengumumkan bahawa dia telah mula menunjukkan tanda-tanda kesedaran dan dipindahkan ke pusat pemulihan di Lausanne, Switzerland. Beberapa bulan berikutnya, Schumacher dibawa pulang ke rumah keluarganya di Gland, Switzerland untuk rawatan lanjut. Sejak itu, keadaan kesihatannya menjadi sangat rahsia. Keluarganya enggan mendedahkan butiran lanjut dan hanya segelintir individu yang dibenarkan melawatnya. Beberapa laporan tidak rasmi menyatakan bahawa Schumacher tidak lagi boleh berjalan, bercakap atau berkomunikasi dengan normal. Dia dikatakan berada dalam keadaan kesedaran yang sangat terhad dan memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa.

     Sejak insiden itu juga banyak spekulasi timbul mengenai keadaannyantetapi keluarga tetap berpegang kepada prinsip menjaga privasi. Pada 2021, dokumentari "Schumacher" yang ditayangkan di Netflix memberi sedikit gambaran tentang kehidupannya selepas kemalangan. Dalam dokumentari itu, isterinya, Corinna Schumacher, berkata:

     "Kami tinggal bersama, kami hidup bersama di rumah. Dia masih di sini tetapi dengan cara yang berbeza."

     Kata-kata itu menimbulkan spekulasi bahawa Schumacher masih berada dalam keadaan sangat terhad dan memerlukan bantuan penuh untuk semua keperluan asasnya.

    Walaupun hampir 11 tahun telah berlalu sejak kemalangan itu, peminat di seluruh dunia masih berharap agar suatu hari nanti Schumacher akan menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Cuma berdasarkan tempoh masa yang telah berlalu, ramai yang percaya bahawa kemungkinan untuk dia kembali seperti dahulu adalah amat tipis. Walau apapun, warisan dan pengaruh Schumacher dalam dunia F1 kekal kuat. 

Catat Ulasan for "Apa Sebenarnya yang Terjadi Kepada Michael Schumacher?"