Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dimakan Hidup-Hidup? Eksperimen Berbahaya Paul Rosolie dengan Anaconda


     Pada tahun 2014, dunia digemparkan dengan satu eksperimen luar biasa yang dilakukan oleh Paul Rosolie iaitu seorang penjelajah dan aktivis pemuliharaan alam sekitar. Eksperimen ini menjadi tumpuan utama dalam dokumentari Eaten Alive yang disiarkan di Discovery Channel. Rosolie
yang telah lama bekerja dalam usaha pemuliharaan hutan hujan Amazon mahu menarik perhatian global terhadap kemusnahan ekosistem hutan ini dan ancaman yang dihadapi oleh hidupan liar di dalamnya. Demi mencapai matlamat itu, Rosolie melakukan sesuatu yang tidak pernah dicuba oleh sesiapa sebelum ini di mana dia membiarkan dirinya ditelan hidup-hidup oleh seekor anaconda hijau (Eunectes murinus), spesies ular terbesar di dunia dari segi berat badan.

     Rosolie dan pasukannya menghabiskan masa berbulan-bulan di dalam hutan Amazon untuk mencari seekor anaconda yang cukup besar bagi eksperimen ini. Pencarian mereka itu berbaloi apabila menemui seekor anaconda betina sepanjang lebih daripada 6 meter. Bagi memastikan keselamatannya, Rosolie mengenakan sut khas yang direka untuk melindunginya daripada tekanan kuat dan asid perut ular itu. Sut tersebut diperbuat daripada bahan yang kukuh, mempunyai lapisan pelindung yang tebal serta dilengkapi dengan sistem bekalan oksigen bagi membolehkannya bernafas sekiranya benar-benar ditelan oleh anaconda tersebut. Pasukan perubatan dan penyelidik turut bersiap sedia untuk memantau keselamatannya sepanjang eksperimen berlangsung.


     Apabila eksperimen bermula, Rosolie dengan berhati-hati menghampiri anaconda itu. Ular tersebut pada mulanya enggan menyerangnya. Jadi Rosolie terpaksa memprovokasi haiwan itu dengan meniru pergerakan mangsa semula jadi. Setelah beberapa ketika, anaconda itu akhirnya menggigit bahagian kepala sut yang dipakainya dan mula membelit badannya dengan kuat. Rosolie dapat merasakan tekanan yang amat dahsyat sewaktu badannya semakin dihimpit oleh otot kuat ular itu. Tekanan yang dikenakan oleh anaconda ketika membelit mangsanya boleh mencapai beberapa ratus paun per inci persegi, cukup untuk menghancurkan tulang manusia dalam masa beberapa minit.


     Namun selepas beberapa minit dalam cengkaman anaconda tersebut, Rosolie mula mengalami kesakitan yang serius terutama di bahagian lengannya. Tekanan yang diberikan oleh ular itu jauh lebih kuat daripada yang dijangkakan dan dia mula berasa tubuhnya tidak mampu bertahan lebih lama. Menyedari bahaya yang semakin meningkat, Rosolie akhirnya memberi isyarat kepada pasukannya untuk menghentikan eksperimen sebelum dia mengalami kecederaan yang lebih parah. Pasukan Rosolie dengan segera campur tangan dan berjaya menariknya keluar dari cengkaman anaconda tersebut. Eksperimen itu berakhir sebelum anaconda sempat menelannya sepenuhnya sekaligus mengecewakan ramai penonton yang mengharapkan untuk melihat Rosolie benar-benar "dimakan hidup-hidup" seperti yang digembar-gemburkan dalam tajuk dokumentari tersebut.

     Tayangan dokumentari Eaten Alive mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai. Ada yang menganggap eksperimen itu sebagai satu pencapaian luar biasa dalam dunia dokumentari alam semula jadi manakala yang lain mengecamnya sebagai satu aksi sensasi yang tidak beretika. Aktivis haiwan, termasuk organisasi seperti PETA (People for the Ethical Treatment of Animals) mengkritik eksperimen itu kerana mereka berpendapat ia membahayakan haiwan tersebut dan merupakan satu bentuk eksploitasi terhadap anaconda. Mereka berpendapat bahawa sekiranya Rosolie benar-benar mahu membantu usaha pemuliharaan, dia sepatutnya menggunakan pendekatan lain yang tidak melibatkan gangguan terhadap hidupan liar.


     Walaupun eksperimen itu berakhir dengan kontroversi, Rosolie tetap mempertahankan keputusannya untuk melakukannya. Menurutnya, tujuan utama eksperimen ini bukanlah untuk mencari publisiti semata-mata tetapi untuk meningkatkan kesedaran dunia mengenai keadaan hutan hujan Amazon yang semakin terancam akibat pembalakan haram dan pembangunan yang tidak terkawal. Dia percaya bahawa hanya dengan melakukan sesuatu yang luar biasa, barulah masyarakat global akan benar-benar membuka mata terhadap kepentingan melindungi ekosistem yang semakin terancam ini. Rosolie sendiri terus aktif dalam kerja-kerja pemuliharaan dan menggunakan pengalamannya di Amazon untuk menyebarkan kesedaran tentang kepentingan melindungi hutan hujan dan hidupan liar yang bergantung kepadanya untuk terus hidup.

Catat Ulasan for "Dimakan Hidup-Hidup? Eksperimen Berbahaya Paul Rosolie dengan Anaconda"