Elizabeth Holmes: Dari Jutawan Teknologi ke Penipu Terbesar Silicon Valley

Elizabeth Holmes pernah dianggap sebagai seorang inovator hebat yang bakal mengubah dunia perubatan. Menerusi penampilan yang berkarisma serta janjinya untuk merevolusikan ujian darah, dia berjaya menarik perhatian pelabur-pelabur besar dan mendapat sokongan daripada tokoh politik serta pemimpin industri. Namun di sebalik kejayaan yang dilaung-laungkan, terdapat satu pembohongan besar yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya. Bermula dari seorang usahawan muda yang dikagumi, Elizabeth kini dikenali sebagai seorang penipu terbesar dalam sejarah Silicon Valley setelah didapati bersalah kerana menipu pelabur dan pesakit menerusi syarikatnya, Theranos.
Bercerita tentang latar belakang Elizabeth Holmes, dia dilahirkan pada tahun 1984 dalam sebuah keluarga berpengaruh. Sejak kecil, Elizabeth bercita-cita untuk menjadi seorang pencipta yang akan memberi impak besar kepada dunia. Kejayaannya memasuki Universiti Stanford pada usia 19 tahun menjadi langkah awal dalam perjalanan mengejar impiannya. Di universiti tersebut, dia mempelajari kejuruteraan kimia dan mula menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang teknologi perubatan. Tidak lama kemudian, Elizabeth mendapat inspirasi untuk mencipta sebuah teknologi yang mampu menjalankan pelbagai ujian darah hanya dengan beberapa titisan darah sahaja. Obsesi terhadap kejayaan mendorongnya untuk membuat keputusan drastik iaitu berhenti belajar dan menubuhkan syarikatnya sendiri yang dinamakan sebagai Theranos.

Theranos menjanjikan satu revolusi dalam bidang kesihatan. Elizabeth mendakwa bahawa syarikatnya itu telah membangunkan satu teknologi canggih yang dipanggil Edison yakni sebuah mesin kecil yang kononnya mampu mengesan pelbagai penyakit dengan hanya beberapa titisan darah sekaligus akan menjimatkan kos rawatan, mempercepatkan proses diagnosis dan mengurangkan kesakitan pesakit. Maka dengan keyakinan luar biasa, Elizabeth berjaya menarik pelaburan ratusan juta dolar daripada individu berpengaruh seperti Rupert Murdoch, Betsy DeVos dan Henry Kissinger. Selain itu, syarikat farmasi besar seperti Walgreens dan Safeway turut menandatangani kontrak dengan Theranos. Syarikat farmasi tersebut bersedia untuk melancarkan perkhidmatan ujian darah ini secara meluas.
Cuma di sebalik gembar-gembur kejayaan ini, terdapat satu rahsia besar yang hanya diketahui oleh segelintir orang dalam syarikat Theranos di mana teknologi yang dijanjikan tidak berfungsi seperti yang didakwa. Mesin Edison sebenarnya gagal memberikan keputusan yang tepat selain sering memberikan hasil yang mengelirukan. Apa yang lebih mengejutkan, Theranos sebenarnya bergantung kepada mesin ujian darah dari syarikat lain tetapi mereka menipu pelanggan dengan berpura-pura menggunakan teknologi sendiri. Bagi memastikan rahsia ini tidak terbongkar, Elizabeth dan pasangannya, Ramesh Sunny Balwani telah menggunakan taktik ugutan serta pemantauan ketat terhadap pekerja mereka.

Hinggalah pada tahun 2015, pembohongan Theranos mula terbongkar apabila seorang wartawan The Wall Street Journal bernama John Carreyrou mendapat maklumat daripada beberapa bekas pekerja yang berani bersuara. Siasatan mendapati bahawa teknologi Theranos bukan sahaja gagal berfungsi tetapi juga boleh mendatangkan bahaya kepada pesakit kerana keputusan ujian yang salah. Laporan ini mengejutkan dunia dan kepercayaan terhadap Theranos mula runtuh. Tidak lama selepas itu, Walgreens dan Safeway membatalkan kontrak mereka manakala para pelabur pula menuntut kembali wang mereka. Pihak berkuasa kemudian mula menjalankan siasatan secara rasmi.
Pada tahun 2018, Elizabeth serta Ramesh akhirnya didakwa atas kesalahan menipu pelabur dan pesakit. Menerusi perbicaraan yang berlangsung selama beberapa tahun, Elizabeth cuba mempertahankan diri dengan mendakwa bahawa dia tidak berniat untuk menipu tetapi sebaliknya hanya terlalu percaya kepada impiannya. Namun bukti terhadapnya terlalu kuat. Pada tahun 2022, mahkamah mendapati Elizabeth bersalah atas empat pertuduhan penipuan lalu menjatuhkan hukuman 11 tahun 3 bulan penjara terhadapnya. Ramesh pula menerima hukuman 13 tahun penjara kerana peranannya dalam operasi harian syarikat tersebut. Pada Mei 2023, Elizabeth mula menjalani hukumannya di sebuah penjara persekutuan di Texas.
Kejatuhan Elizabeth Holmes ini sering dikaitkan dengan Narcissistic Personality Disorder (NPD) kerana dia menunjukkan banyak ciri-ciri individu narsistik. Antaranya termasuk keyakinan yang melampau terhadap kebolehannya, keinginan untuk dikagumi, manipulasi terhadap orang lain serta ketidakmampuannya untuk mengakui kesalahan sendiri. Elizabeth percaya bahawa dia adalah seorang genius yang setanding dengan Steve Jobs. Dia bahkan meniru gaya ikon Apple itu dengan memakai baju hitam berkolar tinggi setiap hari. Walaupun kebenaran sudah terbongkar, Elizabeth masih berusaha mempertahankan namanya dan enggan menerima hakikat bahawa segala yang dibinanya hanyalah sekadar khayalan.
Kes Elizabeth Holmes menjadi pengajaran tentang bagaimana obsesi terhadap kejayaan tanpa batasan moral boleh membawa kepada kejatuhan besar. Kisah Elizabeth Holmes ini telah diangkat menjadi siri televisyen berjudul The Dropout (2022) terbitan Hulu dengan dibintangi Amanda Seyfried.
Catat Ulasan for "Elizabeth Holmes: Dari Jutawan Teknologi ke Penipu Terbesar Silicon Valley"