Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Disimbah dengan Asid, Dibiarkan Tanpa Keadilan – Kisah Fakhra Younus yang Benar-Benar Menyedihkan

 
     Fakhra Younus ialah seorang wanita Pakistan yang menjadi simbol penderitaan dan keberanian dalam menghadapi keganasan domestik serta ketidakadilan sistem perundangan. Hidupnya yang penuh keperitan berpunca daripada perkahwinannya dengan seorang ahli politik berpengaruh yang akhirnya membawa kepada kejadian paling tragis dalam hidupnya.

    Dilahirkan dalam keluarga miskin di Karachi, Fakhra membesar dalam keadaan serba kekurangan. Demi kelangsungan hidup, dia menjadi seorang penari. Menari ialah satu pekerjaan yang sering dipandang rendah oleh masyarakat konservatif Pakistan. Dalam lingkungan sosial yang sukar, dia bertemu dengan Bilal Khar iaitu seorang ahli politik dan anak kepada seorang bekas gabenor. Perhubungan mereka berakhir dengan perkahwinan tetapi ia bukanlah satu kisah cinta seperti yang diimpikannya.

     Perkahwinan Fakhra dengan Bilal Khar penuh dengan penderaan fizikal dan emosi. Dia sering dipukul, dihina dan dikawal oleh suaminya yang memiliki kuasa serta pengaruh dalam dunia politik. Tidak tahan lagi dengan penderaan yang berterusan, Fakhra akhirnya melarikan diri dan kembali ke rumah ibunya. Keputusan tersebut telahmenimbulkan kemarahan Bilal yang menganggap tindakan Fakhra sebagai satu penghinaan besar terhadap maruahnya.

     Pada tahun 2000, satu kejadian mengubah hidup Fakhra selama-lamanya. Seorang lelaki yang dipercayai adalah Bilal Khar telah memasuki biliknya lalu menuangkan asid ke wajah serta tubuhnya. Serangan itu begitu mengerikan sehingga menyebabkan wajahnya hancur, hidungnya lebur, bibirnya hilang dan kulitnya melekat pada tulang. Kesan luka terbakar yang teruk turut menyebabkan dia sukar untuk bercakap dan bergerak.

     Selepas serangan itu, Fakhra mendapatkan bantuan daripada Tehmina Durrani yang juga merupakan seorang aktivis hak wanita dan bekas isteri Bilal Khar. Tehmina membawa Fakhra ke Itali di mana dia menjalani lebih daripada 38 pembedahan rekonstruktif dalam tempoh beberapa tahun. Walaupun menjalani rawatan intensif, kecederaan fizikal dan trauma emosi yang dialaminya tidak dapat dipulihkan sepenuhnya.

     Di sebalik penderitaan yang dialaminya, Fakhra tetap berjuang untuk mendapatkan keadilan. Walau bgaaimanapun, sistem perundangan Pakistan yang dipengaruhi oleh korupsi dan nepotisme gagal membelanya. Bilal Khar yang berasal daripada keluarga berpengaruh tidak pernah dijatuhi hukuman. Malah dia menafikan penglibatannya dalam serangan itu selain menggunakan kekuatannya untuk melepaskan diri daripada sebarang pertuduhan.

     Setelah lebih satu dekad hidup dalam penderitaan dan kehilangan harapan untuk mendapatkan keadilan, Fakhra mengambil keputusan yang tragis. Pada 17 Mac 2012, dia terjun dari tingkat enam sebuah apartmen di Roma, Itali. Dalam surat terakhirnya, Fakhra menyatakan bahawa dia sudah penat dengan kehidupan yang penuh derita dan dunia tidak akan membiarkannya hidup dengan aman.

      Kematiannya mengejutkan dunia serta mencetuskan kemarahan besar khususnya dalam kalangan aktivis hak asasi manusia. Kesedaran mengenai keganasan terhadap wanita semakin meningkat dan akhirnya kerajaan Pakistan meluluskan Undang-Undang Serangan Asid 2012 yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah. Dokumentari "Saving Face" yang memaparkan kisah mangsa serangan asid termasuk Fakhra telah memenangi Anugerah Oscar dan membantu memperkukuhkan tekanan terhadap pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih tegas.

     Bilal Khar bagaimanapun tetap bebas dan tidak dikenakan sebarang hukuman atas perbuatannya. Dia meneruskan kehidupan seperti biasa di Pakistan, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Walaupun keadilan tidak berpihak kepada Fakhra, kisahnya menjadi titik perubahan dalam usaha melindungi wanita daripada keganasan domestik dan serangan asid. Dia mungkin telah pergi tetapi perjuangannya terus hidup dalam perubahan yang dicetuskan selepas kematiannya.

Catat Ulasan for "Disimbah dengan Asid, Dibiarkan Tanpa Keadilan – Kisah Fakhra Younus yang Benar-Benar Menyedihkan"