Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dikurung Teman Lelaki Bersenjata – Wanita Ini Guna Cara Genius untuk Selamat!


     Pada 4 Mei 2015 bertempat di Avon Park, Florida, Cheryl Treadway yang juga merupakan seorang ibu kepada tiga orang anak telah mengalami detik paling mencemaskan dalam hidupnya apabila dia dan anak-anaknya dikurung oleh teman lelakinya sendiri yang bernama Ethan Earl Nickerson. Namun dengan menggunakan kebijaksanaannya dan sebuah aplikasi pesanan makanan, Cheryl berjaya meminta pertolongan dengan cara yang tidak disangka-sangka iaitu melalui pesanan Pizza Hut.

     Cheryl dan Ethan sudah lama menjalinkan hubungan tetapi ia bukanlah hubungan yang bahagia. Ethan mempunyai masalah ketagihan dadah dan sering berkelakuan agresif. Pada hari kejadian, pasangan tersebut terlibat dalam satu pertengkaran besar berpunca daripada perangai tidak stabil Ethan yang semakin buruk. Cheryl mula menyedari bahawa keadaan semakin tidak terkawal terutama apabila Ethan mula mengawal pergerakannya dengan ketat.

     Ethan tidak membenarkan Cheryl keluar dari rumah dan merampas telefonnya supaya dia tidak dapat meminta pertolongan. Ethan juga mengurung ketiga-tiga anak Cheryl bersama mereka menjadikan situasi lebih tegang. Cheryl tahu bahawa dia tidak boleh melawan secara fizikal kerana Ethan lebih kuat daripadanya dan apa yang lebih membimbangkan, Ethan mempunyai pisau. Beberapa kali Cheryl cuba menenangkan keadaan dengan bercakap lembut dan tidak membantah setiap arahan Ethan. Dia sedar bahawa satu langkah yang salah boleh membahayakan nyawa mereka. Disebabkan itu, dia menunggu saat yang sesuai untuk bertindak.


     Selepas seharian dikurung, anak-anak Cheryl mula menunjukkan tanda-tanda kelaparan dan keletihan. Menyedari bahawa perkara ini mungkin satu peluang terbaik untuk bertindak, Cheryl cuba menggunakan pendekatan memujuk Ethan dengan tenang. Dia memberitahu bahawa anak-anak mereka lapar dan  perlu makan sesuatu. Cheryl pun mencadangkan untuk membuat pesanan makanan secara dalam talian kerana Ethan tidak membenarkan mereka keluar untuk membeli makanan.

     Pada mulanya Ethan keberatan kerana dia takut Cheryl akan cuba meminta pertolongan. Cuma setelah dipujuk beberapa kali, Ethan akhirnya bersetuju dengan syarat Cheryl hanya boleh menggunakan aplikasi untuk membuat pesanan dan tidak membuat sebarang panggilan telefon. Bagi Ethan, itu adalah pilihan yang selamat kerana dia beranggapan aplikasi makanan tidak boleh digunakan untuk menghubungi polis. Walau bagaimanapun, dia tidak menyangka bahawa Cheryl akan menggunakan kreativiti dan keberaniannya untuk menyampaikan mesej tersembunyi.

     Cheryl segera membuka aplikasi Pizza Hut dan mula membuat pesanan seperti biasa. Dia memilih pizza pilihannya tetapi di bahagian nota tambahan, dia menulis mesej  "911 hostage help!" "Get 911 to me." Sesudah memastikan mesej tersebut jelas, Cheryl menekan butang hantar pesanan. Dia kemudian cuba bersikap tenang dan tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi agar Ethan tidak mengesyaki sesuatu.


     Pesanan tersebut seterusnya diterima oleh restoran Pizza Hut di Avon Park, tempat Cheryl sering membeli makanan. Apabila pekerja restoran melihat pesanan itu, mereka terkejut dan curiga. Mesej "911 hostage help!" tersebut bukan sesuatu yang biasa mereka terima dalam pesanan makanan. Pengurus restoran yang dikenali sebagai Candy Hamilton yang sememangnya mengenali Cheryl sebagai pelanggan tetap segera mengesyaki bahawa ads sesuatu buruk sedang berlaku. Dia sedar bahawa Cheryl mungkin benar-benar berada dalam keadaan bahaya.

     Jadi Candy tidak membuang masa dengan segera menghubungi pihak polis dan melaporkan situasi tersebut. Walaupun mereka tidak tahu secara terperinci apa yang sedang berlaku, mereka tidak mengambil risiko untuk mengabaikan mesej itu. Polis polis yang berkenaan telah menerima laporan tersebut lalu bergerak pantas ke lokasi rumah Cheryl.

     Setibanya di rumah Cheryl, polis segera mengatur strategi kerana mereka tidak tahu keadaan sebenar di dalam rumah dengan sebarang kemungkinan sama ada Ethan bersenjata atau Cheryl dan anak-anaknya dalam keadaan selamat. Polis seterusnya mengetuk pintu dengan berhati-hati dan memanggil Ethan keluar. Pada mulanya, Ethan enggan bekerjasama sebelum menjadi defensif dan menolak untuk keluar. Rundingan antara polis dan Ethan berlanjutan selama beberapa minit. Polis cuba mengawal keadaan tanpa mencetuskan sebarang insiden yang lebih buruk. Hingga pada akhirnya yakni setelah berbincang dan diyakinkan oleh pihak berkuasa, Ethan menyerah diri tanpa sebarang pergelutan.

     Polis segera masuk ke dalam rumah dan menemui Cheryl serta tiga anaknya dalam keadaan selamat. Mereka tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi masih berada dalam keadaan trauma selepas berjam-jam terkurung dalam ketakutan. Misi menyelamat ini berjaya dilakukan tanpa sebarang keganasan. Terima kasih kepada kebijaksanaan Cheryl dan tindakan pantas pekerja Pizza Hut serta pihak polis. Selepas penangkapannya, Ethan telah dikenakan beberapa pertuduhan jenayah termasuk ancaman dengan senjata, pengurungan secara paksa dan penyalahgunaan dadah.

Catat Ulasan for "Dikurung Teman Lelaki Bersenjata – Wanita Ini Guna Cara Genius untuk Selamat!"